Antara OCD dan Perfectionist

Ramai yang salah faham berkenaan dua istilah ini. Obsessive Compulsive Disorder (OCD) dan Perfectionist.

OCD adalah sejenis kecelaruan atau disorder sedangkan perfectionist bukan lah kecelaruan yang menganggu kehidupan harian, mungkin sedikit menyusahkan tetapi tidak menganggu gugat kehidupan kita. Saya bukan psychologist, dan tidak punya sebarang kepakaran pun. Saya menulis ini berdasarkan pengalaman hidup saya yang berkahwin dengan pasangan yang OCD.

OCD bukan setakat tengok frame gambar senget, nak kena dibetulkan. Atau menyusun atur sesuatu mengikut sistem-sistem tertentu. OCD juga tidak semestinya mementingkan kebersihan secara total. Apa yang selalu orang ramai gambarkan bahawa OCD ni terlalu pembersih, menyusun, menyapu, menyuci rumah dan barang-barang sehingga tahap berkilauan, tidak. Ini bukan OCD yang saya hadapi, ini adalah perfectionist yang mahukan sesuatu dalam keadaan sempurna.

OCD adalah kecelaruan, pesakit OCD akan membasuh tangan berkali-kali tapi pada masa yang sama akan membiarkan sinki penuh dengan pinggan mangkuk kotor. OCD ini mengambil wuduk hingga setengah jam, mengangkat takbir berkali-kali tetapi melambakkan pakaian kotor mereka merata-rata tempat, waima di tempat solat pun.

OCD ini memakai sarung tangan berlapis-lapis untuk membuang sampah tetapi pada masa yang sama mereka juga membiarkan sampah berbau busuk sehingga adanya ulat-ulat sampah. OCD juga hoarders, menyimpan dan mengumpul barang dengan cara melambakkan di segenap sudut rumah. Perfectionist akan organize, tersusun dan lebih teratur.

OCD ini tidak pernah menepati masa tetapi perfectionist sentiasa menepati masa. OCD ini tidak akan mencampurkan pakaian mereka dengan ahli keluarga mereka untuk dibasuh sekali kerana risaukan kekotoran pakaian orang lain akan mengotori pakaian mereka, tetapi mereka akan pakai pakaian yang sama berhari-hari. Mereka juga akan membiarkan pakaian kotor terperam di dalam bakul berminggu-minggu dan tidak boleh disentuh oleh orang lain.

OCD ini juga akan membuka dan menutup pintu, suis lampu, kipas dan lain-lain berkali-kali. Tetapi pada masa yang sama membiarkan pintu rumah tidak bertutup dari malam sehingga ke pagi.
Nampak atau tidak perbezaan antara OCD dan perfectionist? Saya bosan dengan orang-orang yang seakan berbangga dengan istilah OCD ini sedangkan dia tidak tahu betapa seksanya hidup bersama dengan pesakit OCD.

Mereka tidak mampu hidup seperti manusia normal, mereka tidak mampu untuk mengekalkan pekerjaan mereka, sering bertukar kerja, dibuang kerja dan jika bekerja sendiri pun tidak mampu untuk melakukannya dengan baik. Ini gara-gara masalah OCD yang telah menguasai minda dan kehidupan mereka.

Menjadi lebih berat lagi bila pesakit OCD ini juga dibesarkan oleh keluarga yang sentiasa bail him out. Keluarga yang terlalu menyokong tanpa ada ruang untuk berdikari. Sehinggalah dia berkahwin, segala-gala tanggung jawab dilepaskan kepada pasangannya sebab dia telah terbiasa yang sekiranya dia gagal, sentiasa ada orang akan mengambil alih tanggung jawabnya dan menyelesaikan masalahnya.

Yang lebih ironi ialah pesakit OCD ini hidup dalam penafian, in denial. Tidak mengaku yang dia mempunyai masalah ini. Orang-orang di luar termasuk keluarganya melihat kehidupan kami seperti normal, seperti biasa, keluarga dia juga beranggapan semuanya okay, beranggapan selepas berkahwin dia tidak lagi melayan perasaan was-wasnya. Sedangkan hakikat sebenarnya, pasangannya lah yang bertungkus lumus memastikan kehidupan mereka dan anak-anak berjalan senormal mungkin.

Berat menjadi isteri kepada suami yang OCD, menjalankan tanggung jawab sebagai suami, isteri, ibu dan ayah. Pada masa yang sama perlu berkerja mencari rezeki kerana suami pada bila-bila masa akan dibuang kerja. Seperti saya sendiri, berkerja makan gaji dan berniaga kecil-kecilan untuk menampung kehidupan yang semakin hari semakin mahal.

Buat masa ini saya masih bertahan selepas 16 tahun berkahwin, hanya 2 tahun pertama sahaja saya ditanggung oleh suami kerana saya tidak bekerja sebaik sahaja tamat belajar. Sebaik sahaja saya berkerja dan memiliki pendapatan sendiri saya mula menanggung diri sendiri. Dengan masalah suami yang OCD, sepanjang perkahwinan ini telah enam kali bertukar majikan yang mana 4 kali diberhentikan dan 2 kali diminta letak jawatan. Tidak pernah mendapat kenaikan pangkat dan juga selama berkerja tidak sampai 3 kali mendapat kenaikan gaji kerana masalah disiplin yang teruk.

