Assalamualaikum wbt buat semua pembaca setia IIUM Confession. Saya mendoakan agar semua pembaca sentiasa berbahagia dalam rahmat ALLAH swt.
Saya mulakan cerita saya begini. Bismillah..
Dalam fasa umur saya yang berada diakhir 20-an, sudah pastilah diri akan mula menghitung bilakah masa sesuai jika diizinkan Allah SWT untuk menjadi suri hati seseorang.
Apatah lagi saya ini merupakan anak sulung didalam keluarga. Sudah pastilah ibu dan ayah amat ternanti-nanti siapa gerangan lelaki yang boleh menjaga anaknya ini.
Bukan tidak pernah berkenalan, namun belum direzekikan. Semuanya hanya bertahan separuh jalan. Mungkin itu cara Allah didik hati saya untuk terus perbaiki kekurangan diri kan?
Tapi itulah, hati wanita. Pernah juga satu ketika dahulu kecil hati juga dengan soalan soalan nakal “memilih la ni..” “kahwin la lambat, nanti susah dapat anak” huhuhu. Siapalah kita untuk mempertikaikan apa yang Allah susunkan.
Syukur Alhamdulillah, Allah temukan dengan kawan yang positif dan selalu ingatkan bahawa skop bahagia itu tersangat luas untuk dikupas.
Tidak kahwin lagi bukan syarat untuk kita berada dalam kesedihan dan menyalahkan takdir kan? Cuba lihat kembali, sekeliling kita.
1. Syukurlah ibu dan ayah masih sihat.
2. Syukurlah direzekikan kerja dan kewangan yang kukuh.
Indah kan takdir Allah?
Namun, benarlah ujian itu untuk kita sentiasa bermuhasabah dan sentiasa mendekati serta meminta-meminta pertolongan dengan Allah.
Diringkaskan cerita, baru baru ini ada seorang lelaki hendak berkenalan dengan saya. Beliau saya kenalkan kepada anda sebagai (Y).
Dia menyatakan hasrat untuk berkenalan melalui medium sosial. Pada mulanya, saya agak tidak yakin dengan permintaan beliau. Iyalah, tiba-tiba muncul.
Namun, selepas melihat kesungguhan mesej beliau, saya meminta untuk beliau menghubungi ayah saya. Alhamdulillah. Dia mengotakan janji.
Perkenalan berlangsung selama hampir seminggu tanpa apa apa masalah. Malah, Y turut bercadang hendak datang ke rumah saya pada akhir tahun ini bagi berkenalan dengan kedua orang tua saya.
Tiba-tiba, satu petang beliau menyatakan hasrat untuk meminjam duit kerana terdesak untuk diberikan kepada keluarganya.
Saya tidak memberikannya dan meminta maaf kerana tidak dapat membantu. Perkenalan kami berterusan seperti biasa. Oh untuk makluman, Y bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.
Tidak terhenti disitu, selang seminggu Y kembali mengadukan masalah yang sama berkaitan duit. Namun, versi yang berbeza.
Pada masa inilah saya merasakan Y tidak patut dengan mudahnya meminta saya untuk menyelesaikan masalah itu, sebab saya masih belum kenal sebetulnya dengan beliau!
Saya mula tidak senang duduk dan merasakan tawar hati. Saya jadi termenung dan berfikir -fikir. Panggilan dan whatsapp dari Y, saya abaikan seketika. Tapi Y tak putus asa. Berkali kali dia telefon. Akhirnya dalam satu panggilan, Kami gaduh besar.
Paling saya tak boleh terima, bila saya berterus terang, Y katakan tujuan dia buat macam tu cuma untuk menguji kesetiaan saya. Sanggup atau tidak susah senang selepas perkahwinan !
Allah, saya tidak tahu lah wahai pembaca kalian. Saya tidak merasakan bahawa itu tujuan asal Y. Saya merasakan beliau memang bermudah-mudah untuk meminta saya membantunya walaupun saya masih belum menjadi tunangan/ isterinya.
Kini, saya sudah mengutarakan untuk menamatkan perkenalan ini sementara masih belum bertemu dengan kedua belah ibu ayah.
Ibu dan ayah juga meminta saya mengakhirinya dengan baik. Namun Y benar-benar marah dan mengatakan saya tidak mengotakan janji.
Saya buntu tuan puan pembaca sekalian. Saya sudah cuba solat hajat 2-3 kali. Namun, hati saya tidak tenang. Ditambah pula dengan desakan dan kata kata kemarahan Y kepada saya supaya setuju untuk teruskan lagi perkenalan ini.
Nasihatkan saya dengan kata-kata yang tenang boleh? Maaf. Saya juga tidak sempurna.
Mohon doa anda semua…
– Cikgu Z (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit