Anxiety Tahun Akhir

Aku nak berkongsi cerita yang boleh dijadikan pengajaran untuk mereka yang masih berjuang untuk mencapai segulung ijazah.

Nama aku Bunga, pelajar tahun akhir disebuah universiti terkenal di Selangor. Pada tahun akhir ini, aku perlu menjalankan kajian berkaitan dengan kos yang aku ambil dan menulis tesis berdasarkan hasil kajian tersebut.

Aku ada satu sikap yang suka sangat bertangguh dalam buat kerja. Selagi belum tiba tarikh akhir (due date), selagi itulah aku masih santai macam di tepi pantai. Berbaki kurang dari dua minggu, barulah aku mula sedar dan mula menulis tesis dari Bab 1 hingga Bab 6. Nasib baik aku dah dapat hasil kajian yang diperlukan.

Pada mulanya, aku yakin boleh siapkan tesis ini dalam masa kurang dari dua minggu. Tapi aku silap. Aku terlupa ada satu bahagian yang sangat mencabar dalam penulisan tesis, iaitu Literature Review. Siapa yang pernah buat tesis pasti faham betapa sukarnya bahagian ini.

Aku terpaksa menyiapkan bahagian yang mencabar itu dalam tempoh empat hingga lima hari sahaja, disebabkan ada banyak lagi bab lain yang perlu aku selesaikan. Bayangkan betapa tergesa-gesanya aku pada waktu itu.

Masa ni, aku dah mula tertekan dengan tesis aku. Keadaan jadi lebih teruk apabila aku melihat status WhatsApp kawan-kawan yang dah siap tesis dan ada yang tinggal sikit je lagi sedangkan aku masih terkial-kial di Bab 2.

Hanya Tuhan saja yang tahu betapa sengsaranya aku waktu itu. Aku sampai tak fikir tentang makan dan tido lambat berhari-hari. Aku bersyukur sepanjang aku tak makan tu, kepala aku tak masuk angin and tak kena gastrik.

Setiap hari aku risau, tertanya-tanya sama ada sempat atau tidak untuk hantar tesis on time. Rasa tertekan makin menjadi-jadi sampai aku kena anxiety yang teruk. Lagi-lagi bila pensyarah beritahu yang beliau nak semak tesis sehari sebelum tarikh penghantaran. Jantung aku rasa macam nak pecah dan sesak sangat.

Pernah terlintas di fikiran aku untuk tamatkan hidup dengan terjun bangunan atau mengelar pergelangan tangan. Aku sangat-sangat takut. Mujur iman aku masih kuat dan aku berfikiran jauh. Kalau tidak, mungkin dah viral kisah aku seluruh dunia.

Aku cuba fikir tentang ibu dan ayah di kampung. Betapa sedih dan kecewanya mereka kalau tahu aku bunuh diri hanya kerana tak sempat siapkan tesis. Aku tarik nafas panjang-panjang, cuba tenangkan diri, dan menangis sepuasnya. Aku tak sanggup kecewakan mereka.

Banyak kali aku beristighfar. Mungkin mereka yang bunuh diri, mengalami anxiety yang sama macam aku. Fikiran mereka kusut dan satu-satunya cara adalah dengan menamatkan diri.

Hari-hari aku rasa gelisah dan menangis. Sampailah satu hari, hati aku terdetik untuk hubungi ibu. Aku tahu, aku perlukan doa seorang ibu. Rasanya dah lama sangat aku tak hubungi ibu.

Aku ceritakan semuanya, luahkan segala yang terpendam. Ibu tak marah, tapi dia cuba tenangkan aku. Ibu juga pesan supaya aku amalkan zikir “La Hawla Wala Quwwata Illa Billah” untuk menenangkan hati. Setiap kali anxiety datang, aku lawan dengan zikir.

Alhamdulillah, rasa gelisah itu semakin berkurang dan semangat aku kembali pulih. Untuk korang yang ada anxiety, cubalah amalkan zikir ini juga. Aku jadi yakin yang aku boleh siapkan tesis tepat pada masanya.

Ternyata, kuasa doa dan restu ibu sangat besar dalam memberi kekuatan. Syukur, aku berjaya melawan perasaan negatif itu dan teruskan perjuangan sehingga berjaya menyiapkan tesis tepat pada waktunya.

Daripada kisah aku ini, terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil sebagai panduan dalam menghadapi cabaran.

Pertama, jangan bertangguh dalam menyiapkan tugasan. Sikap suka menunda kerja bukan sahaja menyebabkan tekanan pada saat akhir, tetapi juga mengganggu emosi dan kesihatan.

Oleh itu, biasakan diri untuk merancang dan memulakan kerja lebih awal supaya tidak terbeban dikemudian hari.

Kedua, kuatkan mental dan rohani ketika berdepan cabaran. Apabila tekanan melanda, dekatkan diri dengan Tuhan dan amalkan zikir atau doa bagi menenangkan jiwa.

Jangan biarkan perasaan tertekan menguasai diri sehingga menjejaskan kesihatan mental. Cari cara untuk bertenang seperti menghubungi ibu.

Akhir sekali, jangan sesekali putus asa walaupun terasa sukar. Ingatlah bahawa setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Tuhan takkan menguji hambanya melebihi kemampuan.

Fikirkan tentang orang yang kita sayang dan jangan biarkan tekanan menghancurkan impian serta masa depan kita. Terus berusaha dengan yakin bahawa kita mampu mengatasi cabaran dan mencapai kejayaan.

Tapi, baru-baru ini rasa anxiety aku datang lagi. Sampai di sini dululah perkongsian aku. Semoga apa yang aku kongsikan ini dapat memberi manfaat dan kekuatan kepada mereka yang sedang berdepan dengan situasi yang sama.

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *