Untuk part I, (https://iiumc.com/antara-tanggungjawab-dan-cinta/).
Untuk part II, (https://iiumc.com/antara-tanggungjawab-dan-cinta-ii/).
“Abang, jika ditakdirkan sayang pergi dulu, kuburkan saja sayang di sini. Sayang memang sudah anggap sayang sudah jadi orang sini . Mudah anak-anak datang menziarah. ” Cetus isteriku.
Kadangkala, kata-kata yang terpacul dari mulut isteri membuatkan aku selalu terkelu. Tingginya martabatku di hatinya. Beliau meletakkan seluruh kehidupannya untukku. Aku sentiasa menjadi keutamaannya dalam apa-apa jua hal. Baginya, tempat yang terbaik bagi seorang isteri adalah di sisi suami.
Ibu bapanya masih ada. Sihat dan meruskan hidup mereka dengan wang pencen bulanan yang diterima setiap bulan. Namun begitu, kami dan keluarga mentuaku dipisahkan dengan dua kali penerbangan. Oleh itu, kami hanya mampu pulang sekitar 3 kali setahun buat masa ini. InsyaAllah memang kami berazam untuk balik dengan lebih kerap apabila kewangan semakin stabil saban tahun.
Melihat bagaimana isteriku bekorban dan meletakkan kedudukan aku begitu tinggi dalam kehidupannya membuatkan aku merasa perlunya aku menyantuni, melindungi seterusnya menutup segala aib yang ada pada dirinya terutama di mata keluargaku.
Kami dibesarkan dengan cara yang berbeza. Berjauhan sesama ahli keluarga bagi keluarga isteriku adalah perkara biasa. Ketika zaman belajarnya, isteriku telah mendapat tajaan untuk belajar di luar negara. Oleh itu, gaya hidup berdikari jauh dari keluarga itu memang sudah sebati dalam dirinya.
Namun begitu, hal yang demikian bukanlah menjadi perkara pokok mengapa aku memilih untuk hidup begini. Kami berdua dibesarkan dengan cara yang berbeza. Isteriku dibesarkan dengan gaya selamba. Manakala aku dibesarkan dengan penekanan terhadap disiplin dan protokol yang agak tinggi terutama di dalam rumah.
Keluarga mentuaku gemar “jalan-jalan cari makan” dan jarang masak di rumah. Berlainan pula dengan keluarga aku yang kebanyakan masa menikmati juadah dari dapur sendiri. Di pihak keluargaku, makanan yang dibungkus dari luar haruslah diletakkan di dalam pinggan dan dihidangkan dengan elok di atas meja. Berlainan dengan gaya keluarga mentuaku yang selamba di mana makanan yang dibungkus terus diletak di atas meja dan dijamah begitu sahaja.
Terdapat banyak lagi perbezaan yang tidak perlu aku ceritakan kerana seolah-olah aku ingin membuka pekung mana-mana pihak. Cuma apa yang ingin aku sampaikan adalah kadangkala perbezaan-perbezaan ini memberi tanda tanya kepada keluargaku. Mengapa begitu dan mengapa begini.
Oleh itu, untuk mengelakkan berlakunya sebarang konfrontasi dikemudian hari, maka lebih baik begini. Kepulangan kami setiap minggu itu sentiasa dinanti. Dengan telatah cucu-cucu yang mencuit hati, tidak sempat nampak kekurangan isteriku di mata orang tuaku.
“Sayang memang tak pernah mengharapkan apa-apa harta orang tua. Bahkan memang sayang sudah maklumkan dengan papa dan mama. Apa sahaja yang mereka ada, wariskan saja pada Along. Dia anak lelaki. Harta sayang adalah apa yang ada pada abang” terang isteriku.
Kata-kata ini selalu bermain-main dalam kotak fikiranku. Rasa cinta aku padanya sentiasa mekar dan subur namun ku sulami dengan rasa tanggungjawab kerana pengabdian hidupnya untuk aku tiada tolok bandingnya. Ya, isteriku bukanlah cinta pertamaku. Namun cinta ini tidak pernah aku rasai. Dia istimewa dan tidak akan dipersiakan. InsyaAllah.
“Abah, bila kita nak gerak ni? Abang sudah menunggu di dalam kereta”. Tanya Fifi anak gadisku yang semakin meningkat dewasa. Aku melangkah ke dalam kereta dan duduk di kerusi penumpang di sebelah pemandu.
Anak lelakiku dengan tenang menyambutku dengan senyuman persis ibunya. “Nenek tak nak ikut?” Tanya ku pada Irfan, anak lelakiku. “Nenek nak berehat di rumah saja abah. Katanya, dia pening dan mahu baring” terangnya lagi.
Tubuhku ada sini,
Tetapi tidak jiwaku,
Kosong yang hanya kurasakan,
Kau telah tinggal di hatiku.
Di dalam keramaian,
Aku masih merasa sepi,
Sendiri memikirkan kamu,
Kau genggam hatiku,
dan kau tuliskan namamu,
Kau tulis namamu..
Aku segera memperlahankan radio di dalam kereta. “Maafkan abah kerana lambat tadi. Abah rindu sangat dengan ibu kamu berdua”. Mereka berdua hanya berdiam tetapi memandangku dengan pandangan yang begitu menyejukkan sanubari.
Lebih kurang lima minit perjalanan, kami pun tiba di lokasi yang ingin ditujui. Dengan serentak anak-anakku memberi salam. “Assalamualaikum Ya Ahli Kubur”.
“Bulan tenggelam di teluk matamu, aku tak mampu mencegah hatiku, terhanyut ombaknya ke dalam rindu”
Penafian : Confession ini mempunyai sedikit nilai tambah untuk memberi impak emosi kepada pembaca. Namun 95% daripada kisah ini adalah kisah benar daripada penulis sendiri.
– Sang Arjuna Nestapa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Â https://iiumc.com/submit