Antara Kasih dan Kasihan

Assalamualaikum.. Confession ini ditujukan buat semua pembaca yang telah didiagnos menghidap penyakit panic attacks/anxiety disorder atau mereka yang rasa mereka mempunyai simptom yang hampir sama. Juga buat tatapan pasangan atau ahli keluarga mereka.

Nama pena saya Kasih. Seorang isteri kepada lelaki yang menghidapi panic attack/anxiety disorder. Baru-baru ini saya terbaca beberapa luahan dari pembaca yang mengaku mereka sedang menghadapi masalah panic attacks/anxiety disorder dan penyakit yang sewaktu dengannya. Dari kebanyakan confession yang dibuat dan berdasarkan pengalaman sendiri, kebanyakan mereka ini berpendapat kita yang dianggap normal ini gagal memahami mereka, tidak menyokong mereka dan kerap kali menjadi punca mereka lebih menderita kerana berdepan dengan insan sekeliling yang rata-rata dilabel sebagai ‘tidak memahami’.

Saya pasti ramai pasangan, ahli keluarga atau rakan-rakan kepada pesakit ini kebanyakannya telah berusaha keras untuk cuba memahami mereka. Walaupun peranan kami sering dinafikan, saya tetap berusaha untuk terus cuba memahami dan memberikan sokongan. Sesekali, terbit juga rasa berkecil hati, rasa terkilan, bila keluar perkataan ‘awak takkan faham sakit ini, apa yang kami tanggung dan hadapi’. Entahlah, memahami dan menyokong yang bagaimana yang mereka mahukan. Barangkali kerana mereka terlalu memikirkan penyakit mereka, hingga mereka lupa, pasangan hidup, ahli keluarga dan rakan-rakan yang selama ini sentiasa ada di sisi juga adalah manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Sebagai isteri kepada seorang lelaki yang menghidap simptom ini, saya rasa saya telah mengerah segala kudrat kesabaran, cuba memahami, menyokong dan membantu. Banyak yang telah dikorbankan, Wang ringgit, masa, tenaga dan perhatian.. pun ada kalanya bagi dirinya, itu tidak memadai.

Para pesakit panic attacks, anxiety disorder, gerd dan yang sewaktu dengannya ini mempunyai pelbagai group whatsapp, telegram, malah Facebook juga yang terdiri dari kalangan pesakit-pesakit itu sendiri. Bagi mereka hanya mereka yang saling memahami. Disitulah mereka berkongsi info, tentang simptom, tentang cara rawatan dan saling memberi sokongan sesama ahli. Hubungan mereka menjadi rapat kerana mereka percaya hanya mereka yang faham tentang mereka. Begitulah juga suami saya. Fokusnya kepada kumpulan ini ada kalanya melangkaui batasan. Bermula dari berkenalan dan mengambil berat di dalam kumpulan, akhirnya berlarutan kepada wasap personal, bersembang di telefon dan berjumpa di luar. Bila di tegur alasannya ialah hanya kawan yang menghidap penyakit yang sama.

Sebelum ini sbenarnya saya tiada masalah dan tidak pernah curiga. Sentiasa bersangka baik. Sehinggalah saya perasan perhubungan itu seperti sudah agak keterlaluan. Bayangkan seorang bergelar suami, seorang bergelar isteri tetapi saling berbalas whatsapp secara personal sehingga dinihari. Terlalu mengambil berat hingga hampir setiap hari bertanya khabar sedangkan mereka berada dalam kumpulan whatsapp yang sama. Boleh saja berinteraksi di situ tapi memilih untuk mencari medium komunikasi yang lebih privacy. Sungguh saya tak mampu menerima lagi alasan ‘kawan yg ada sakit yang sama’. Apapun alasan kalian, jagalah ikhtilat dan batas pergaulan. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara.

Dalam kes saya, saya telah pun meluahkan apa yang saya rasa kepada suami. Menasihati secara baik dan sering mengingatkannya. Sesekali saya memantau komunikasi di dalam grup. Dari situ lah saya berani membuat kesimpulan ada sesetengah pesakit ini yang ada kalanya memang cuba meraih perhatian dan simpati yang agak berlebihan. Lebih menyedihkan ada kalanya, bercerita secara terbuka tentang masalah dengan keluarga atau pasangan kepada rakan-rakan group yang sebahagiannya tidak pernah mereka jumpa. Tapi ternyata mereka telah meletak sepenuh kepercayaan dan seperti saya katakan tadi, mereka sangat percaya bahawa hanya mereka yang menghidap penyakit yang sama itu yang paling memahami.

Mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka telah menafikan peranan, telah melukakan perasaan insan yang paling dekat dengan diri mereka saban hari.

Sebelum mengakhiri confession ini, saya mohon maaf sekiranya apa yang saya tulis ini dianggap ‘tidak memahami’ mereka. Saya cuma ingin menyatakan, kami yang dianggap normal ini, yang menjadi pasangan, ahli keluarga atau rakan-rakan kalian, sebenarnya telah banyak mengorbankan perasan kami demi menjaga hati, perasaan dan emosi kalian.

Walaupun kalian anggap kami ini tidak memahami, tapi satu hari nanti semoga kalian dapat menyedari bahawa insan-insan yang tidak memahami inilah yang sebenarnya rela mengorbankan masa, tenaga dan perasaan mereka, tetap setia dan tabah dalam menghadapi tempias penyakit kalian. Jika kalian diduga dan diuji oleh Allah dengan penyakit tersebut, kami pula diduga dalam bentuk yang lain pula.

– Puan Kasih

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *