Apa Sebenarnya Yang Aku Rasa?

Bismillah. Assalamua’laikum dan terima kasih kepada IIUM Confession kerana menyiarkan tulisan saya (andai disiarkan dan kalau tak disiarkan terima kasih untuk platformnya).

Biarlah aku kenalkan diri aku sebagai Puteh (bukan nama sebenar). Aku berusia awal 20an. InsyaAllah bakal menghabiskan hafalan al Quran 30 juz (doakan urusan saya dipermudahkan). Owh dan saya bukan pelajar universiti tempatan. Sekarang saya berada diluar negara.

Ya menghadapi PKP bukan di tanah air sendiri namun sentiasa aku ambil tahu tentang perkembangan di Malaysia. Syabas buat KKM, para frontliner dan semua rakyat yang bekerjasama melawan wabak COVID-19. Teruskan berjuang. Doaku bersama kalian.

Jujurnya, dah berhari-hari ingin aku memuntahkan apa yang terbuku dalam hati. Tapi selalu saja aku batalkan niat aku. Takut juga tertrigger orang ada mental health issue. Dan ketika aku menaip tulisan ini, jari jemari tangan dan kaki aku kebas dan jantung aku berdegup terlalu kencang. Tapi sedaya upaya aku cuba abaikan.

Maaf lah kalau tatahabasa Melayu saya dan struktur ayat saya berterabur. But I’ll try to give the best of me. Mungkin tulisan aku akan melewah panjang berjela. Jadi terima kasih kalau sudi membaca.

Saya didiagnosa sebagai pesakit Anxiety disorder dan Major Depressive Disorder (MDD). Sebenarnya dah lama aku perasan aku ada simptom MDD. Tapi aku tak tahu bahawa ia sebenarnya satu penyakit. Alhamdulillah aku dah dapatkan rawatan dah hampir setahun.

Sebelum aku rujuk kepada psychiatrist, aku ada juga ikhtiar ruqyah dan sebagainya. Sampailah ada seorang ustaz pengamal perubatan Islam yang sarankan aku rujuk psychiatrist. Emosi yang ada naik turunnya dan tak semudah yang dijangka dalam menjalaninya.

Aku mangsa sexual abusement masa aku hendak melangkah usia belasan tahun. Bukan sekali. Tapi aku naif tak tahu apa sebenarnya yang terjadi tapi yang pasti aku benci setiap kali ia berlaku. Bila sudah memahami apa sebenarnya yang berlaku, aku mengadu kepada orang tua ku dengan harapan mendapat pembelaan. Tapi tiada siapa yang percaya.

Tentunya kerana sang pelaku mempunyai sosok yang sangat berilmu, beradab dan sopan santun. Pendek kata memang sosok menantu pilihan. Sebelum mencecah 20-an jujurnya perasaan aku membuak-buak marah kepada orang tuaku.

Bukan tak sayang tapi terlampau marah. Salahkan mereka dan memberontak marah kerana gagal lindungi aku. Tapi bila menginjak usia dua dekad, baru aku terpikir kalau aku ditempat mereka, kuatkah aku hilang salah satu darah daging mereka? Ya dan aku takut membayangkan diri aku ditempat mereka. Lagi bertambah takut nak kahwin.

Ketika aku sangat-sangat rapuh, doa yang tak baik-baik saja aku tembakkan buat si pelaku. Hanya senipis iman yang memisahkan aku dari melakukan yang tidak baik keatas pelaku.

Lepas aku mengadu kepada orang tuaku, dia tahu dan mula meletakkan barrier antara kami. Dan aku nampak kini dari segi luaran banyak perubahan atas diri dia. Dia bukannya spesies samseng atau budak nakal. Dia ada budi bahasa dan sangat berdisiplin. Cuma kesilapannya yang bagai menikam nyawa aku.

Aku pula belajar untuk memaafkan tapi bukan untuk melupakan. Aku yang dulu mungkin seorang yang terlampau naif dan bendul untuk lindungi diri sendiri. Tapi bukan aku yang sekarang. Sepenuh nyawa aku akan aku lindungi diri aku sendiri.

Kesan daripada apa yang terjadi, aku jadi paranoid dan sangat bersangka buruk dengan mana-mana lelaki hatta dengan ustaz-ustaz aku sendiri. Kalau nak bercakap dengan lelaki selain ayah, ada jarak-jarak tertentu. Kalau langgar dari jarak tersebut, aku yang mula panik. Mata aku tak akan rasa nak tengok muka diorang. Mata tengok ke lain.

Kawan lelaki memang tiada langsung dulu sebab aku ni sangat kasar dengan lelaki. Sebab bagi aku tak nak bagi diorang ambil kesempatan. Tentunya aku tak disukai kerana kekasaran aku. Ada kala aku rasa bersalah sebab terlampau berkasar.

Sekarang komunikasi aku semakin membaik. I learn to being husnu dzhon to the other people. Alhamdulillah. Bila teringat balik, rasa bersalah pula dekat kawan-kawan lelaki yang pernah aku berkasar dulu.

Ya aku mendapat pendidikan agama, bertutup litup, apa yang aku tonton dan baca semuanya dipantau oleh ibu bapaku. Tapi apa yang terjadi adakalanya membuatkan ku sedikit sebanyak mula mempersoalkanNya (tentunya tak sepatutnya aku lakukan).

Aku mula fikir perkara semakin mendalam tentangNya, tentang DzatNya. Otak aku selalu memaksa aku memikir itu dan ini sehingga aku letih sendiri.

Aku tak suka berada dalam kelompok yang ramai. Kalau dulu, presentation depan kelas pun rasa macam nak nangis. Tapi perlahan-lahan aku cuba ubah diri aku. Tapi satu perkara yang aku tak boleh ubah sampai sekarang iaitu rasa terlampau penat selepas berada dalam kelompok yang ramai.

Selepas majlis ke kenduri kendara ke gathering kawan-kawan ke, aku rasa penat dalaman yang bersangatan dan masa nilah aku nak bersendirian. Lagi satu, bunyi bising atau hiruk pikuk akan selalu buat aku rasa nak mengamuk.

Kalau bising semasa kenduri saudara, aku cuba bertahan semampu aku dari rasa nak mengamuk. Kalau aku tak tahan, aku akan menghilang. Pasar malam, bazar ramadhan boleh dikatakan tak sampai empat kali aku pergi. Itupun sebab kena paksa dan terpaksa.

Berbalik kepada tajuk, apa sebenarnya yang aku rasa? Bila orang tanya aku “How are you feeling today?” Aku sebenarnya tak tahu nak balas apa. Sebab aku pun tak tahu apa yang sebenarnya aku rasa. “Good” “Alhamdulillah” aku balas hanya sekadar memenuhi adat jawapan.

Ya aku rasa kosong. Kadang-kadang sedih tanpa sebab. Dan rasa kehilangan keinginan untuk hidup. Selalu tiada mood nak buat apa-apa pun. Tak kisahlah, makan ke mandi ke.. Rasa nak tidur je. Kadang aku pun confuse. Aku ini malas atau apa?

Buka mata setiap kali bangun tidur, selalu ada persoalan dan inner voice yang halaulah macam mana pun dia masih ada:

“Kenapa kau hidup lagi”

“Kan lebih bagus kalau aku tertidur sepanjang hari”

“Macam mana kalau kau buat dosa lagi hari ini?”

“Kenapa kau perlu buat itu dan ini”

“Kau yakin dengan apa yang kau rasa sekarang?”

“Kalau kau hidup dan buat dosa lagi, kenapa kau tak mati ja?”

Banyak lagilah kalau nak senarai.

Aku pernah terfikir ketika berjalan di tepi jalan yang penuh dengan kereta yang dipandu dan aku rasa nak lari ke tengah jalan dan biar kereta tu langgar. Itu antaranyalah. Banyak lagi benda lain.

Tapi kadang-kadang terlebih penakut pula. Contoh:

“Macam mana kalau tiba jalan tepi jalan, lampu jalan sebelah terbalik”

“Aku duduk tingkat 2, macam mana kalau lantai runtuh”

Dan satu benda nak beritahu, aku pernah fikir nak mati dan aku tak boleh nak fikir benda lain selain itu. Lepas otak aku dah agak betul sikit baru rasa b*d*h dan berdosanya tindakan aku. Tapi jujur, masa rasa nak tamatkan riwayat tu, memang tak boleh fikir apa-apa. Alhamdulillah tuhan masih beri peluang untuk bertaubat.

Aku selalu menangis tiap kali solat. Aku mengadu kepadaNya betapa aku penat untuk berlawan dengan diri aku sendiri untuk setiap apa yang rasa. Tapi aku tahu ujian ini akan berlalu. Cepat atau lambat. What I need to do is giving the best of me as His servant. Sabar dan terus berusaha. Kalau aku mati, aku mati sebagai orang yang sabar dan berusaha.

Kehidupan yang tak macam aku inginkan membuatkan aku mencipta satu watak yang aku inginkan dalam imagnasi yang lain. Aku mula hanyut dalam watak tersebut. Kadang satu kerja pun tak jalan sebab sangkut dengan watak itu berjam jam.

Pada mulanya, aku sangka aku berangan. Tapi rupanya itu gejala yang tidak sihat. Aku cuba untuk buang imagnasi tersebut secara beransur ansur dengan bantuan ubat ubatan tentunya

“Lawan syaitan tu”

“Perbanyakkan amalan. Baca Al Quran. Dekatkan diri pada Allah”

“Itu sebab awak tak buat itu ini”

“Masalah dia lagi teruk daripada awak”

Itu antara ayat-ayat yang selalu direspon kalau aku cuba luahkan masalah.

Tak pernah aku nafikan keagungan al-Quran sebagai syifa’ dan petunjuk orang-orang muhsinin. Aku pun selalu amal kan bacaan wirid tertentu, hizib dengan niat syifa’ buat diri aku. Tetapi aku juga sentiasa mencari jalan keluar untuk menjadi lebih baik.

Mukmin yang kuat lebih baik dari mukmin yang lemah kan? Sometimes, I just need a good listener.

“Tapi Allah kan ada. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”

Hmmm you’re right..

Aku tak suka kata ujian aku lagi berat dari orang lain atau ujian orang lain lagi kecil dari aku. Never. Pendapat dua puluh sen aku, ujiian adalah ujian. Kecil dan besar adalah bagaimana kita menjalaninya.

Mungkin dengan keadaan aku, sekeliling aku, perangai aku dan pengetahuan aku, mungkin kalau dicampakkan ujian yang orang nampak kecil, aku dah tak mampu nak hadap sebab dengan semua faktor tadi tak melayakkan untuk aku tanggung. Ya mungkin kecil bagi kita, besar bagi orang lain atau sebaliknya. Nasihat kecil saya, jangan sesekali membandingkan. Sakit ooo. Auch.

Last but not least, being a support system kena banyak bersabar. Aku cakap sebab aku pun sebahagian dari support system sebab kawan aku mengidap bipolar.

Tak perlu bagi tazkirah dengan ayat bombastik empat lima empat lima juzu’ saat dia memerlukan, tapi cukup jadi pendengar. Tak perlu try hard jadi pakar motivasi dengan berikan pelbagai solusi. Cukup cuma buat dia tahu yang ramai sayangkan dia dan sentiasa ada telinga mendengar apa yang dia nak luah.

Ada hadis Nabi yang mafhumnya mukmin yang kuat lebih disayangi oleh Allah berbanding dengan mukmin yang lemah.

Sebagai mukmin yang lebih kuat, tentunya golongan mukmin yang lemah macam aku perlukan semangat dan doa dari kalian untuk jadi sama-sama kuat. Dan insyaAllah pahala bersama kalian kerana membawa mukmin Yang lain untuk sama sama dicintai Allah.

Sekian, wassalam.

– Puteh (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *