Anakku Tak Mahu Kahwin

Assalamualaikum. Saya ingin meminta pandangan dan nasihat dari semua. Lihat tajuk sahaja pasti sudah tahu dilemma yang saya alami sekarang.

Saya seorang ibu yang memiliki anak perempuan yang sudah hampir menjangkau 40an. Dialah satu-satunya anak yang saya ada. Saya dan suami berpisah semasa anak saya berumur 10 tahun.

Sejak itu saya memang tidak berkahwin dengan mana-mana lelaki kerana fobia dengan perkahwinan yang lalu. Lagipun saya memang tiada masalah hidup tanpa lelaki kerana saya mempunyai kerjaya yang sangat stabil.

Malah saya rasa hidup saya lebih gembira dan tersangat lapang bersama anak jika dibandingkan kehidupan bersama bekas suami dahulu. Sekarang saya dan anak masih tinggal bersama berikutan tempat kerjanya yang tidak berapa jauh dari rumah kami.

Dipendekkan cerita, anak saya juga mempunyai kerjaya yang sama seperti saya tetapi dia di institusi yang berlainan. Dia jauh lebih berjaya jika dibangdingkan semasa saya berumur 30an. Mungkin kerana dia tidak mempunyai beban rumahtangga yang pernah saya tanggung dulu. Mungkin sebab itu dia lebih mudah berjaya dalam kerjayanya.

Tetapi apa yang merisaukan saya, dia memang tiada perasaan untuk berkahwin atau berkenalan dengan mana-mana lelaki. Bukan saya tidak tahu, sebenarnya ada beberapa lelaki semasa dia belajar di universiti dan ditempat kerja ingin berkawan dengan dia, tetapi dia yang tidak mahu. Itupun saya korek dari kawan-kawan dia yang datang ke rumah saya.

Pernah sampai satu tahap saya terfikir yang bukan-bukan seperti anak saya mempunyai naluri songsang dan pernah terlanjur dengan lelaki lain yang menyebabkannya tidak mahu berkahwin. Saya pernah berbincang dari hati ke hati dan berterus terang apa yang saya rasa dan fikir mengenai dia, tetapi dia hanya ketawa berdekah-dekah, malah dikatanya saya banyak tengok drama.

Saya benar-benar marah ketika itu, barulah dia berhenti ketawa. Dia bersumpah dia normal dan masih tahu menjaga harga dan maruah diri. Cuma dia kata hatinya masih belum terbuka untuk serius dengan mana-mana lelaki. Katanya lagi, lelaki-lelaki yang cuba mendekatinya masih belom boleh menyakinkan dia.

Saya ada bertanya adakah dia trauma melihat saya dan bekas suami dulu? Katanya tidak pula, malah katanya dia hampir lupa kejadian dulu, cuma adalah momen-momen besar yang dia masih ingat tapi dia kata itu bukan puncanya.

Saya risaukan mengenai zuriat dia kalau dia tidak berkahwin, tetapi katanya, ada orang yang ada zuriat pun macam tiada zuriat bila sudah tua. Katanya lagi, ada sahaja yang masih tidak mempunyai zuriat biarpun sudah berkahwin berpuluh tahun. Malah, dia kata, sekiranya dia tiada rezeki dalam soal jodoh, dia boleh ambil anak angkat jika teringin ada peneman.

Terlalu payah bagi saya yakinkan dia untuk berkahwin. Pernah saya minta pendapat adik beradik saya, mereka minta saya bawa anak untuk berubat tetapi anak tak mahu pula, katanya mengarut semua itu. Sebagai alternatif pernah saya minta air penawar dan baca doa2 yang perlu. Tetapi selepas beberapa tahun tetap sama keadaannya.

Pelik dan risau saya bertambah-tambah bila memikirkan beberapa hari lagi dia akan menjangkau 40an. Saya tahu jodoh itu ditangan tuhan, tetapi kalau diri sendiri yang menolak, sampai bila jodoh itu akan hadir? Bukan saya menidakkan takdir Allah, tetapi saya percaya yang kita perlu berusaha untuk ubah takdir kita.

Pernah dulu ada kawan-kawan saya ingin menjodohkan anak mereka dengan anak saya, tetapi anak saya mentah-mentah menolak. Saya sebenarnya tidak mahu memandai-mandai menjodohkan anak saya dengan lelaki yang bukan pilihannya, takut teraniya lelaki itu nanti.

Saya juga tak mahu terlalu memaksa dia berkahwin semata-mata disebabkan saya kerana takut dia akan menderita seperti saya dahulu. Biarlah dia berkahwin dengan kerelaan dia sendiri. Tetapi, sampai sekarang masih tiada tanda-tanda dia mahu berkahwin malah dia lebih enjoy sekarang.

Saya terfikir, kalau saya sudah tiada, kesian dia nanti kerana sudah tiada peneman. Saya tidak pernah putus berdoa agar anak diberikan jodoh yang baik tetapi mungkin belum tiba masanya.

Sekiranya ada yang boleh memberi pandangan, saya sangat mengalu-alukan. Terima kasih.

– Dilemma Ibu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *