Masih segar dalam ingatan sewaktu aku melafazkan akad nikah 10 tahun yang lepas, tersenyum bahagia diriku. Begitu juga dengan Lan (bukan nama sebenar).
Lan, kawan baikku dari zaman sekolah menengah. Suka duka, miskin kaya kami kongsi bersama. Serata Malaysia kami pusing berdua sewaktu baru nak kenal dunia, membina hidup sehinggalah kami ditemukan dengan jodoh masing-masing.
Beberapa bulan setelah pernikahanku, Lan pula diijabkabul di negeri pantai timur & aku hadir bersama isteriku meraikan pernikahannya.
Persahabatan kami tidak terhenti di situ. Kami masih berjumpa lepak sesekali ketika pulang ke kampung seperti biasa.
Malah kami juga pernah keluar bersama beberapa kali sewaktu kedua-dua isteri kami hamil melaga perut. Masing-masing tak sangka dah nak jadi ayah, betapa cepat masa berlalu.
Isteriku melahirkan seorang puteri & beberapa bulan kemudian dalam tahun yang sama, Lan juga dikurniakan seorang puteri. Betapa happynya kami sewaktu menggendong puteri-puteri kami. Safwa dan Sara.
Saat menggendong Sara, aku menganggap Sara ibarat anakku sendiri. Nama yang hampir sama. Wajah & susuk tubuh yang juga hampir sama ibarat kembar seperti bapa-bapa mereka.
Aku & Lan sering membayangkan anak-anak kami akan membesar bersama menjadi kawan baik seperti kami kerana mereka sudah berkawan dari dalam perut lagi.
Suka aku melihat anak-anak kami bermain bersama & melalui setiap fasa kehidupan seperti pertama kali makan, their first words, pertama kali meniarap, merangkak & bertatih.
Kami sebagai lelaki yang juga pertama kali menjadi ayah sering bertukar info & pengetahuan tatkala anak kami tak sihat, tak lalu makan.
Malah sekecil-kecil perkara seperti anak tak mahu tidur malam pun kami bincang solutions bersama sambil gelak ketawa mengenangkan kehidupan kami yang dah dah berubah 360 darjah.
Setahun kemudian, kami pakaikan puteri-puteri kami sedondon sewaktu hari raya untuk ambil gambar sebagai kenangan. Masing-masing baru menginjak 1 tahun & telah pun faham mereka adalah kawan kerana kerap berjumpa main bersama.
Kadang kala aku & Lan ketawa terbahak-bahak melihat anak-anak kami berbual dalam bahasa alien yang hanya mereka berdua yang faham.
Siapa sangka gambar tersebut merupakan foto terakhir Safwa & Sara. Aku menerima perkhabaran duka yang amat perit untuk aku terima beberapa bulan selepas itu.
Lan terbabit dalam kemalangan maut sewaktu menuju ke tempat kerja, meninggalkan isterinya & Sara yang berumur 1 tahun 3 bulan selama-lamanya.
Air mataku yang sudah bertahun-bertahun tidak keluar akhirnya jatuh berderai tatkala melihat isterinya & Sara meraung sewaktu pengebumian Lan. Sara masih kecil sebaya anakku, namun sudah kehilangan seorang ayah yang amat mencintainya.
Aku akui. Setelah ketiadaan Lan, kurang satu warna dalam hidupku, begitu juga anakku yang tidak lagi bermain-main dengan Sara. Banyak yang telah aku & Lan rancang. Bercuti bersama untuk melihat anak-anak kami mengenal dunia bersama seperti pergi swimming, zoo, kidzoonia.
Kami juga pernah sama-sama membayangkan bagaimana nanti hari pertama Safwa & Sara di sekolah dengan uniform sekolah. Tapi, aku terkilan kerana Lan tidak sempat menyaksikan semua itu.
Setahun setelah pemergian Lan, aku ziarah ibu bapanya di rumah yang dahulunya Lan & keluarganya tinggal sekali kerana Lan merupakan anak tunggal. Sayangnya, balu Lan telah pun pulang ke pangkuan ibu bapa beliau & tidak lagi tinggal bersama mertuanya.
Aku faham. Wanita yang kehilangan suami perlukan ibu bapanya, support system yang paling kuat untuk meneruskan kehidupan. Mungkin itu keputusan yang terbaik buatnya.
Tapi aku sedih kerana Safwa tidak dapat berjumpa dengan kawan baiknya pada hari itu & aku juga tidak dapat melihat wajah anak rakan baikku. 2 tahun sudah umur Sara, pasti sudah lebat rambutnya seperti anakku.
Aku ziarah lagi ibu bapanya sewaktu anakku bakal masuk tadika 5 tahun & dimaklumkan yang balu Lan telah pun berkahwin lain. Ibu bapa Lan juga tidak pasti dimanakah mereka kini, sama ada tinggal di pantai timur atau berhijrah ke negeri lain.
Namun mereka ada juga sekali dua datang ziarah. Mungkin atas faktor jarak lokasi yang jauh, balu Lan tidak dapat bawa Sara jumpa datuk neneknya selalu.
Pernah beberapa kali aku & isteri mencari balu Lan di media sosial namun tidak lagi kami jumpa profilenya. Kami tahu yang balu Lan lenyap menghilangkan diri beberapa bulan selepas pemergian Lan.
Mesej-mesej kami bertanya khabar juga tidak delivered ketika itu, mungkin sudah tukar nombor. Akaun media sosial & nombor telefon Lan juga sudah tidak aktif. Kata isteriku dia faham, bukan mudah seorang wanita nak terima hakikat ini.
Aku pernah juga terdetik untuk singgah ke rumah orang tua balu Lan sewaktu bercuti di pantai timur, namun aku tak ingat lokasi rumahnya
& sukar untuk aku mencari kerana pesatnya pembangunan yang telah mengubah wajah daerah itu selain aku tidak tahu nama penuh balu Lan apatah lagi nama ibu bapanya.
Nombor telefonnya juga kami tiada. Kami perlukan masa yang lama sekiranya betul-betul ingin menjejakinya. Kata isteriku, mungkin kami perlu terima hakikat yang persahabatan anak kami hanya setakat itu sahaja. Tidak seperti yang aku & Lan pernah bayangkan, hingga dewasa.
Sara juga sudah ada bapa baru & mungkin ada adik-adik baru seperti Safwa. Kalau kami beria mencarinya, apa pula kata suami barunya. Benar juga. 10 tahun telah berlalu.
Jujur aku cakap, aku rindukan Sara. Bagaimana agaknya wajah Sara sekarang. Adakah mirip Lan? Terkadang, bila aku lihat Safwa mencapai sesuatu dalam setiap fasa kehidupannya, aku teringat Sara. Aku teringat Lan.
Safwa telah pun bersekolah rendah & beberapa tahun lagi akan memasuki sekolah menengah.
Safwa kini dah pandai ajak aku masuk Watson untuk beli peralatan make up yang tak pernah aku hafal walaupun dah banyak kali dia ajar aku. Kalau Lan masih hidup, mungkin inilah topik perbualan kami sambil gelak ketawa.
Sara, uncle sentiasa doakan yang terbaik buat Sara walaupun Sara dah tak kenal siapa uncle. Uncle saksi betapa bahagianya papa Sara waktu Sara hadir dalam kehidupan dia. Mata papa Sara paling bersinar kalau dia bercakap dengan uncle tentang Sara.
Atau mungkin sebenarnya Lan lah yang aku lebih rindukan daripada Sara.
Al- Fatihah buat sahabat karibku Lan.
– Uncle F (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit