Anif dan Anaf

Assalamualaikum terima kasih admin. Aku menulis dekat sini untuk meluahkan kesakitan hati aku.

Aku 4 beradik, tapi dekat sini aku nak fokus pada seorang kakak aku. Bukan nak fokus pada dia sangat pun tapi anak anak dia. Kakak aku berkahwin 8 tahun lepas. Setahun kemudian dia dikurniakan cahaya mata sepasang kembar merangkap anak buah aku Anif dan Anaf. Masa kakak aku tengah berpantang, abang ipar aku diberhentikan kerja. Mereka struggle dengan masalah kewangan dan buat keputusan untuk tinggalkan Anif dan Anaf dekat kampung.

Dalam adik beradik, aku seorang je belum berkahwin, jadi lepas aku habis belajar, waktu tu Anif dan Anaf berusia 2 bulan, aku cari kerja biasa saja berdekatan rumah untuk bantu mak ayah aku menjaga kembar tu.

Abang ipar aku dapat kerja baru tapi mereka tak ambil Anif dan Anaf, aku okay je sebab aku dah sayang sangat dekat kembar ni. Mak ayah aku sangat manjakan Anif dan Anaf.

Kakak dan abang ipar aku balik cuma sebulan sekali lebih tepat sebulan 2 hari sahaja dan kalau balik pon mereka tak 100% jaga anak mereka. Perbelanjaan anak pun banyak ditanggung mak ayah aku.

Aku sangat sayangkan anak buah aku sampaikan aku tak kisah pun pasal kawin. Aku jalani hari hari yang happy dengan telatah dan celotah kembar tu. Tembam, putih, gemuk, comel. Bila hari cuti aku, mak ayah aku bawak kembar berjalan jalan. Aku rasa macam perfect sangat hidup aku masa tu.

Tapi semua jadi terbalik, kakak aku dan abang ipar tuntut anak mereka waktu dah berumur 6 tahun. Kami tak ada hak nak halang. Sakit sangat, mak ayah aku menangis setiap hari. Aku? 24 jam menangis, kerja pun tak fokus. 2 bulan kakak aku tak balik kampung, alasan supaya kembar terbiasa tanpa atok dan nenek.

Waktu kakak aku balik, aku tengok kembar dah kurus dan nampak lemah. Kakak aku cakap sebab demam. Aku menangis jaga budak budak tu. Lemah, senyap, tak bertenaga. Budak tu cakap nak tinggal kampung, tapi kakak aku cakap tu tanggungjawab dia.

Suatu hari mak ayah aku paksa aku bawa mereka ke rumah kakak aku dekat bandar, rindu sangat pada cucu. Tanpa bagitahu kakak aku, aku dan mak ayah terus gerak ke bandar. Sampai je dekat pintu rumah dah dengar suara budak menangis. Ye abang ipar aku tengah pukul anak anak buah aku guna penyangkut baju. Luluh hati mak ayah aku nampak perkara tu depan mata.

Alasan kakak dan abang ipar aku ialah sebab budak budak tu degil. Aku tengok Anif dengan Anaf macam budak ketakutan dengan mak ayah dia sendiri. Mereka peluk atok nenek mereka seeratnya. Kurus dengan badan berbirat kena pukul. Mak ayah aku bawa budak berdua tu balik kampung. Menangis-nangis mak ayah aku tengok cucu macam tu.

Apa yang aku boleh simpulkan ialah, kakak dan abang ipar aku tak jaga anak dengan kasih sayang. Ye mungkin sebab tak jaga dari kecil. Bila budak tak dengar cakap terus guna kekerasan. Aku kenal anak buah aku macam mana, mereka bukan budak nakal, budak degil.

Tak sampai seminggu, kakak dan abang ipar aku tuntut anak mereka semula. Budak budak tu menangis, mak ayah aku tak nak lepaskan tapi kakak aku ambil juga. Aku dah cuba cakap secara baik tapi kakak aku cakap “itu anak aku”.

Kakak aku terangkan bahawa kejadian abang ipar pukul kembar tu yang kami nampak hanyalah sekali, dia cakap dia tak akan cederakan anak sendiri. Tapi hati aku macam tak sedap. Aku bukan nak tuduh kakak aku sendiri tapi aku risau. Aku jaga dari kecil, nyamuk pun aku tak bagi hinggap dekat budak tu. Aku tak senang duduk fikirkan Anif dan Anaf lagi lagi bila dengar berita budak mati didera. Aku mampu doa je dari jauh supaya Anif dan Anaf baik baik sahaja.

Aku tengok mak ayah aku dah tak ceria macam selalu. Bukan mereka je, aku pun sama. 6 tahun jaga budak-budak tu. Dah sayang sangat, rindu sangat. Tapi apa boleh buat.

Kak, tolong jaga Anif dan Anaf baik-baik. Memang bukan anak kandung aku, tapi kalau apa-apa jadi, kau tunggu kak..kau tunggu.

– Yasmin

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit