Angah Dah Solat?

“Mak letak nama ‘Nur’ untuk Along dan Kak Ngah dengan harapan hidup anak-anak mak dipenuhi dengan cahaya iman”.

Itulah ayat yang mak saya ungkapkan saat saya memberitahunya kali terakhir dahi ini menyentuh sejadah. Sungguh dia terkilan apabila saya bagitahu tahun 2016 adalah tahun terakhir saya menunaikan solat.

Hanya kerana satu peristiwa hitam yang berlaku membuat hati saya tenggelam dalam dendam dan amarah. Saya merasakan Allah tidak adil dan Allah langsung tidak menyayangi saya.

Persoalan demi persoalan timbul namun tiada jawapan yang saya dapat dan kerana saya tak dapat jawapan ia makin menaikkan perasaan marah saya.

“Kenapa Allah izinkan dia sakitkan saya?”

“Kenapa dia boleh ketawa gembira sedangkan saya masih kekal dengan rasa sakit ni”.

Tetapi mak langsung tak putus asa sejak dia tahu. Hari-hari dan setiap waktu tanpa lelah dan mengalah dia mengajak saya untuk sujud semula kepada Pencipta. Namun hati saya keras seperti batu malah saya menolak ajakkan mak.

“Untuk apa angah solat kalau doa angah Allah langsung tak makbulkan”.

Mak tersentak dan terus memujuk saya dengan harapan saya lembut hati. Pernah sekali saya ternampak mak menangis di atas sejadah, dengan suara esakkan dia berdoa agar hati saya lembut semula.

Kalau difikirkan semula sampai sekarang saya ingat sinar mata mak. Dia mengajak dengan senyuman tapi mak langsung tak dapat sorok sinar mata dia yang penuh rasa takut. Takut melihat anaknya yang semakin tersasar jauh dan dia semakin takut bila saya menyatakan hasrat untuk pindah ke rumah sewa.

Walaupun saya tinggal di rumah sewa tak pernah sekalipun saya lupa untuk telefon mak dan setiap kali saya telefon mak akan tanya sama ada saya sudah tunaikan solat atau belum dan sekali lagi saya memberi kehampaan pada dia.

Setahun berlalu sejak saya pindah, rutin setiap hari saya, pukul 7 saya takkan buka TV tapi hari tu saya masih ingat. Jumaat pukul 7.20 malam, saya buka TV dan selang beberapa minit azan Maghrib dilaungkan.

Saat saya mendengar azan, hati saya rasa sayu dan dipagut rindu tanpa saya sedari air mata saya mengalir. Saya bangun untuk mengambil wudhuk dan ketika itu saya sedar satu hal. Di rumah saya tak ada telekung mahupun sejadah. Saya menangis semahunya dan saya terus telefon mak. Saya mohon ampun pada mak, berkali-kali saya minta maaf.

Mak turut menangis dan tanpa henti mengucapkan alhamdulillah. Ada satu ayat yang mak cakap cukup untuk merobek hati saya.

“Anak yang mak rindu dah balik. Allah makbulkan doa mak. Angah dah balik ke pangkuan mak”.

Yang paling buat saya sebak.. Mak hadiahkan telekung yang saya tahu harga dia agak mahal.

Dan sampai sekarang saya masih gunakan telekung tu.

– Nur

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *