Nenek ada ramai anak. Sayangnya, tidak semua anak mendapat layanan yang sama.
Antara anak yang ada, Nenek paling bangga dan kasih dengan Pak Lang. Pak Lang anak lelaki sulung. Apa saja kata Pak Lang, benar belaka. Tiada yang salah. Walaupun isteri Pak Lang tidak sukakan Nenek, Nenek tetap sayangkan Pak Lang melebihi segalanya.
Waktu raya, atau ada kenduri keluarga Pak Lang tidak pernah munculkan diri (sebab isterinya tidak serasi dengan anak-anak Nenek).
Nenek la orang yang sibuk bungkuskan lauk pauk kenduri dan minta anak cucu hantar ke rumah Pak Lang. Walaupun Pak Lang langsung tak menjenguk Nenek sebab kasihkan isteri.
Isteri Pak Lang berhubung baik dengan Mak Yong. Isteri Pak Lang rajin berkeluh-kesah tentang perangai adik-beradik Pak Lang yang katanya tidak hormatkan mereka suami-isteri.
Mak Yong hanya menjadi pendengar setia tanpa ada pertimbangan untuk menjernihkan keadaan. Itulah kesilapan Mak Yong sebagai anak yang tua.
Mak Yong juga disayangi Nenek. Mungkin kerana Mak Yong anak sulung. Mak Yong dahulu bekerja. Semua anaknya diletakkan di rumah Nenek kerana sukar mencari pengasuh katanya. Entah Nenek sakit atau tidak, diletak juga.
Nenek pun reda sahaja menjaga cucu tanpa kenal penat lelah. Suami Mak Yong jenis tak ambil endah. Mak Yong seoranglah terkontang-kanting mengurus anak-anak. Mujur Nenek rela hati membantu. Semua sebab sayang.
Layanan Nenek berbeza dengan Mak Cik. Mak Cik anak perempuan bongsu Nenek. Bila ada perkara yang Mak Cik tegur Nenek, Nenek akan melenting dan halau Mak Cik.
Masih segar dalam ingatan, masa Mak Cik tengah berpantang. Masa tu anak lelaki yang Nenek sayang juga, Ramli hendak berkahwin sama perempuan tidak tau asal. Perempuan itu memang dikenal tidak berperangai elok.
Mak Cik minta Nenek pertimbangkan, begitu juga anak yang lain. Entah apa pujukan Ramli, Nenek jadi marah dan halau Mak Cik yang tengah berpantang. Kasihan Mak Cik.
Berpuluh tahun kemudian, Nenek semakin dimamah usia. Pak Lang tetap begitu. Cuma kehidupan selepas bersara makin terdesak dengan pelbagai masalah. Mungkin kafarah mengabaikan Nenek. Ramli pula sudah berpisah.
Mak Yong pun sama. Masih keras berusaha walau sudah bersara. Nenek pernah tumpang duduk rumah Mak Yong, tapi suami Mak Yong tak suka.
Suami Mak Yong selalu muat naik status menyindir tentang Nenek dalam Telegram keluarga. Tapi tiada seorang pun yang ambil tindakan. Mungkin tidak mahu bergaduh.
Satu hari, masa Mak Cik ziarah Nenek, Nenek merayu pada Mak Cik untuk bawa dia ke rumah Mak Cik. Bergaduh dengan Mak Yong katanya. Mungkin Mak Yong lelah melayan karenah Nenek. Mak Cik pun bawa Nenek ke rumah.
Sepanjang Nenek di rumah, Mak Cik layan Nenek dengan baik sekali. Tidak pernah membentak atau mendengus walaupun pukul 3 pagi Nenek selalu minta diurut. Semua Mak Cik turutkan.
Tapi itu hanya sementara. Nenek mula buat perangai bila marah-marah Mak Cik masa Mak Cik nak tolong Nenek solat. Hari-hari Nenek tasbih nak balik rumah Mak Yong. Mak Cik masakkan bubur, Nenek langsung taknak makan. Mogok.
Musim PKP, memang tiada yang ziarah Nenek. Lagi kuat Nenek mogok. Sampai sakit perut Nenek tak makan.
Mak Cik la gigih uruskan Nenek seorang diri dengan anak-anak. Mak Cik lebih selesa begitu. Sekurang-kurangnya adik-beradik Mak Cik tak bergaduh sebab isu siapa nak jaga Nenek.
Nenek sukar difahami juga. Bila depan Mak Cik, Nenek marah-marah nak balik rumah Mak Yong. Sedangkan sepanjang Nenek di rumah Mak Cik, bayang Mak Yong langsung tidak menjengah.
Baru-baru ini BPN dikreditkan dalam akaun Nenek. Pak Ujang, anak teruna kesayangan Nenek yang sekian lama tidak berkunjung, muncul di rumah Mak Cik.
Tanpa salam, Pak Ujang terus menerpa Nenek, memujuk dan mengusap-usap Nenek. Katanya nak ambil Nenek dan duit bantuan sekali. Nenek percaya.
Sayang sekali, sampai hari ini Nenek masih menunggu untuk dibawa pulang oleh Pak Ujang. Bosan dengan penantian, Mak Cik la menjadi sasaran Nenek melepas geram dan amarah. Mogok tak mau makan lagi.
Bila anak yang lain datang, Nenek diam seribu bahasa. Bila mereka pulang, Nenek mengamuk-ngamuk mahu ke rumah Mak Yong. Mengapa Nenek begini?
Kasihan Mak Cik. Bukan anak pilihan. Hanya menjadi keperluan ketika dalam kesusahan. Tapi Mak Cik tetap sabar dengan Nenek. Kerana kata Mak Cik, tiada apa yang dapat membalas pengobanan Nenek melahirkan dan membesarkan Mak Cik.
Walaupun layanan Nenek berbeza, Mak Cik anggap itulah kelemahan Nenek kerana tiada manusia yang sempurna tanpa kelemahan. Semua orang tidak lepas dari kesilapan.
Allah Maha Kaya. Pengorbanan Mak Cik tidak sia-sia bila Mak Cik kata urusannya sering dipermudahkan. Punya anak-anak yang berjaya dan kehidupan Mak Cik kini selesa juga. Walau dulu susah, sekarang ada mudahnya. Berkat menjaga orang tua.
Kisah Mak Cik menjadi pengajaran buat saya bahawa sentiasalah berbuat baik dan jangan mengharap balasan manusia. Memang lama masa yang diambil untuk reda dan sabar, tetapi percayalah akan ada hikmah diakhirnya.
Sebagai ibu bapa pula, janganlah kita bersikap pilih kasih. Kerana belum tentu anak yang kita kasihi, mampu dan mahu menjaga kita di hari tua.
– Mak Limah, Jiran Mak Cik (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit