Assalammualaikum pembaca IIUM Confession. Aku ingin kongsikan tentang kisah aku dan si dia ku gelar Z. Maafkan ku jika kisah ku panjang tetapi aku hanya ingin pendapat dan jawapan atas masalah ku dengan Z.
Aku dan Z berkenalan di sebuah politeknik di Utara Malaysia. Aku dan dia pada permulaanya sebagai sahabat dan rakan sekelas. Tugas berkumpulan dan juga assignment mengeratkan lagi hubungan kami. Sering keluar bersama walaupun ditemani oleh rakan-rakan lain.
Sehinggalah satu hari, Z meluahkan perasaannya kepada dan aku terima namun kami merahsiakan hubungan kami dengan rakan-rakan. Apabila ditanya, kami hanya menjawab yang kami cuma sahabat sahaja.
Setelah tamat belajar, aku dan Z telah mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur. Z berasal dari Utara manakala aku berasal dari Selangor.
Aku membantu Z mencari rumah sewa dan setiap hari aku akan mengambil Z dan mengantar dia ke tempat kerjanya walaupun jarak rumah sewanya dengan tempat kerja ku sangat jauh namun aku turutkan kerana sangat sayangkannya.
Suatu hari Z memberitahu ku yang keluarganya bertenya tarikh untuk memasuk meminang, aku beritahu Z ingin stabilkan dulu kerana aku baru sahaja bekerja tambahan pula abang sulung ku baru sahaja berkahwin jadi aku ingin membantu keluarga menyara adik-adik.
Z memahami keadaanku tetapi bukan keluarganya. Setelah dipaksa, aku bersetuju untuk mengikat pertunangan bersama Z.
Aku telah membuat grab sebagai pekerjaan tambahan untuk mendapatkan duit majlis pertunangan.
Pada mulanya, aku memberitahu Z tidak perlu melakukan majlis, hanya cukup menyarungkan cincin atau membuat majlis secara kecilan sahaja. tambahan pulanegara sedang dilanda covid namun Z berkeras ingin membuat majlis besar-besaran.
Dia mencadangkan tetamu yang hadir secara bergantian. Aku turutkan sahaja. Aku berjaya mengumpulkan duit sehingga 10 ribu ringgit termasuk dengan duit simpanan yang ibuku keluarkan.
Setelah berbincang tarikh, kami bersetuju untuk melakukan majlis pada 26/12/2020 ketika pergerakan merentas negeri dan majlis boleh dijalankan mengikut sop.
Dua minggu sebelum majlis, perkara yang menghantui sehingga kini terjadi. Z memberitahu dia akan pulan ke kampung kerana ibunya sakit.
Mengikut perancangan, dia akan pulang seminggu sebelum majlis namun disebabkan hal kecemasan dia perlu pulang lebih awal.
Setelah tiba di kampung, Z menghubungi seperti biasa namun setelah 2 hari, dia tidak lagi menghubungi ku.
Aku cuba untuk menghubungi Z namun tidak diangkat, setelah itu nombor aku disekat. Aku cuba hubungi mama Z namun juga telah disekat. Aku hubungi rakan rapat Z iaitu Y namun nombor Y juga disekat.
Aku menghubungi rakan yang lain juga hasilnya sama. Aku tak tahu apa yang perlu ku lakukan. Aku ingin turun ke utara untuk bertemu Z namun keluarga ku mengahalang. Mereka minta untuk aku untuk bersabar sehingga mendapat jawapan dari Z.
Dua hari sebelum majlis, aku mendapat panggilan dari abang Z, mengatakan jangan bertemu dengan adiknya dan putuskan hubungan kami.
Aku tergamam dan bertanya apa salahku sehingga Z membuat ku begini. Abangnya tidak menjawab dan mengatakan tiada jodoh antara kami.
Aku tidak berpuas hati dengan jawapan abangnya. Keesokkannya, aku terus memandu ke utara untuk bertemu dengan keluarga Z.
Aku tiba ke rumahnya, dan memberi salam. Tujuan ku cuma untuk mendapatkan jawapan dan berbincang kerana aku masih sayangkan Z.
Namun kehadiran ku tidak dialukan malah aku di halau oleh kakak dan abangnya. Aku merayu lagi alasan kenapa memutuskan hubungan ku namun abangnya mengheret ku dan menutup pintu pagar rumah. Dengan perasaan kecewa, aku pulang ke Selangor.
Setelah tiba di rumah, aku menangis di hadapan ibu dan ayahku, mereka terkejut kerana tidak pernah sekali pun aku menangis di hadapan mereka.
Ibu ku memeluk dan memberi semangat kepadaku. Aku merasakan yang dunia ku gelap seketika. Aku mengaku Z adalah perempuan pertama yang membuatku jatuh cinta.
Aku tidak tahu apa salah ku kepada Z. Adakah disebabkan latar belakang keluarga ku yang miskin namun Z juga datang dari golongan yang biasa.
Gaji ku juga cukup untuk menampung kami berdua dan akan dinaikkan pangkat walaupun baru 2 tahun bekerja. Adakah disebabkan aku perlu menyara adik-adik ku?
Namun abang sulong ku juga akan membantu setelah stabil kan rumah tangganya. Ibu dan Ayahku masih kuat bekerja dan ayah masih mempunyai simpanan.
Aku tidak pernah berahsia keadaan keluarga ku dengan Z dan dia memberitahu ku yang dia tak pernah kisah dengan semua ni.
Aku juga mengikuti syarat Z jika setelah berkahwin, kami akan tinggal di utara berdekatan dengan keluarganya kerana ingin menjaga mama.
Malah aku juga sudah memberitahu bos ku yang aku sanggup ditukarkan ke cawangan utara walaupun tidaklah satu negeri namun cawangan itu berada di Utara dan aku sanggup berulang alik.
Setelah 3 bulan, tiada jawapan dari Z. Pada penghujung bulan Mac 2021. Z menghubungi ku dengan menggunakan telefon mamanya. Z memberitahu yang aku perlu menerima takdir bahawa tiada jodoh di antara kita.
Aku masih menanyakan alasan namun jawapan yang diberikan Z sama sahaja. Tiada jodoh. Setelah itu, dia memutuskan talian. Dan hatiku hancur lagi.
Aku tak tahu apa yang perlu dilakukan. Aku tidak tahu salah ku. Kepada Z, jika saya bersalah, tolong maafkan saya. Berikan peluang untuk saya membetulkan kesilapan saya. Awak satunya perempuan yang saya cintai dan sayang selain ibu saya.
Kita telah bersama hampir 6 tahun, tolong jangan lepaskan begitu sahaja. Saya terima jika tiada jodoh antara kita namun hati ini begitu sakit untuk melepaskan awak.
Saya tak marah apapun alasan awak namun tolong jujur dengan saya dan saya sanggup berundur demi kebahagiaan awak.
– INSAN TERLUKA (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit