Apa Salah Ibu Kami?

Assalamualaikum. Pertamanya, terima kasih kerana telah menyiarkan cerita saya. Sebenarnya, dah lama saya menyimpan hasrat untuk menulis kisah ini dan berkongsi dengan pembaca semua. Sebelum itu, maafkan kekurangan saya dari segi penyampaian dalam Bahasa Melayu, sudah lama rasanya tidak menulis dalam bahasa baku.

Saya anak ketiga daripada empat orang adik beradik. Kakak, abang, saya dan adik. Cerita ini tentang abang saya dan isterinya a.k.a. menantu kepada emak saya. Persoalannya, menantu atau hantu?

Abang saya berkahwin dengan kakak ipar lebih kurang 6-7 tahun yang lalu. Kakak ipar saya anak tunggal. Cantik orangnya. Manis senyumannya. Padanlah abang saya terpikat.  Selepas beberapa bulan bekerja sebagai seorang jurutera, abang saya menikahi kakak ipar.

Pada mulanya, hubungan keluarga kami seperti biasa cuma saya sendiri dapat melihat bahawa memang abang saya lebih menyebelahi keluarga mertua. Ya lah, mungkin sebab isterinya anak tunggal. Maka, dia pun memilih untuk lebihkan pihak sana apatah lagi mereka memang tinggal dengan ibu dan ayah kakak ipar.

Tapi, dari awal perkahwinan lagi memang saya sudah menyedari abang dan kakak ipar sangat jarang untuk pulang ke rumah emak. Bayangkan selama bertahun mereka berkahwin, hanya beberapa kali saja mereka pulang bermalam di rumah emak. Padahal, jarak antara rumah kakak ipar dengan rumah emak saya hanya setengah jam! Tapi, emak saya hatinya lembut. Taknak bergaduh katanya.

Emak saya pernah berkata “biarlah, janji mereka bahagia. Balik sekejap pun jadilah”. Itu kata-kata yang keluar dari bibir emak, tapi dalam hatinya? Bila berada di rumah emak saya, kakak ipar lebi selesa duduk berdiam diri sambil bermain telefon atau bermain dengan anak-anaknya. Tidak pernah saya nampak dia berborak dengan emak saya.

Kalau emak bertanya, dia akan menjawab sepatah dua, acuh tak acuh. Jadi, boleh anda bayangkan betapa tergurisnya hati saya apabila emak diperlakukan begitu? Bayangkan pula bagaimana dengan perasaan emak saya?

Itu belum saya ceritakan bagaimana mereka bercuti merata-rata dengan keluarga kakak ipar, sedangkan dengan keluarga saya tidak pernah walaupun sekali abang saya bawa emak dan ayah bercuti. Duit? JAUH SEKALI. Tapi, emak tak kisah. Kata emak “abang banyak tanggungan. Mak dah ada duit”. Sambil menulis ini pun, mata saya berkaca membayangkan wajah ‘pasrah’ emak.

Pernah sekali, ketika raya haji, mereka datang ke rumah emak. Kami sekeluarga hanya berpakain tshirt memandangkan sebentar lagi akan melapah daging korban, Tapi, mereka sekeluarga bukan main bergaya. Saya tidak kisah. Sungguh ‘handsome’ anak-anak buah saya berbaju melayu.

Lepas balik ke rumah, saya membaca status whatsapp kakak ipar dengan gambar baju raya sedondon beserta ‘caption’ “Kami tak reti la raya-raya ni dok rumah pakai tshirt dengan kain batik”.

Emak saya membaca status whatsapp itu. Mak kata pada saya “Apalah salah kita. Berlagak sungguh dia dah dapat anak kita”. Saya menangis setiap kali terkenangkan ayat emak. Sedihnya hati. Buat lah apa saja, pada saya, tapi tolong jangan sakitkan hati emak saya!!

Baru-baru ini, anak mereka ‘warded’. Mereka tidak memberitahu pada emak, tapi emak nampak status bergambar di whatspp. Jadi, emak tanya pada abang di mana ward cucunya itu. Tau apa abang (atau kakak ipar) saya balas? “Takpala, takyah mai lagi, bagi dia rehat”. Sampainya hati meeka cakap begitu pada emak? Itu emak! Bukan rakan taulan yang kita boleh cakap sesuka hati.

Apa dia ingat emak saya apa sehingga perlu diingatkan sedemikian rupa? Emak saya telefon dan cerita pada saya, dengan nada suara yang sedikit bergetar. Saya tau emak sangat sedih tapi sayangnya pada anak lelaki dan cucu-cucunya mengatasi segalanya.

Jadi, saya dan kakak sulung juga terpaksa memendam rasa dan bersabar. Kami lihat apa yang terjadi, tapi kami hanya berdiam diri kerana emak pernah berpesan “Tidak perlu kata apa-apa. Biarlah mereka, emak tak suka gaduh-gaduh”. Itu kata mak dari zahirnya. Tapi, pada batinnya? Semoga saya mendapat suami yang menghormati emak seperti mana dia menghormati ibunya sendiri.

Saya dah tak mampu bertahan. Saya whatsaap kakak ipar dan bertanyakan apa masalah sebenar, kenapa dia bersikap sedemikian? Apa salah kami sekeluarga terutamanya emak? Saya tak berniat untuk bermasam muka, saya hanya inginkan penjelasan dan saya turut meminta maaf jika ada salah daripada pihak keluarga saya. Namun, kakak ipar meninggalkan jejak whatsapp saya dengan hanya ‘bluetick’.

Jangan suruh saya ‘slowtalk’ dengan abang. Saya sangat kenal dia. Dia orangnya ‘blur’, lurus dan tak sensitif. Tapi, dah terlalu jauh. Terlalu dalam hati emak disakiti. Duhai abang, syurga kita di bawah telapak kaki ibu! Tak guna wang berkoyan, jika kau dera emak dengan tangisan dalam hati.

Saya kongsikan cerita ini dengan reader dengan harapan anda memberikan pandangan yang wajar. Semoga Allah kuatkan hati emak. Semoga Allah tunjukkan jalan yang benar kepada abang dan kakak ipar. Mak jangan risau, kami bertiga akan sentiasa ada dengan emak. Sampau mati. Buat kakak iparku yang cantik, jika betul keluarga kami bersalah, saya memohon maaf. Jika tidak, apa salah emak kami?

Yang tertanya dan di’bluetick’,

– Miss Ey (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *