Apa Niatmu Mengahwiniku?

Assalamualaikum admin dan semua pembaca yang dihormati…

Terima kasih kerana sudi membaca luahan hati saya yang tak tahu mana untuk diluahkan….

Terasa untuk mati dan pergi jauh dengan apa yang terpendam dalam hati ini….

Untuk pengetahuan semua, saya telah berkahwin lebih 22 tahun… punyai kerjaya yang kukuh, personality yang masih sempurna dan sihat sebagai hamba Allah Yang memegang amanah sebagai isteri dan ibu kepada 2 cahayamata lelaki….

Cuma, saya telah disahkan alami sakit mental, major depressive disorder, sejak tahun 2017 sehingga sekarang, kesan tekanan dalam rumahtangga yang tiada kesudahan….

Saya akui, saya bukan menantu pilihan keluarga suami, bukan cinta pertama suami. Tetapi selama 22 tahun saya mencuba dan bertahan demi mendapat cinta dan kasih sayang dari suami dan keluarga suami,

Setelah saya dilamar sebagai isteri, 23 tahun yang lalu, setelah suami amat menderita ditinggalkan kekasih cinta pertamanya…

Dugaan demi dugaan muncul dalam rumahtangga kami.

Saya pernah diabaikan semasa saya sakit, saya pernah dimaki oleh suami dan disaksikan sendiri oleh keluarga suami dan rakan-rakan suami,

Saya pernah diugut untuk pastikan saya hidup menderita, saya pernah hampir ditumbuk di muka oleh suami, dan suami pernah mengakui bahawa saya bukan isteri yang dia cantik dan sempurna berbanding cinta pertama dia…

Mungkin ada yang menyatakan saya isteri yang paling bodoh, kerana terus hidup dalam kemudaratan yang saya biarkan selama 22 tahun ini…

Ya, saya lalui saya isteri yang bodoh mempertahankan rumahtangga, walaupun mental saya terus sakit.

Ya, saya isteri yang paling bodoh kerana terus berkhidmat kepada suami, walaupun dia lalui, dia tidak pernah sayang saya seperti dia sayangkan cinta pertahanan.

Ya, saya akui, saya isteri paling bodoh kerana suami pernah mengakui dia tidak dapat lupakan cinta pertama dia…..

Saya akui saya isteri yang paling bodoh bertindak, walaupun saya punyai pendidikan yang tinggi dan kerjaya yang bagus untuk menguruskan dan menyelia pekerja bawahan seramai 100 orang…

Saya boleh menyelia ramai pekerja, tetapi saya gagal menguruskan diri saya sendiri. Akan tetapi, kesan pengurusan kepada pekerja seliaan saya, mulai merosot, sejak sakit mental yang saya alami ini….

Alhamdulillah majikan dan rakan-rakan sekerja lain amat memahami situasi saya berstatus pesakit mental……

Alhamdulilah, walaupun suami yang saya sayangi menyatakan saya isteri yang “buat-buat” sakit mental, demi meraih perhatian dia, Allah SWT tetap mengurniakan sahabat yang memahami status saya sebagai pesakit mental….

Sakit saya makin merosot sejak kebelakangan ini. Seminggu sebelum hari raya yang lepas, saya jatuh pengsan, selepas anak-anak memberitahu bahawa suami saya akan berkahwin dengan calon isteri pilihan hatinya, selepas saya mohon fasakh.

Dan dia juga menyatakan kepada anak-anak kami, bahawa saya bukan isteri yang baik untuk dia. Dia juga menyatakan, saya bukan isteri yang bersyukur mendapat suami seperti dia…

Anak-anak kami menangis dan merayu supaya saya menarik balik kes perceraian ini, kerana ayah mereka menyatakan perkahwinan baru ayah mereka ini adalah kerana ketidaksempurnaan saya sebagai isteri yang gagal memenuhi hati ayah mereka dan atas sebab saya mohon fasakh.

Saya tidak tahu bagaimana untuk diterangkan kepada anak-anak kami, kenapa saya memohon perceraian kali kedua ini, setelah permohonan perceraian pertama saya pernah diluluskan oleh mahkamah.

Akan tetapi, tindakan bodoh saya pada masa itu, saya menarik balik kes, atas sebab kesian melihat suami yang sakit pada masa itu.

Pada masa penarikan balik kes (pada hari hakim melafazkan cerai bagi pihak suami, setelah 2 tahun turun naik mahkamah) itu, niat saya cuma satu, iaitu saya harapkan suami boleh berubah dan kami boleh hidup bahagia seperti suami isteri yang lain, demi anak-anak…..

Kuasa Allah SWT Maha Besar, dan hanya Allah SWT Pemilik hati semua hambaNya… hanya Allah SWT yang boleh memberi petunjuk jalan kebenaran dan hidayahNya kepada semua hambaNya….

Suami tetap tidak berubah, walaupun saya telah memberi peluang, malah sakit saya bertambah teruk, setelah saya kerap diberi “hukuman” oleh suami.

Hukuman yang terus menyatakan saya isteri derhaka kepada dia, isteri yang banyak dosa, sehingga semua kesulitan yang saya alami akan dihukum oleh suami sebagai kifarah dari Allah SWT untuk saya….

Tetapi, semua kesulitan yang dia dan keluarga dia alami, adalah ujian dari Allah SWT sebagai tanda kasih sayang Allah SWT….

Sakit saya makin teruk. Saya hampir untuk keluar dari Islam, bila fikiran saya kerap teringat semua hukuman dari suami itu. Saya kerap berfikir seolah Allah SWT tidak sayang saya.

Saya kerap berfikir taubat saya tidak diterima dan saya kerap berfikir hanya suami saya manusia beriman dan saya isteri yang paling banyak dosa…

Semua tu menjadikan saya takut untuk teruskan hidup…. perasaan untuk bunuh diri juga sering bermain dalam otak saya…

Tetapi, Allah SWT Maha Penyayang…. Saya diketemukan dengan sahabat yang baik.

Saya dibawa oleh sahabat untuk lalui rawatan ruqyah, bila saya menyatakan kepada sahabat saya, akan semua perasaan negatif yang ada dalam pemikiran saya… Semasa ruqyah, saya bertukar watak dan rupa….

Entah suara apa yang keluar dari mulut saya dengan menyatakan “dia” nak saya mati dan nak anak-anak saya mati…. Saya dalam keadaan separa sedar.

Tetapi, selepas ruqyah, hati saya jadi lega dan tenang yang amat sangat, dan ketenangan itu tidak pernah saya rasa….

Tetapi, bila diberitahu kepada suami akan semua yang saya lalui semasa ruqyah itu, suami menyatakan saya hanya berlakon, demi meraih simpati dari dia….. tiada apa lagi kata-kata yang mampu saya ucapkan pada masa tu. Pendam dan pendam…

Saya sebenarnya terkilan kepada suami. Saya pernah menyatakan kepada dia, bahawa saya memohon fasakh, adalah untuk memberi ruang kepada saya untuk pulih.

Saya perlu hidup dalam suasana yang tiada tekanan kepada saya, terutama tekanan dan hukuman dari suami, orang yang paling saya sayang dan lelaki pertama saya cinta dalam hidup saya…

Dan saya juga menyatakan untuk kembali kepada suami (rujuk), setelah saya pulih, fan setelah masing-masing muhasabah diri masing-masing untuk berubah, demi tanggungjawab kami kepada anak-anak….

Akan tetapi, lain keputusan dan niat suami atas permohonan perceraian yang saya lakukan. Suami dengan “jujur” menyatakan telah ada calon lain untuk dia gantikan tempat saya…

Demi Allah SWT, saya terkilan. Saya sedih. Saya kecewa kerana saya rasa seolah tiada kebaikan yang telah saya lakukan untuk dia selama 22 tahun menjadi isteri dia.

Seolah tiada nilai atas kebaikan saya yang pernah menjaga dia semasa koma dan lumpuh, seolah tiada kebaikan saya sebagai isteri yang berusaha untuk hamil selama beberapa tahun mencuba untuk mendapatkan zuriat dia,

Seolah tiada kebaikan yang saya lakukan selama 25 tahun saya bekerja, untuk membantu dia demi kelansungan hidup kami sekeluarga….

Saya akui, saya bukan isteri sempurna yang dia impikan. Tetapi, adakah tiada sekelumit rasa sayang dia kepada saya, selama 22 tahun ini?

Adakah jika saya menarik balik petmohonan fasakh, suami tidak berkahwin dengan perempuan lain? Saya tak tahu nak fikir lagi…

Anak-anak juga kerap menyalahkan saya, setelah ayah mereka menyatakan akan berkahwin lain, kerana mereka tahu, jika ayah mereka kahwin lain, saya sudah pastinya tidak akan kembali kepada ayah mereka….

Doakan saya dan anak-anak…. kami ini hidup bahagia….

Dari,

– Isteri yang tiada nilai (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *