Antara 2 Keluarga

Hai. Biar saya bagi pendahuluan dulu. Saya Naili (Bukan nama sebenar) Berumur hujung 20an. Suri rumah tangga dan ada online bisnes untuk pendapatan sampingan.

Mempunyai seorang anak. Suami bekerja sebagai pegawai kerajaan gred 41 di Lembah Klang, merupakan anak sulung kepada 3 beradik. Ibu ayah mentuaku bekerja kedai runcit.

Saya sebenarnya taktau nak meluahkan dekat siapa. Saya simpan seorang diri. Tak mampu nak kongsi dengan kawan atau keluarga demi menjaga aib keluarga suamiku.

Sebelum ni saya, suami, dan anak bahagia hidup sederhana dan cukup makan sahaja. Tak kaya tapi semuanya serba cukup tanpa perlu catu.

Ada rezeki lebih sesekali boleh pergi bercuti dalam negara. Tinggal di rumah sewa saja tapi serba selesa. Alhamdulillah.

Ujian melanda bila pendapatan keluarga mentua tak berapa stabil sejak covid19 melanda. Saya percaya ramai terkesan tapi saya cuma nak meluahkan saja.

Sejak itu, suami terpaksa menanggung 2 keluarga. Keluarga kecil kami dan juga keluarga dia.

Masalahnya yang buat saya sedikit geram adalah keluarganya terutama adik-adiknya terlalu meminta-minta. Sudah tahu hidup serba sederhana dan terkesan, lagi mahu bergaya.

Umpama biar papa kedana asal bergaya. Dah la semua barang serba mahal sekarang ni.

Adik-adiknya mahu baju serba berjenama yang mahal harganya. Bukan itu saja, minta belanja kasut baru, bag baru.

Sedangkan saya dan suami hanya beli baju di kedai bundle atau pasar tani saja. Sesekali ada rezeki lebih baru beli di parkson atau aeon.

Itu belum lagi ibu bapanya meminta beli kereta baru, peti ais baru, mesin basuh baru, telefon baru, perabot baru.

Semuanya suami saya tunaikan sedikit demi sedikit dan mengambil masa. Ibu bapanya sudah tidak lagi mahu berniaga kedai runcit dengan alasan sudah penat.

Ya saya tau suami saya anak yang baik, suami yang baik dan bapa yang baik. Tak pernah culas dalam tanggungjawab, tak pernah malas dalam bantu hal rumah tangga. Saya sangat bersyukur untuk ini.

Tapi saya kesian dengan suami saya. Kadang-kadang nampak dia tertekan dan murung kerana tak cukup duit nak tampung 2 keluarga.

Saya ada simpanan sikit2 dan duit bisnes online yang saya bantu untuk beli keperluan keluarga kecil kami demi meringankan beban dia.

Apa perlu saya buat? Adakah perlu redha? Adakah ini dikira sebagai membalas budi orangtuanya?

Saya kadang-kadang rasa saya rindukan kehidupan dulu, semua serba cukup tanpa perlu catu, kini perlu berkorban untuk keluarga mentua saya.

Terima kasih.

– Naili (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *