Assalamualaikum Admin. Terima kasih kerana sudi siarkan confession saya ini. Memang seronok membaca macam-macam perisa kisah kehidupan manusia lebih-lebih lagi semenjak dua menjak ni kerap tersiar tentang kisah mak mertua dan ipar duai. Sebelum tu, secara ringkas tentang diri saya, seorang yang mempunyai ramai kakak ipar (berkahwin dengan abang-abang saya), kakak ipar (kakak-kakak suami saya) dan juga adik-adik ipar. Pada pandangan saya, resepinya mudah. Jadi diri kita sendiri. Itu yang penting. Semua sudah besar, sudah matang dan sudah boleh fikir kesan dan akibat sesuatu perkara itu.
Berbalik kepada tajuk di atas, petua saya senang je. Saya selalu anggap mak mertua ni sama taraf macam mak saya sendiri. Ini yang orang selalu susah nak buat. Iyelah, secara logiknya memang tak boleh sama. Mak kita kenal kita sejak daripada kecil. Mak mertua baru 8-10 tahun kenal kita (tempoh perkahwinan sayalah tu). Tapi kalau kita mampu buat ini, insha Allah, Allah swt akan pelihara hubungan kita sesama mak mertua dan ipar duai. Percayalah! Chewah, dah macam penceramah pula.
Kalau kita balik rumah mak kita, kita akan buat semua kerja rumah kan. Jadi kita praktikkan semua tu bila berada di rumah mak mertua kita. Kalau kita akan bawa mak kita jalan-jalan bila pulang ke kampung, apa salahnya buat perkara yang sama sewaktu kita berada di rumah mak mertua. Memang kalau diikutkan, bisikan jahat akan sentiasa bersama kita, menafikan kita untuk buat perkara-perkara baik. Syaitan kan, memang itulah tugas dia. Contohnya yang jadi kat saya, syaitan akan berbisik,
“Kau aje sibuk duduk dekat dapur, mengemas menyapu. Tengok anak perempuan dia, hanya pegang anak dan duduk kat ruang tamu!”
Tapi cepat-cepat saya fikir semula,
“Biarlah. Kesian dekat mak mertua saya.
Tak sampai hati nak tengok dia duduk sorang-sorang dekat dapur”.
Percayalah, rasa sayang itu akan timbul apabila kita ikhlas. Walaupun kita boleh lihat, macam mana pemalas pun anak dia, dia tetap sayang. Anak itu tetap sentiasa betul di mata dia. Iyelah, dah namanya anak sendirikan. Kita ni esok-esok macam itu juga. Kita tak perlulah nak fikir bahagian dan sikap orang. Kita buat apa yang kita mampu. Kalau rasa tak mampu, tak perlu buat. Insha Allah, mak mertua dan ipar duai takkan ada masalah dengan kita.
Sedih juga saya membaca confession tentang luahan adik ipar tu. Ada betulnya juga dia tu. Saya membaca komen, ramai yang menghentam kononnya itu kegagalan abang dia mendidik dan kenapa perlu disalahkan kakak iparnya. No! Bagi saya perkara remeh macam tu, kakak ipar tu yang sepatutnya dah boleh fikir. Kenapa awak tak layan mak mertua tu macam awak layan mak awak sendiri.
Kalau itu cucu sulung kedua-dua pihak, memang masing-masing rasa terujalah nak mendekati cucu. Kita tak perlukan suami untuk bagi nasihat dan teguran tentang perkara itu. Sepatutnya kita nasihat atau bagi pandangan kat suami, kurangkan kekerapan untuk keluar berjumpa kawan-kawan. Kita kat kampung, lebih baik kita luangkan masa dengan mak. Mak pun dapat bermain dengan cucu-cucunya. Itu pun kalau suami yang ajak. Tapi kalau kita sendiri yang mengajak suami, perkara macam ni tidak patut berlaku. Kita sebagai perempuan dan ibu sepatutnya dah boleh fikir perkara-perkara macam ni. Kehidupan alam rumah tangga ni perlu saling ingat-mengingati dan tegur-menegur.
Ini kes untuk bilangan cucu-cucu yang tak ramai. Kalau mak saya, cucu dah berpuluh-puluh, dia takkan jadikan isu pun kalau kita nak bagi pegang cucu atau tidak. Kita nak keluar jumpa kawan-kawan dan bawa anak kita lama-lama pun tidak jadi satu masalah. Rumah pun dah sentiasa meriah macam Zoo Negara kalau ramai-ramai balik. Jadi, tidak akan jadi isu pun kalau tiada anak-anak kita.
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita fikir wahai kaum hawa. Suatu hari nanti, Insha Allah kita akan jadi mak mertua. Kita akan jadi nenek. Kita akan ada cucu. Anak-anak kita akan ada mak mertua dan ipar duai. Mari kita didik diri dan hati kita. Anak-anak kita membesar dalam persekitaran yang mereka lihat. Macam mana kita jaga hubungan kita sesama insan, insha Allah macam itulah anak kita boleh sesuaikan diri dengan orang sekeliling mereka bila mereka sudah dewasa kelak. Mari sama-sama kita cuba praktikkan ayat ni, “Anggaplah mak mertua tu seperti mak kita sendiri. Layanlah mereka sebagaimana kita layan mak kita”. Memang akan ada masalah di sini sana dan memang takkan boleh sama sebab sikap mak mertua ni memang ada yang positif dan negatif. Saya tahu tentang itu. Tapi percayalah, di pihak kita, insha Allah hati kita akan tenang. Maaf jika ayat yang tidak sempurna. Sudah lama tidak mengarang kerana di sekolah sentiasa melihat angka.
Yang menulis,
Cikgu Y
– Cikgu Y
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit