Assalamualaikumwarahmatullah.
Atas nama Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Merujuk kepada tajuk yang aku tulis dekat atas, aku nak tanya satu persoalan dan aku harap engkau semua yang jauh lebih berpengalaman daripada aku ni dapat bagi pendapat dan nasihat. Jadi ceritanya macam ni, ada satu hari tu aku macam biasa teruskan rutin harian aku iaitu tengok feed dekat laman-laman sosial. Tiba- tiba aku terbaca tentang soalan seorang lelaki yang tanya tanda-tanda didampingi atau dicintai oleh jin sama ada jin jantan/betina. Aku tak tahu nak takrifkan jin ni sebagai lelaki/perempuan atau jantan/betina sebab kalau ikut tafsiran doa masuk tandas, jin jantan/betina. Betulkan kalau salah.
Nak dijadikan cerita, waktu tu orang yang jawab soalan lelaki tu dia ada bagi lebih kurang 7 tanda-tanda didampingi. Aku baca satu persatu dengan penuh selambanya sebab aku tak kisah sangat pasal benda-benda macam ni. Keturunan aku pun tak pernah rasanya ada bela itu ke ini ke. Jadi bila baca satu persatu, aku mula takut sebab hampir kesemua tanda-tanda tu aku ada. Aku dengan positifnya, menolak kemungkinan ada jin betina telah menyukai aku. Allahu, tolong doakan aku. Jujur, aku takut. Jadi betul-betul lepas baca tu, aku terus search dekat google dan cari tanda-tanda kita didampingi oleh jin betina. Bila aku buka satu-satu laman sesawang tu, terjumpa satu artikel yang menarik minat aku. Artikel tu ada disertakan 20 tanda-tanda didampingi oleh jin wanita. Biar aku senaraikan setiap satu berserta penerangan dan kaitannya dengan aku.
1. Mempunyai sikap seperti wanita.
Kalau ikut huraian dan tafsiran laman sesawang tersebut, maksud ada sikap perempuan ni adalah cepat merajuk, cepat resah, gelabah, pemalu dan lain lain. Itulah aku, aku jenis cepat sangat menangis walhal aku lelaki, yang peliknya aku selalu menangis pasal lelaki dan bukannya perempuan dan aku seorang lelaki! Kalau ikut akhir zaman ni, ramai lelaki yang bazirkan air mata dia kerana meratapi perpisahan dengan perempuan apa semua tu tapi aku tak, aku selalu menangis sebab lelaki tapi aku menangis atas alasan yang munasabah iaitu sebab kawan-kawan aku pindah. Ramai yang pindah MRSM dan ada pindah dekat sekolah pondok, aku cuma rindu diaorang itu je. Cumanya setiap kali diaorang balik dekat sini dan aku jumpa diaorang, air mata akan turun secara tiba-tiba. Entah kenapa.
2.Sangat suka menyendiri dan tidak selesa dikhalayak ramai.
Ya, aku suka menyendiri dan aku tak suka kalau ramai orang disekeliling aku. Contohnya, dah berapa bulan aku tak naik kereta ayah aku. Sebabnya, setiap kali mereka keluar aku mesti akan duduk dekat rumah. Kalau beli barang dapur dekat Tesco, pergi kenduri kahwin, pergi dataran Merdeka, pesta cahaya semua tu, aku akan duduk rumah. Walaupun ayah aku suruh ikut supaya ada interaksi antara keluarga. Aku selalu bagi alasan pening kepalalah, banyak kali dah aku tipu sakit perut. Tak ada seluar nak pakai pergi keluarlah, macam-macam dan bila keluar je aku akan rasa tak selesa. BIla ramai sangat orang contohnya macam dekat depan Sogo tu, aku akan rasa macam rimas sangat. Rasa macam semuaorang perhatikan aku, entah kenapa.
3.Suka mengelamun dan berkhayal perkara romantik.
Benda ni aku tak boleh hurai panjang tapi cukup kauorang tahu yang aku tak nak pun fikir perkara-perkara macam ni. Setiap kali dah terlajak, aku akan geleng kepala dan istighfar banyak-banyak. Bayangkan, bila cikgu mengajar dekat depan pun. Aku boleh bayangkan benda pelik pelik pasal cikgu tu. Allahu.
4.Suka bersendirian ketika berjalan terutamanya waktu malam.
Aku ni masih belasan tahun, jadi aku ada hobi aku. Hahaha, hobi ke? Entahlah, lebih kepada perkara yang aku buat untuk membazirkan masa dan wang aku. Kalau nak tahu aku pemain dota, jadi disebabkan tak ada komputer/komputer riba dekat rumah. Aku selalu pergi cybercafe untuk lunaskan nafsu aku untuk main dota. Kalau dulu aku pergi cybercafe pun, paling teruk balik sebelum pukul 7 tapi sejak dah masuk remaja sikit ni. Aku mula balik cybercafe pukul 2-5 pagi. Ya, pagi dan bukannya petang! Kau bayangkan, aku pergi cybercafe yang lebih kurang 2 kilometer jalan kaki seorang diri tengah tengah malam untuk pergi cybercafe? Setiap kali dah habis main cybercafe dalam pukul 3-4 pagi, aku akan rasa macam tenang bila balik seorang diri tengah tengah malam. Rasa macam, tak ada orang nak ganggu aku. Aku rasa seronok jalan malam malam seorang diri. Dekat highway tak ada kereta semua, tak ada orang nak bising, tak ganggu aku.
5.Suka duduk mengelamun bersendirian melayan perasaan dibawah bulan purnama.
Ini dululah aku selalu buat, setiap kali sebelum tidur. Aku akan buka tingkap dan pandang tingkap. Kalau ada bulan, aku akan bercakap dan mengelamun seorang diri. Kalau bulan tak ada, aku macam tak ada mood nak cakap ataupun mengelamun. Katakan malam tu ada bulan, aku akan duduk dekat tingkap tu dan aku akan cakap macam-macam. Aku jadikan bulan tu macam kawan, cerita apa jadi harini, masalah aku semua. Semua aku cerita dekat bulan, tapi tak tahulah waktu dulu dulu tu bulan purnama ataupun tidak.
6.Sering merasa sedih, sayu dan rindu terhadap seseorang tapi kita tak pasti siapa yang kita rindui itu.
Haa ini paling seram, aku selalu macam ni. Selalu rasa rindu dan sedih, seolah-olah aku memang rindu seseorang tapi aku tak tahu siapa perempuan yang aku rindui tu. Entahlah, kalau perasaan ni datang semua benda tak kena. Selalunya aku ni jenis yang suka gelak dalam kelas dan suka duduk dengan kawan kawan dan selalu rapat dengan mereka. Senang cerita nak pergi kantin atau tandas mesti ada yang teman, aku memang tak boleh jalan seorang. Memang kekok sangat tapi bila perasaan ni datang, aku akan duduk seorang diri. Ambil pen dan kertas lepastu conteng atau tulis benda merapu, pergi tandas seorang diri. Merayau satu sekolah apa semua. Paling takut dekat rumahlah, duduk dalam bilik gelap seorang diri lepas tu kadang-kadang ada jugak menangis dan aku tak tahu kenapa aku menangis. Ya aku tahu, dah jadi kebiasan bagi perempuan menangis tanpa sebab tapi aku lelaki!
7.Sangat mudah jatuh cinta pada mana-mana wanita walaupun baru sekali bertemu atau sekali dipandang dan perasaan ini diikuti dengan rindu yang teramat sangat.
Aku ni jenis sosial, tapi tak adalah sosial jenis hipster, pergi ioi main iceskating, pakai pakaian untuk tarik perhatian orang lain, rambut macam durian semua tu. Tak, aku bukan jenis macam tu. Aku jenis sosial yang selalu main media sosial tu je huhu. Jadi disebabkan oleh itu, aku kenal ramai perempuan. Ramai sangat perempuan yang aku kenal walaupun tak pernah bersemuka secara fizikal, aku rasa seolah olah aku cintakan mereka semua. Ya, mereka semua. Setiap kali bersembang dengan si A, aku akan rasa aku cintakan si A. Selang dua tiga minit, bila bersembang dengan si B, aku rasa aku cintakan si B pulak. Peliknya, setiap hari akan ada orang baru. Yalah, aku jenis setiap dua minit tengok feed media sosial. Haa, daripada sini anda dah tahu saya jenis yang tak reti jaga ikhtilat.
Okaylah, buat masa sekarang ni aku ceritakan lapan tanda jelah dulu sebab tanda-tanda yang lain mungkin sensitif sikit buat sesetengah orang(admin, terutamanya)dan kalau nak tahu lebih lanjut boleh cari sendiri. Aku tak pasti sebenarnya aku didampingi atau hanya ikut perasaan je. Tapi malam waktu aku baca 20 tanda-tanda tu, aku takut sangat. Daripada tak pernah tidur dengan wudhuk dan jarang baca doa tidur. Aku terus ambil wuduk, dan baca surah-surah lazim. Kursi sampai 3-4 kali haaa aku baca. Malam tu, ayah aku tidur lambat jadi aku kurang takut. Ayah aku alhamdulillah kuat agama jugaklah, jadi tak silap aku ayah aku tidur pukul 2 malam tu. Aku dah tidur waktu tu dan tiba tiba aku terjaga pukul 2 tu, betul betul lepas ayah aku dah bersiap nak tidur. Aku rasa macam semua benda gelap, ya memanglah lampu bilik dah tutup tapi aku boleh nampak benda lain. Boleh nampak cahaya-cahaya daripada rumah sebelah dari tingkap pesemua, tapi ini tak. Semua benda tiba-tiba macam makin lama makin gelap tapi sebelum tu aku tak mimpi apa-apa pun. Tak mimpi buruk ke apa ke, tapi aku rasa macam ada sesuatu tarik aku ke atas, aku teruk menjerit panggil ayah aku dan malam tu memang tak boleh tidur. Aku cuba sibukkan diri dengan buka youtube dan akhirnya terlelap. Nak buat tahajjud tapi penat yang amat dan rasa takut. Entahlah, aku mohon siapa yang pakar pasal benda-benda ni beri pendapat.
Alhamdulillah sejak kebelakangan ni tak ada apa-apa yang berlaku. Haa lagi satu, setiap kali lepas asar mesti aku tertidur. Aku balik sekolah selalunya dalam pukul 3 petang, sekolah harian. Jadi, tak pasti aku tidur lepas asar atau sebelum asar tu sebab penat ataupun gangguan tu. Aku ada baca itu tanda-tanda gangguan. Yang peliknya selalu sangat tertidur walaupun tak buat aktiviti berat sangat pun, dan lagi teruk bangun lepas isyak lepas tu qada solat lambat lambat sampai bertimbun dah.
Apa-apapun, aku harap admin dapat siarkan luahan aku ni. Aku boleh kira terdesak ni, rasa takut masih menyelubungi aku.
Terima kasih, assalamualaikumwarahmatullah.
– budak k.
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit