Anakku Seorang Yang Soleh

Assalamualaikum kepada semua pembaca budiman page IIUM Confession. Aku doakan semoga kalian semua berada dalam rahmat Ilahi hendaknya. Harapanku juga semoga post ini disiarkan. Ini kali pertama aku cuba menulis disini. Post ini sekadar perkongsian mengenai anak solehku..

Pertama sekali, maafkan jika ada yang tidak gemar akan penulisan ini.. niatku bukan untuk menunjuk kebaikan diri anak.. yang baik semoga menjadi tauladan.. jauh sekali nak berlawan anak pandai..

Anak sulung, lelaki. Tahun ni memasuki usia 7 tahun. Terlalu awal kan untuk aku katakan dia anak yang sempurna.. soleh. Perjalanan masa depan masih lagi jauh.. tapi itulah aku.. aku sentiasa menyebut dan menggelarkannya anak soleh umi..

Tahun lepas,masa nak daftarkan dia darjah 1, dia minta aku hantarkan dia ke sekolah agama. Alhamdulillah dia lulus masuk sekolah agama. Dia sangat teruja nak masuk sekolah, tapi disebabkan pkp, dia sangat frust.

Dia sangat petah berkata kata. Seawal umur 4 tahun dia dah pandai membaca. Mudah faham apa yang diajar. Aku perasan dia bijak dari sejak kecil. Ada perangai nakal dia, tapi makin bertambah usia makin matang dirinya.

Selalu dia beritahu, nak jadi anak soleh, nak jadi baik, nak ikut Nabi Muhammad saw.. nak masuk syurga jumpa Nabi Muhammad saw dan Allah swt. Kadang aku rasa sebak.. saling berpandangan dengan suami. Suci benar hati seorang kanak kanak..

Tempoh hari kata katanya mengejutkan aku. Dia cakap, umi, abang dah boring la hidup kat dunia, abang tak sabar nak masuk syurga. Nak masuk syurga kan kena mati dulu…

Terdiam dan sekali lagi aku sebak.. aku beritahu, jangan macam tu. Selagi mana Allah beri kita nyawa, kita hidup la jadi orang soleh. Doakan panjang umur. Boleh beri manfaat untuk orang lain. Hidup lama dan jadi baik, boleh masuk syurga… dia angguk tanda faham.

Kenapa aku katakan dia anak soleh?

Solat.

Umur 4 tahun aku dah mula ajak dan ajar dia solat, tapi tidak lah bersungguh. Perlahan lahan dia ikut. Sekarang 7 tahun, dia dah solat tanpa aku suruh pun. Masuk saja waktu, dia akan bergegas solat.

Kadang kala hampir masuk waktu, dia wuduk siap siap tunggu atas sejadah. Adakala juga, dia asyik bermain, aku cuma sekali tegur, abang long dah solat? Terus dia solat.

Yang mengejutkan aku sekarang, dia dah mula nak solat malam. Sendiri dia. Katanya nak bangun awal, pukul 1 nak solat malam.

Aku cadangkan bangun pukul 5 dan boleh terus subuh. Kalau bangun awal sangat, takut subuh terbabas kataku. Dia turuti sahaja. Aku ceritakan padanya kebaikan serta kelebihan solat malam. Pasal Nabi solat malam, dia teruja.

Dia betul betul bangun sebelum subuh dan solat sunat. Seterusnya solat subuh. Dia buat apa yang aku beritahu dia.

Puasa.

2-3 hari lepas dia beria nak berpuasa sunat. Tapi hari ni dia baru puasa. Pagi tadi dia bangun awal, solat sunat dan sahur. Cuma makan biskut.. Tengahari ni aku tengok dia seakan letih. Aku cadangkan dia berbuka sahaja, tapi dia menolak..

Mendengar kata.

Alhamdulillah anakku sangat mendengar kata.. dia sangat mudah memahami dan menerima setiap teguran aku pada dia. Bila aku kata tak boleh buat itu ini dan kenapa tak boleh buat, dia terima. Kemudian dia akan ajar benda yang sama kepada adiknya.

Rajin.

Aku suka train dia membuat kerja rumah yang ringan dan tak membebankan. Dia suka membantu aku kemas rumah, tolong masak di dapur dan sebagainya.

Quran.

Sekarang dia dah hafal beberapa surah Quran.. hasil dari mendegar bacaan surah di YouTube. Dia belum mengenal lagi tajwid. Tetapi susunan ayat tu dah betul..

Sebenarnya diriku dan suami hanya orang biasa biasa sahaja. Bukan lah orang alim.. suruhan Allah yang wajib, kami laksanakan.

Solat 5 waktu, puasa, hormat ibu bapa, jaga aurat dan ditambah dengan sedikit amalan lain lain seperti sedekah, solat sunat,membantu orang susah setakat yang mampu. Bukanlah dari golongan ustaz ustazah..

Kadang kala kami suami isteri selalu bertanya sesama sendiri, macam mana anak kita boleh jadi soleh dan bijak. Kita orang biasa biasa sahaja.

Bila aku renung balik, suami aku ni seorang yang suka bersedekah. Suka tolong orang. Bila tolong orang, kami akan cakap, doakan kami dan anak anak.. itu sahaja.. mungkin ada doa dari mereka yang dimakbulkan.

Selain tu, ada kawan dan saudara tanya apa tips anak bijak.. aku tak ada tips rahsia pun. Cuma masa mengandung aku amalkan beberapa amalan yang baik untuk ibu mengandung mengikut Islam.

1) Baca Quran.

Sepanjang mengandung, aku banyak baca quran. Aku khatam quran. Perbanyakkan solat sunat. Perbanyakkan taubat pada Allah.

2) Emosi.

Pastikan emosi positif. Jaga emosi dari perasaan marah, serabut, membenci jauh sekali. Pastikan jiwa tenang walau sesusah mana kehidupan. Aku tak gaduh dgn orang, tak fikir negatif pasal orang. Mengelak dari jumpa dengan orang yang suka negatif.

3) Amalkan beberapa ayat quran.

Aku suka mengamalkan beberapa surah quran semasa mengandung. Contohnya surah maryam, surah taha, surah yusof dan lain lain lagi.

4) Jaga aurat.

Menjaga aurat. Aku titik beratkan jaga aurat tak kira mengandung atau tidak. Lebih lagi waktu mengandung, membawa khalifah Allah dalam rahim. Perlu redha Allah.

5) Sentiasa berdoa.

Aku sentiasa berdoa kurniakan anak soleh, bijak dan mendengar kata. Bila waktu lapang, aku akan ke masjid bersama suami solat jemaah walau pun waktu itu tengah sarat mengandung.

6) Pemakanan sunnah.

Aku mengamalkan memakan makanan sunnah. Kismis, kurma, buah tin sepanjang mengandung. Tambahan pula masa pregnant anak soleh ni, aku tak berduit sangat masa tu..

Nak beli produk lain jauh sekali sebab mahal. Namun aku sangat yakin apa yang diamalkan Nabi, adalah yang terbaik untuk kita.

Itu sahaja tipsnya.

Bila aku tanya anakku, dewasa mahu jadi apa? Apa cita citanya? Jawabnya, dia nak jadi seorang doktor dan seorang ustaz.

Kalian tolong doakan anakku berjaya dunia dan akhirat. Semoga kejayaan itu boleh dimanfaatkan untuk ummah.. bukan untuk disanjung oleh manusia..

Aku juga doakan kalian dianugerahkan anak anak yang soleh, bijak pandai, yang menyejukkan mata hati.

Yang masih belum punya zuriat, semoga Allah kurniakan zuriat secepat mungkin dan yang terbaik dari sisiNya.

Setakat ini dahulu penulisan ini.. Banyak lagi yang ingin aku kongsikan, cuma takut meleret dan keluar topik. Terima kasih kerana membaca. Sayang semua..

– Umi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *