Terima kasih admin untuk penyiaran confession saya.
Sekarang ni keadaan fikiran saya sangat berserabut sebab perempuan yang saya sayang sepenuh hati sanggup curang dan membohongi saya dalam tempoh setahun kami berkenalan.
Mungkin Allah nak tunjukkan yang saya bukan lelaki terbaik untuk dia.
Saya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) dan kami mula berkenalan semasa sama-sama menjalani praktikal di tempat kerja.
Saya menggunakan orang tengah untuk meluahkan betapa saya ikhlas ingin berkenalan dengannya serta berhasrat menjadikan dia sebagai teman hidup.
Pada mulanya dia agak terkejut dan dia berterus-terang bahawa dirinya sudah mempunyai kekasih hati. Jadi, kami hanya berkawan biasa dan tidak lebih daripada itu.
Beberapa tahun kemudian, dia menghubungi saya dan memberitahu yang dia telah berpisah dengan kekasih lalu atas sebab-sebab tertentu.
Pada ketika itu, saya fikir lebih baik saya berusaha untuk berjumpa ibu bapanya untuk merisik dan melamar. Sebab niat saya memang betul-betul ikhlas ingin menyayanginya. Dia seorang yang pendiam dan tidak banyak bicara.
Namun hatinya penuh diliputi kemesraan yang hangat dengan semua orang. Mungkin dia menjadi introvert disebabkan kisah silam fserta persekitaran. Tapi hakikatnya dia seorang yang ceria dan happy go lucky.
Ditakdirkan kami bersua muka hanya dua kali dan berikutnya melibatkan percintaan jarak jauh kerana masing-masing bekerja di negeri yang berbeza.
Tidak berapa lama kemudian, dia ada menceritakan bahawa ada seorang lelaki (duda), di tempat kerjanya yang sangat mengambil berat serta pandai mengambil hatinya dengan cara tersendiri.
Saya pernah menasihatinya agar tidak terjebak dengan kata-kata manis serta taktik-taktik memikat perempuan.
Namun, nasihat saya hanya sia-sia kerana salah satu sebab yang saya dapat simpulkan ialah dia (kini ex-gf) merupakan seorang perempuan yang sangat bergantung serta sentiasa memerlukan seseorang menemani di sisi.
Tambahan lelaki tersebut dilihat ikhlas dan jujur untuk berkahwin dengannya maka secara diam-diam bermulalah episod curang yang disembunyikan.
Dalam tempoh beberapa bulan, dia sering tidak membalas mesej serta tidak mengangkat panggilan telefon. Ada juga dilihat dia seperti ‘sengaja’ mematikan telefon daripada dihubungi selama berhari-hari.
Beberapa kali saya memintanya agar jujur dan beerterus-terang sekiranya dia benar-benar telah berubah hati. Namun dia menafikan sekeras-kerasnya hal itu.
Sehinggalah akhirnya ada suatu ketika saya cuba menghubunginya pada pagi hujung minggu.
Namun tidak diangkat dan hanya dibalas dengan mesej “Saya sedang keluar ke pasar. Nanti saya telefon semula,”.
Tidak lama kemudian, dia menghubungi saya dan bertanyakan mengapa menelefon dirinya. Tetapi saya perasan nada suaranya tidak seperti kebiasaannya.
Lalu lelaki di sebelahnya mengambil telefonnya dan memberitahu supaya jangan mengganggu si dia lagi kerana sudah pun bertunang.
Apabila ditanya bila tarikh pertunangan, jawapannya “Ini adalah privacy kami. Jangan masuk campur,”.
Selepas dari tempoh itu, saya langsung tidak mendapat jawapan mengapa dia sanggup curang kepada saya secara diam-diam.
Dia mempunyai hubungan dengan lelaki lain, tetapi pada masa yang sama dia enggan berterus-terang dengan saya dan tetap ‘berlakon’ seperti tiada apa yang berlaku.
Bukan niat saya mengungkit segala apa yang pernah saya korbankan untuk dirinya, tetapi andai kata dari awal dia tidak mahu hubungan yang serius, apa salahnya dia jujur dari awal.
Mengapa mesti mempermainkan perasaan orang lain dan mempergunakan orang lain untuk kepentingan diri sendiri?
Soalan saya :
1. Adakah salah saya kerana terlalu awal ingin berjumpa ibu bapanya?
2. Mengapa dia tergamak mementingkan diri tanpa mempedulikan perasaan orang lain?
3. Mengapa dia tidak mahu berterus-terang dari awal seandainya dia langsung tiada hati pada saya?
4. Mengapa dia tidak jujur mengenai dirinya yang berubah hati hingga menipu saya sekian lama?
Tolong bagi saya jawapan. Terima kasih.
– Rizal (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit