Ada sesuatu yg membuat aku terkesan hari iniβ¦
Waktu lunch tadi, seorang hamba Allah
warga Bangladesh yang bekerja di kilang yang sama tempat aku bekerja, aku gelar Abangla mintak tumpangkan beliau ke masjid. Dia seorang yang baik. Aku memang selalu tumpangkan dia balik kalau jumpa tengah jalan dengan kawan-kawan dia.
Aku keje di kilang bahagian R&D. Kerja aku tak ada kena mengena dengan mereka. Tapi kerana kesian sebab mereka jalan kaki pergi and balik kerja, aku selalu tumpangkan kalau kebetulan aku terserempak dengan mereka. Masa kawin dulu Abangla ini siap bagi hadiah duit dalam sampul lagi tau..hahaha
Kalau terserempak dalam kilang, mereka selalu tanya “kakak sihat?” Atau “abang ada baik ka?”. Kalau nampak aku tak berapa sihat, mereka akan kata “kakak tak sihat ka? Tak payah datang kerja. Rehat rumah. Abang ada kerja bagi duit jangan risau” Eh..eh..aku selalu balas balik “saya suka duit. Tak kerja macam mana nak ada duit banyak” hahaha.. so far mereka sangat polite. Bukan semua Abangla jahat okey, ada yang baik. Dont judge the book by its cover people..kerana nyamuk seekor habis kelambu dibakar..!
Okay2..sambung cerita. Tengah hari tadi, aku tumpangkan salah seorang Abangla ni ke masjid untuk solat jumaat. Dia agak warak dan kuat agama. Dengar cerita dia adalah bekas tahfiz dulu. Alhamdulillah. Dia ni lah yang selalu tegur aku bagi salam kalau jumpa. Baik betul budak ye. Baru je berkahwin..haha
Masjid dengan office aku tak adalah jauh sangat. Tapi kalau jalan kaki basah juga la ketiak..haha..!!! Sewaktu dalam kereta, tiba-tiba beliau bertanya..
“kakak hati ada sakit ka?”
Aku tergamam sekejap! Aku toleh ke arah dia.
“Kenapa u tanya hati saya sakit ke tak? Pelik la soalan u”
Dia cepat-cepat minta maaf dan kata dia tak patut tanya macam tu. Aku tanya dia kenapa u tanya soalan tu.
Sambil tunduk dia jawab..
“Kakak sudah kawin lama tapi tak ada anak lagi. Kakak hati ada sakit tak?”
Aku terkesima. ALLAHU. Aku tak pernah sangka dia akan tanya soalan macam tu padaku. Aku tak sangka dia Abangla yang selalu disalah anggap ni rupanya prihatin pada diriku.
Aku senyum menahan getar. Orang yang kenal aku tahu macam mana aku menjawab soalan perihal zuriat ni. Aku akan selalu bergurau2 untuk mengelak akan sedihku dihidu. Aku tak suka menceritakan tentang kesedihan nan satu ini. Keluarga aku pun tahu aku seorang yang happy go lucky dah tak suka mengadu nasib.
Tapi soalan dari Abangla ini membuatkan aku tersentak. Aku tak marah. Aku terkejut beliau bertanya hal itu. Tiba-tiba aku rasa syahdu. Di bulan dan hari yang mulia ini, dalam perjalanan dia ke masjid, soalan ini yang terpantul dimulutnya. Macam ada sesuatu di dalam soalan beliau. Rasa dia lain. Lain berbanding pertanyaan orang lain tentang perkara yang sama. Aku dapat rasa soalan itu seperti ikhlas mengambil berat tentang perasaanku. Bukan soalan makcik-makcik bawang yang hanya bertanya basah basi.
Perlahan-lahan aku menjawab..
“Saya okay. Hati saya tak sakit. Saya tak pernah sakit hati atau sedih. Ini semua takdir Allah. Kalau Allah nak bagi dia akan bagi. Kalau tidak saya tak sedih. Ini takdir” jawabku sambil senyum.
“Saya dan suami dah berusaha. Yang penting adalah saya dan suami bahagia. Kami happy. Kita kena positive. Suami saya sayang saya sudah cukup” sambungku lagi.
Abangla mengangguk. Dia tersenyum.
Aku rasa puas.
Aku rasa itu jawapan yang paling jujur yang aku berikan sejak aku berumah tangga dan menghadapi soalan-soalan cepu cemas!
Setibanya di masjid, dia mengucapkan terima kasih dan turun dari kereta. Aku memandang dia melangkah ke pekarangan masjid.
Aku berasa lega. Hati rasa lapang. Selapang-lapangnya. Tiba-tiba aku sedar kebahagiaan antara aku dan suami juga satu anugerah. Mendapat seorang suami yang memahami dan baik juga satu anugerah. Dikurniakan kesihatan dan kehidupan yg selesa juga satu anugerah. Dikelilingi insan2 yang menyayangi dan mengambil berat juga satu anugerah. Mempunyai keluarga dan kawan-kawan yang memahami juga satu anugerah. Ditanya soalan cepu cemas oleh Abangla pun satu anugerah. Anugerah di bulan Ramadan yang membuatkan aku rasa tenang. Aku rasa aku menemui kekuatan dalam jawapan aku tadi.
Jangan diratapi kekurangan kesedihan kita kerana anugerah dan rahmat Allah datang dalam berbagai cara dan bentuk. Bersyukurlah..aku bersyukur dengan segala apa yang ada.
“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (QS. Ar -Rahman [55] )
Aku meneruskan perjalananku.
“Segala puji itu hanya untuk Allah..
tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah..Allah Maha Besar..
tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah”
-Selamat berpuasa dari kakak kilang-
– Kakak kilang
Hantar confession anda di sini ->Β www.iiumc.com/submit