Kini suami tidak berkerja tetapi tidak juga menjadi house husband untuk menguruskan rumah. Saya juga lah yang melakukan house chores dengan dibantu dengan anak-anak. Jadi, hujung minggu saya dihabiskan menguruskan rumahtangga dan juga menjalankan perniagaan kecil-kecilan saya.
Saya berkorban gaji belikan sebuah kereta agar dia boleh mencari rezeki dengan e-hailing service.

Malangnya, pendapatan dari kereta tersebut juga tidak dapat menampung bayaran bulanan kereta. Sekarang saya terbeban dengan bayaran bulanan kereta yang sepatutnya meringankan beban kewangan kami. Segala pendapatan yang diperoleh daripada kereta ini digunakan untuk perbelanjaan dirinya dan menyelesaikan hutang-hutangnya.

Dari awal pekerjaan saya, saya telah menyumbangkan 50% perbelanjaan rumah tangga. Bila saya mendapat kenaikan pangkat dan gaji, saya menampung sehingga 70% perbelanjaan rumah tangga kerana suami yang sering hilang pekerjaan. Setiap kali dia mendapat pekerjaan baharu, gaji yang diperolehi sama ada lebih rendah atau sama dengan gaji sebelum ini sedangkan kos hidup di bandar besar ini meningkat saban tahun.

Sekarang, boleh dikatakan saya menampung 95% perbelanjaan hidup kami. Urusan kerja-kerja rumah boleh dikatakan 80% diuruskan oleh saya dan 10% dibantu oleh anak-anak yang masih bersekolah rendah. Dia? Masih dengan OCDnya dan hidup dalam penafian dan percaya bahawa dia adalah suami dan ayah yang baik.

Tidak meninggi suara, tidak memukul dan tidak main kayu tiga sahaja tidak bermakna dia adalah suami yang baik. Sebab perkara-perkara ini memang sepatutnya tidak berlaku dalam perkahwinan. Tidak menunaikan hak-hak seorang isteri, tidak menunaikan hak anak-anak yang merupakan tanggung jawab hakiki adalah perkara pertama menunjukkan yang dia bukanlah suami dan ayah yang baik.

Kalau setakat tidak tinggi suara, tidak pukul dan tidak main kayu tiga, tiada bezanya dengan orang-orang di luar sana yang tidak memegang istilah suami. Yang membezakan suami dengan orang-orang di luar sana ialah tanggung jawab, kasih sayang dan sifat empathy terhadap ahli keluarga. Dia ada tetapi seperti tiada. Ya, dia adalah masalah OCD tetapi sampai bila untuk berterusan dengan masalah ini?

Jika ada masalah, cari jalan penyelesaian bukannya dibiarkan begitu. Luka yang tidak diubati akan menjadi nanah.

Perkahwinan ini hanya menunggu masa sahaja. Saya sentiasa berdoa sekiranya masih ada harapan dalam perkahwinan ini, maka mudahkan lah segala urusannya. Bukakanlah mata dan hati suami untuk memperbaiki hidup untuk menjadi ayah dan suami yang terbaik untuk kami. Saya berdoa agar saya juga terus membaiki diri untuk menjadi isteri dan ibu yang terbaik untuk keluarga ini.

Dalam masa yang sama, saya juga berdoa sekiranya perkahwinan tetap berterusan seperti ini, bukalah jalan kepada saya untuk keluar dari perkahwinan ini secara baik dan harmoni. Semoga kami dapat menjalankan kehidupan masing-masing secara berasingan dan anak-anak mendapat yang terbaik dari kami berdua.

Sesungguhnya saya tidak ingin menjalani kehidupan seperti ini di hari tua. Sekarang saya masih berupaya terkejar sana sini menguruskan keluarga, masih bertenaga, masih bekerja dan ada pendapatan. Di hari tua nanti, dengan tenaga dan keupayaan yang semakin menurun, telah bersara tanpa sebarang pendapatan, bergantung harap dengan KWSP sahaja.

Saya tidak fikir saya mampu menjadi isteri yang baik, mungkin saya akan membenci dia sepenuh hati kerana menyebabkan saya tidak dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

Boleh saya katakan OCD dan sifat chauvinist lelakinya telah membunuh perkahwinan kami perlahan-lahan.

Ini adalah perkongsian saya sebagai isteri kepada pesakit OCD. Janganlah berbangga sangat dengan istilah OCD ini, jika betul ada masalah ini dapatkan lah rawatan dari yang pakar. Jangan biarkan orang di sekeliling menderita. Jangan takut dengan stigma yang mengatakan berjumpa psychologist itu bermakna gila, sebab ini tidak membantu sama sekali.

Saya hanya menunggu masa untuk membuat keputusan.

– Princess Consuelo Banana Hammock

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *