Apa Orang Bujang Boleh Buat?

Aku banyak baca confession berkaitan jodoh. Aku faham sebab aku pun sedang lalui. Kadang terfikir juga, apakah aku tak layak kecapi bahagia seperti orang lain? Siot, ayat bikin sendu dalam hati.

Cumanya, aku perasan.. bila ada masa terluang, memang perkara ini akan bermain difikiran. Kalau aku sibuk, aku tak ada masa nak layan perasaan sendu tu.

Jadi, aku kongsikan antara perkara yang si bujang boleh buat untuk kurangkan rasa sendu. Kalau ada sesuai, boleh ikut.

Sedikit latar belakang. Aku seorang perempuan berusia lewat 20-an dengan kerjaya yang stabil. Aku tinggal di bandar. Kalau ikut kategori, aku ni B40 atau lebih tepat miskin bandar.

1. Berbakti untuk mak ayah dan keluarga

– Yang ni bujang tak bujang sepatutnya kena buat. Cuma dengan status bujang ni, LEBIH BANYAK masa digunakan untuk berbakti kepada mak ayah.

Berbakti kat sini, bukan bermaksud balik kampung setiap bulan atau masukkan duit saja. Kalau mak nak pergi bank atau pasar, kita bawakkan. Kalau ayah suruh cuci jamban, kita turutkan. Ianya lebih daripada itu.

Pendek kata, waktu kita di kampung, mak ayah hanya rehat saja. Kerja yang lain, kita uruskan.

Untuk orang yang dah berkeluarga, kebanyakan payah nak buat semua ni kan. Aku faham, ya la kadang baru pegang penyapu, anak dah mengamuk mintak susu.

2. Persiapkan kewangan yang kukuh

– Setiap bulan aku akan buat simpanan duit. Cuma dalam setahun dua ni aku baru tukar untuk buat simpanan dalam emas pulak sebab dah bosan simpan duit dalam Tabung Haji.

Walaupun sikit, sekeping wafer bar setiap bulan, cukup la bagi aku. Janji istiqamah. Oh, aku jugak ada ambil takaful sebagai persediaan.

3. Beli aset seperti rumah dan kereta

– Sebenarnya, hampir separuh gaji aku dihabiskan untuk 2 benda ini. Tapi insya-Allah setakat ni aku tak pernah menyesal, ianya buatkan aku yakin dan bangga dengan diri aku. Hahaha.

But I don’t go around and telling people I have everything. Cukup untuk diri aku saja.. Ada orang kata benda ni tak penting, bagi aku sebaliknya. Aku ada pendirian sendiri, yang seboleh mungkin tak nak susahkan orang lain pada masa akan datang.

4. Pergi ‘travel’

– Yang ni seronok kalau buat sesama bujang. Kebanyakan kawan seusia aku sudah berkahwin.. tapi aku ada rakan sekerja yang masih bujang juga.

Himpun sesama bujang, maka dapat la group kecil dalam 4-5 orang untuk pergi ‘travel’. Jangan ramai sangat, kalau banyak kepala boleh buat gaduh.

Dengan kemampuan aku (sedih), aku hanya mampu berjalan-jalan dalam negara. Ehhh. Dah cukup buat aku. Tak kisah la sekadar luar negeri dan daerah, asalkan aku dapat pengalaman baru daripada asyik keluar masuk mall sahaja.

Nasihat aku, buat sesuatu yang mencabar sikit. Macam hiking, diving dll. Buat perkara yang orang lain jarang buat. Kita akan ada satu kepuasan yang kadang kala boleh buat ketagih nak hidup aktif.

5. Berjimba-jimba dengan rakan

– ‘Travel’ tu aktiviti bulanan. Ini macam aktiviti harian selepas balik kerja atau hujung minggu. Pengalaman aku, lebih mudah untuk ajak kawan yang bujang. Mudah dari segi masa, dan sedikit bebas apabila tak ada orang asyik call tanya bila nak balik.

Tapi kalau ada yang dah kahwin sudi luangkan masa.. on! Aktivitinya mudah saja. Makan sedap sedap, shopping ataupun tengok wayang.

6. Jangan kedekut untuk diri sendiri

– Beli la skincare atau wangian dll. Kalau bulan ni aku dah guna duit untuk skincare, mungkin bulan depan untuk perfume, bulan seterusnya untuk handbag dan bulan berikutnya untuk baju atau tudung.

Aku merancang kerana bukan semua benda aku boleh dapatkan dalam satu-satu masa. Aku kena tahan keinginan sebab nak pastikan belanja bulanan aku tak cecah negatif.

7. Cintai kerjaya

– Alhamdulillah aku direzekikan dapat pekerjaan yang baik dan tetap. Kerjaya aku ni memang takkan boleh buat aku jadi jutawan. Tapi aku cuba untuk buat sehabis baik.

Maksud sini, semua kerja yang dipertanggungjawabkan aku tak mengelat. Buat ja walau tak reti aku belajar.

Kerja apa yang tak pernah susah? Memandangkan kerja aku pun berkaitan dengan kanak-kanak, aku cuba sehabis mungkin untuk tambah ilmu tentang parenting, maklum la tak ada anak sendiri lagi.

Cuma masalah aku sekarang, aku suka mengadu penat dan letih. Aku berazam nak kurangkan rungutan, tu pun sukar jugak. Doakan aku ya, supaya lebih berkat. Hahaha.

8. Sertai misi kemanusian

– Benda ni dah lama ada dalam perancangan aku, cuma setakat ni belum terlaksana lagi disebabkan kehidupan aku yang selalu sibuk. Haaa tengok.. tu pun masa aku dah penuh kan.

Dengan kekangan masa aku ni, aku hanya boleh peruntukan duit untuk sedekah saja sekadar RM50-100 sebulan.

9. Belajar benda baru

– Hidup akan rasa hambar kalau kita asyik buat benda sama ja. Sesekali, buat la benda baru. Tak kisah la walaupun sekadar tugasan baru, resepi baru atau jalan baru.

Kadang aku sengaja balik kerja guna jalan lain yang entah mana-mana. Saja nak belajar shorcut sambil explore jalan. Salah pun tak apa, aku redah ja. Oh nak buat gini, pastikan minyak kereta penuh dan kad tol sentiasa ada duit.

10. Tingkatkan ibadah

– Aku letak sebagai yang terakhir sebab benda ni yang paling susah untuk aku istiqamah. Gitchuuu. Aku ada basic agama yang boleh katakan kukuh jugak (tak ada la warak dan alim, beshe ja). Aku cuba cari ruang untuk sentiasa tambah sedikit amalan harian aku.

Tu pun, sangat sedikit. Contohnya, 1 hari 1 ilmu yang aku boleh dapat, al-Quran setiap hari, qiyam setiap pagi, al-Mulk setiap malam, al-Kahfi setiap Jumaat.

Susah weh. Gila, taip pun rasa berat. Sedar la diri macam mana kan. Kadang dah buat yang ni, tinggal pulak yang itu. Iman naik dan turun macam roller coaster. Tapi aku harap sangat aku boleh istiqamah dengan amalan yang sedikit ni.

Okay, sekian perkongsian aku. Aku tak pandai menulis. Aku takut jugak kata-kata aku diuji. Ya, risau sebab Allah kata “Wahai orang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan”. As Saff ayat 2.

Cuma aku harap dapat memberi manfaat kepada orang yang memerlukan. Buat si bujang sekalian, nasihat aku “enjoy your life to the fullest.”

Jauh di sudut hati, ada jugak perasaan nak berkeluarga macam orang lain. Tapi kalau dah tak ada, nak buat macam mana?

Kalau ada yang tak sesuai, boleh abaikan ya. Amboihh ada 10 benda, takkan la 1 pun takleh pakai? Berkaitan dengan kewangan, anda boleh rancang mengikut kemampuan masing-masing.

Tolong doakan aku istiqamah dan semakin baik. Doakan jugak aku bertemu dengan jodoh yang baik dan dapat berumah tangga. Kalau tak diberikan kesempatan untuk merasai nikmat itu, doakan supaya aku benar-benar reda.

Kalau rajin aku akan tulis tips hadapi hidup sebagai orang bujang, konon macam mana menjawab soalan dan gurauan orang hihi. KALAU.

Baik. Sekian.

– Cik Kentang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *