Assalamualaikum, nama saya I (bukan nama sebenar). Seperti tajuk di atas, saya ada persoalan yang saya perlu dapatkan bantuan pendapat dari pembaca IIUM Confession.
Umur saya 20-an. Saya berkenalan semula dengan bekas kekasih saya pada awal tahun ini. Kemudian kami ditunangkan, atas kehendak ibunya kerana saya mengandung.
Hakikatnya kami tak dapat berkahwin kerana sebab tertentu. Selepas bertunang, baru saya nampak segala sikap buruk tunang saya.
1. Panas baran dan cemburu buta.
Kami selalu bergaduh kerana dia menuduh saya curang dan melayan lelaki lain. Dia juga pernah memukul saya. Saya selalu dituduh sebagai perempuan sund*l, perempuan murah.
Setiap hari saya perlu video call dengan dia, semasa di office, atau di rumah. Jika waktu malam juga saya perlu video call semasa tidur.
Hendak dijadikan cerita, tengah video call semasa tidur, tiba-tiba dia kejutkan saya dan bertanya ada siapa di dalam bilik bersama saya.
Saya menjawab bahawa saya tidur sendirian. Dia kata, dia nampak ada bayang dan dengar suara lelaki. Disebabkan saya mengantuk, jadi saya abaikan soalan itu dan terus sambung tidur.
Di pejabat pula, saya tak boleh bercakap dengan kawan sekerja lelaki. Sedangkan kerja saya memerlukan saya untuk berinteraksi dengan semua orang.
Saya pernah dituduh mempunyai hubungan dengan kawan sekerja lelaki saya (Melayu & Bangladesh).
Keadaan ini membuatkan prestasi kerja saya menurun dan saya susah untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan.
2. Menagih dadah dan judi online.
Selepas kami bertunang, saya baru tahu dia menagih dadah dan pernah ditangkap.
Ibunya menjamin dia, dan sebutan semula kes pada bulan 5. Kemudian dia dijatuhkan hukuman penjara, dan dijangka keluar pada bulan 9 nanti.
Tentang judi online, saya pada awalnya tidak tahu dia ketagih benda ni. Sehingga pada suatu hari, saya tanya ke mana duit gajinya kerana dia selalu minta saya duit untuk isi minyak keretanya.
Barulah dia bagitahu dia ada main judi online. Saya dah nasihatkan dan marah dia banyak kali tentang benda ni, tapi masih sama.
3. Masalah keluarga.
Keluarga dia mempunyai masalah, di mana ibubapanya duduk berasingan. Bapanya tidak pernah memberi nafkah, tidak soalt / puasa.
Senang kata, bapanya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan juga sebgaai muslim. Dia juga seolah-olah tidak percaya kepada Allah.
Ibunya pula, ingin berpisah dengan bapanya tetapi tidak menggunakan jalan yang betul iaitu tidak ke pejabat agama. Dia hanya keluar dari rumah dan mencari rumah sewa lain.
Akibat dari masalah keluarganya ini, saya dikatakan penting diri kerana saya tidak membantu dia untuk menyatukan semula ibubapanya. Sedangkan, saya hanya orang luar.
Pada bulan puasa tahun ini, ibunya keluar dari rumah dan tidak menjawab panggilan telefon / mesej.
Tunang saya mengajak saya mencari ibunya, tetapi saya cakap ibunya dah dewasa. Dia pasti ada sebab sendiri kenapa dia berbuat begitu.
Pada malam raya pertama, ibunya melakukan perjumpaan keluarga di luar, (melibatkan ibubapanya, dia, adiknya dan isteri, serta adik kepada ibunya).
Perjumpaan tersebut tidak berakhir dengan baik, tunang saya mengamuk dan memukul pakciknya.
Dipendekkan cerita, pada pukul 5 pagi, raya kedua dia datang ke rumah saya dan ingin membuat kecoh. Dia mengugut untuk memukul / mencederakan family saya.
Buat masa sekarang, saya lega kerana dia berada di dalam penjara. Tapi menghitung hari dia akan dibebaskan, saya menjadi takut dan tidak dapat tidur lena menyebabkan tahap kesihatan saya menurun.
Saya tak nak teruskan hubungan ini kerana sekiranya kami berkahwin, saya tahu hidup saya takkan mudah.
Dia bukan baru ambil dadah dan berkawan juga dengan penagih dadah menyebabkan dia mudah mendapat supplier. Apa perlu saya buat untuk lindung diri saya dan keluarga?
Saya tak dapat berbincang dengan ibubapa saya kerana mereka dah tua dan tidak sihat.
Jika saya ingin membuat laporan polis, adakah polis dapat membantu supaya dia tak dapat dekat family saya?
– I (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit