Apa Salah Saya, Cikgu?

Nama aku H, of course lah bukan nama sebenar kan. Kisah yang aku nak ceritakan ni zaman masa aku sekolah rendah dulu.

Aku ni seorang yang boleh dikatakan tak pandai lah masa sekolah rendah. Darjah 1 pun aku masih tak kenal huruf ABC tu, dan setiap kali kelas Bahasa Melayu, aku dimasukkan ke kelas khas yang di mana cikgunya mengajar ABC kepada kami semua (macam sekolah tadika tu).

Nak dijadikan cerita, aku ni batch pertama yang setiap tahun akan dapat buku baru. Jadi masa time nak ambil buku tu, sampai part aku, aku tak dapat buku Pendidikan Islam dan Bahasa Arab disebabkan dah tak ada stok. So aku pun memang tak adalah dua buku tu.

Masa time kelas Pendidikan Islam dan Bahasa Arab tu, mula-mula aku tak ingat lah aku ada bagitahu cikgu ke tak yang aku ni tak dapat buku. Tapi cikgu selalu kata aku ni sengaja tak bawa buku subjek dia.

Setiap kali kelas dia, aku mesti kena berdiri luar kelas. Dah lah kita ni baru darjah 1, kebetulan kelas aku pulak tingkat bawah sekali dan sebelah tangga — memang malu lah aku kalau ada orang nak naik tangga tu.

Lama-lama aku jadi takut dan setiap kali nak salin jadual untuk esok harinya, kalau ada subjek dua tu aku akan bagitahu ibu, aku tak nak pergi sekolah sebab nanti kena berdiri dekat luar. Ibu pun pelik dan datanglah ke sekolah.

Ohh, sebelum tu tak lupa juga ya — cikgu tu selalu panggil aku ni bodoh lah, lembab lah, disebabkan aku tak bawa buku dan duduk kelas paling belakang. Jadi ibu aku ni datanglah sekolah.

Bila check balik dengan guru kelas aku, memang sah lah aku ni tak dapat dua buku teks tu. Cikgu pun bagi dua buku tu dekat ibu aku.

Masa tu ibu dan ayah aku jumpalah cikgu yang ajar aku Bahasa Arab tu. Ayah aku cakap:

“Cikgu, disebabkan anak saya bodoh lah, saya hantar dia pergi sekolah untuk bagi dia pandai. Cikgu sepatutnya didik dia, bukan keluarkan kata macam tu.”

Cikgu tu hanya diam dan berlalu pergi. Sejak itu lah dua cikgu tu memang benci dengan aku. Kalau bertembung pun di dalam sekolah, dia akan jeling-jeling dan buat muka tidak suka kepada aku.

Darjah 6, ada sesi mohon restu. Semua murid diminta bersalaman dengan semua cikgu. Tibanya aku di hadapan dua cikgu itu, mereka tidak menghulurkan tangan pun untuk bersalaman denganku.

Aku nekad apabila masuk ke sekolah menengah, aku nak jadi murid yang baik dengan semua cikgu dan tak nak buat masalah. Disebabkan itu, ada beberapa cikgu yang rapat dan baik dengan aku. Bahkan selepas aku habis sekolah pun masih menghubungi aku.

Aku juga mendapat keputusan yang cemerlang — dapat kelas, mendapat tempat pertama di dalam kelas dan mendapat tempat yang ke-22 daripada 300 pelajar, daripada kelas ke-4 daripada tujuh buah kelas.

Cikgu ingin memasukkan aku ke dalam kelas pertama, tetapi aku takut sainganku terlalu pandai, jadi aku minta cikgu untuk masuk kelas ke-2 sahaja sehingga lah aku habis tingkatan 5.

Sekarang aku telah menamatkan diploma aku di sebuah UiTM dan ingin melanjutkan pelajaran aku dalam degree pula.

Kepada dua orang cikgu yang membenciku, aku selalu ingin bertanya — adakah cikgu masih membenciku? Dan apa salahku? Bukannya aku tak ingin belajar subjek itu, tapi aku memang tidak dapat bukunya.

Cikgu, saya tahu saya bukanlah pelajar cemerlang, tetapi saya tetap berusaha. Adakah sedikit rasa bersalah di hati cikgu?

– Haza (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *