Antara Keb0d0han dan Kesedaran

Ingin saya berterus terang sahaja untuk menyatakan bahawa saya berada dalam keadaan dilemma sama ada ingin meneruskan perhubungan (perkahwinan) yang toksik ini dan memikirkan masa depan anak-anak.

Banyak impak yang negatif akibat perpisahan ibu bapa kepada anak-anak. Akibat memikirkan hal sedemikan, aku menjadi semakin tertekan.

Impak dari segi emosi, ekonomi dan masa depan. Semuanya berkait. Namun masih mampukah aku bertahan dalam menerima dan menelan segala toksik.

Aku tidak memahami kenapa suamiku tidak mahu menafkahi aku. Seolah-olah kewajipan mencari rezeki untuk keluarga adalah terletak kepada isteri seperti aku.

Aku tidak bersuara kerana ingin mengelakkan pergaduhan. Dengan sikapnya yang sentiasa bersangka buruk dan menuduh aku curang dan mempunyai hubungan intim dengan lelaki lain sewaktu berkahwin dengannya benar-benar meruntun perasaan aku.

Aku sedar yang aku boleh membawa kes nafkah, tuduhan berz1na ke pejabat agama dan mahkamah syariah. (Malah hal ini disebut di hadapan anak-anak juga.

Betapa malunya aku terhadap pertuduhan sebegini.) Dan aku juga rela kerana aku benar. Tetapi apabila memikirkan kesan terhadap emosi anak-anak yang sedang membesar, maka aku tidak meneruskannya. Apa lagi pilihan yang aku ada?

Setiap bulan, pendapatanku sebanyak 60% akan disalurkan ke akaun bank suami dengan tujuan beliau akan menyelesaikan pembayaran bulanan kereta, utiliti lain dan simpanan.

Baki pendapatan sebanyak 40% aku gunakan untuk menanggung duit belanja sekolah anak-anak, yuran tuisyen, barang dapur, makanan, toiletteries, minyak kereta (3 biji kereta) dan lain-lain perbelanjaan yang tak terjangka.

Suami mengatakan bahawa aku diishtiharkan muflis, jadi akaun aku tidak boleh mempunyai banyak wang (tidak dapat dipastikan kebenarannya). Secara jelasnya, aku tidak mempunyai simpanan di dalam bank melainkan tabungan EPF sahaja.

Malah aku juga pernah mengeluarkan wang EPF (pengeluaran khas KWSP) dan dimasukkan ke dalam akaunnya.

Suami bekerja separuh masa membantu adiknya berniaga, namun katanya dia tidak mengharapkan sebarang bayaran gaji memandangkan adiknya kerap membantunya sewaktu dia dalam kesusahan.

Namun, aku hairan bagaimana dia langsung tidak memikirkan tanggungjawabnya yang wajib memberi nafkah kepadaku, anak-anak dan menyediakan kediaman (buat masa sekarang menetap di rumah mertua).

Aku sedih mengenangkan nasibku. Apatah lagi apabila melihat rakan-rakan dan adik beradik yang lain ditanggung oleh suami dan tidak langsung memikirkan soal kewangan.

Dengan kata lainnya, akulah seorang yang menanggung sara hidup suami dan anak-anak. Adakah aku bodoh kerana rela diperlakukan begini?

Sampai bila harus aku berkeadaan begini? Untuk makluman, lebih 20 tahun berkeadaan begini dengan sikapnya yang narsis dan panas baran. Beberapa kali juga aku keluar dari rumah kerana tidak tahan dengan sikapnya yang terkadang abuser.

Aku tidak pasti sama ada wajar atau tidak aku menyesali perbuatan mengahwininya. Aku tidak kisah pun sekiranya dia panas baran, tetapi sedar tanggungjawabnya terhadap keluarga.

Tetapi, aku seorang yang menanggung. Pada awal perkahwinan, dia kerap memaksaku untuk mencari kerja dan katanya dia tidak mahu menanggung biawak hidup.

Sampai hati dia mengatakan aku ini biawak hidup padahal, aku adalah isteri yang harus disara olehnya. Oleh kerana hidup dalam ketakutan dan kebimbangan dipukul dan dimarahi serta dimaki olehnya, maka aku turutkan sahaja kehendaknya.

Untuk makluman, dia juga berkrisis dengan ibu bapa dan adik beradikku yang lain. Malah aku tidak dibenarkan menghubungi mereka.

Pendek kata, jika aku ditinggalkannya, aku adalah sebatang kara tanpa sedikitpun wang simpanan di bank. Sadisnya keadaanku.

Pada tahap kesedaran sebegini, wajarkah aku mengutarakan kes ini kepada mahkamah syariah? Atau patut berdiam diri demi kebahagiaan anak-anak? Perasaan aku sudah tawar. Tiada apa lagi yang tinggal di dalam hatiku.

P/s : Kepada sesiapa yang terbaca luahan ini, aku mengalu-alukan pendapat dan cadangan anda kerana aku buntu.

– Cahaya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *