Aku seorang anak yang mempunyai dua orang emak juga dua orang ayah. Aku anak keempat. Ibu dan ayah berpisah ketika aku berumur 2 tahun dan dijaga oleh mommy, isteri baru ayah.
Setelah bercerai dengan ibu, ayah bernikah dengan mommy. Selama setahun setengah aku tinggal dengan mommy. Kemudian aku pulang ke rumah ibu dan ibu mendirikan rumahtangga dengan ayah baru.
Kisah bermula apabila abangku, yang sama2 tinggal bersama mommy membuat pilihan untuk tinggal dan bersekolah di bawah jagaan ibu dan berkumpul semula dengan kakak dan abang sulungku.
Setelah ibu bernikah lain, adik tiri lahir. Segalanya terasa lain. Abang dan kakak sering pulang ke rumah ayah. Malah setiap kali cuti panjang, kami akan tinggal dengan ayah.
Semuanya berlanjutan sehingga aku di tingkatan 5. Adik baru adalah segalanya untuk ibu. Kami bagai terbiar.
Segala urusan sekolah diurus mommy. Baik baju sekolah, kasut sekolah malah ketika kakak mendaftar masuk asrama juga mommy yang uruskan. Ayah sering kerja jauh, jadi tanggung jawab terletak hampir 100% pada mommy.
Kesilapan abang membuat keputusan dahulu, menyebabkan kami terabai. Ibu seakan2 membela anak tiri sedangkan kami anak kandungnya.
Mommy sangat tegas malah tak teragak2 merotan aku jika ada kesalahan yang aku lakukan. Abang? Dia memang juara! Sering menjadi mangsa rotan mommy. Ada saja yang dibuat untuk sakitkan hati mommy.
Malah ibu pernah mencanang ke seluruh ahli keluarga bahawa mommy mendera kami. Ketika itu aku percaya seluruhnya kata-kata ibu. Disuruh membenci mommy juga aku turunkan.
Ayah memang takkan masuk campur urusan mendidik dan membetulkan kami yang manja ini. Semua diserah bulat2 kepada mommy.
Aku juga pernah membenci ayah akibat termakan hasutan ibu. Apa yang ayah lakukan semuanya tidak kena di mata ibu. Ibu berusaha membuat orang sekeliling ayah membenci ayah. Malah sanggup menabur fitnah ke keluarga mommy.
Ketika pulang ke pangkuan ibu, mungkin semua akan fikir, itulah yang terbaik buat kami. Tidak! Kami hanya sayang mommy! Sungguh! Ibu tidak lagi mempedulikan kami. Katanya kami ini anak ayah, menyusahkan! Membebankan!
Kakak merajuk dengan ibu, sehingga membuat keputusan untuk tinggal di asrama dan meninggalkan aku dan abang yang ketika itu aku di darjah 1.
Setelah kakak masuk asrama, aku belajar basuh baju sendiri. Makan jika ada lebihan lauk. Baju baru jangan ditanya. Semuanya daripada mommy. Sedihnya bila dikenang semula.
Ketika abang akan melangkah ke tingkatan 1, abang menyuarakan hasrat untuk ke sekolah berasrama. Mommy tidak benarkan, katanya abang belum pandai berdikari. Sedangkan apa yang aku dan abang lalui di sini, lebih payah dari tinggal di asrama.
Peliknya, ibu sanggup naik turun mahkamah untuk dapatkan hak penjagaan ke atas kami 3 beradik, ketika ini abang sulung sudah mendirikan rumahtangga. Ibu juga sering katakan duit belanja yang ayah kirimkan setiap bulan tidak cukup.
Aku tahu berapa yang ayah beri. Jika dikira semula, terlebih cukup untuk kehidupan kami 3 beradik. Tetapi ketika itu, untuk kembali tinggal bersama mommy ada lah mustahil. Aku bimbang mommy masih setegas dan garang seperti dulu. Aku takut!
Ramai yang kata ibu tiri tu tak sayang anak tiri, mommy juga. Dia tak pernah kata dia sayangkan aku, malah setiap permintaan aku, hampir tidak ada yang tertunai. Jadi aku percaya dia memang tidak sayangkan aku.
Sedangkan ketika anak2 mommy mendapat baju baru, aku akan dapat sama yang sepadan dengan mereka memandangkan umur kami dekat. Ketika mommy bertugas di luar kawasan, pasti ada buah tangan untuk aku.
Ketika cuti sekolah, aku pasti dipelawa untuk ikut mommy bercuti. Antara anak2 mommy dan aku, kami tidak dibezakan. Malah aku juga pernah melihat mereka dirotan jika mereka melakukan kesalahan.
Abang, jika kami bercerita tentang masa kecil, dengan bangga dia akan mengulang cerita yang sama. Katanya, jika mommy tidak garang, dia mungkin tidak mampu berjaya hari ini. Aku juga percaya kerana aku saksi mata kenakalan abang dan ketegasan mommy dalam mendidik.
Hari ini, pandangan aku terhadap mommy berubah apabila aku disedarkan dengan susah payah mommy menguruskan majlis pernikahan aku dan bakal suami. Ibu? Entahlah di mana dia juga aku tak pasti. Mungkin dia bahagia dengan suami dan anak yang dia sayang.
Jika aku boleh mengulang masa lalu, antara ibu kandung dan ibu tiri, aku rela dibesarkan oleh mommy. Aku memilih untuk sayang ibu tiri!
– Bunga ayah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit