Apa Sebenarnya Yang Allah Takdirkan?

Assalamualaikum wbt. Namaku Zue. Bukan untuk berpaling daripada takdir, cuma mahu mengeluh dengan beratnya beban yang berbalut dalam tubuh.

Aku seorang yang introvert. Aku cuma boleh mendekati dengan orang yang aku selesa. Memilih? Sumpah tidak. Aku sendiri tak tahu kenapa aku jadi begini. Aku tak pandai bergaul.

Aku rasa cemburu dengan kawan-kawanku yang pandai bercakap, tidak gementar dan boleh masuk dengan semua orang. Sedangkan aku? Aku takut untuk mulakan bicara, aku tak confident, aku rasa sangat berat untuk berucap.

Aku paling pantang orang yang bermuka-muka, suka mengata orang dan buat kepala. Jadi, aku menjauhkan diri. Boleh agak kan berapa saja kawan yang aku ada. Tapi aku selesa. Tak banyak karenah, hidup tenang dan tak perlu fikirkan apa orang nak kata.

Walaupun begitu, bukan bermakna aku tiada masalah, ujian dan dugaan. Aku kadang-kadang terfikir, kenapa nasib aku diciptakan begini.

Sakit dan luka di dada tu Allah tahu, tapi bertubi-tubi lagi ujian yang hadir. Kenapa Allah uji aku begini? Allah sayang atau bencikan aku?

Biar aku ceritakan beberapa kisah aku yang aku rasa biar Allah cabutkan saja nyawa aku. Aku tidak sanggup lagi untuk meneruskan hidup dan hadapi ujian yang bagi aku sungguh berat.

Kisah pertama.. PILIH KASIH.

Kisah ni berlaku dalam keluarga aku. Ketaranya tak lain tak bukan mestilah mak aku. Mak aku ni nak kata miskin tak jugak, kaya pun tak.

Sedang-sedang saja. Bila kawin dengan ayah aku, dia banyak makan hati dengan mentua yakni mak kepada ayah.

Nenek aku ni la yang start dengan pilih kasih dulu. Mak aku ni aku boleh kata menantu yang tak dirai la sebab mak aku memang tak cantik.

Nenek aku kata mak aku ni orang ulu (orang pendalaman) dan hitam! Memang mak aku berkulit gelap sebab atuk aku orang Indonesia yang bermastautin di Malaysia.

Tapi, adakah mempunyai title sebagai ibu mentua boleh mengutuk dan menyakiti insan bernama menantu?

Seraya dengan itu, aku syak mak aku yang teraniaya dan terluka dengan nenek aku terikut-ikut dengan tragedi yang menimpa dirinya.

Mak aku jadi obses melihat orang-orang yang cantik dan dia akan menyanjung serta menjadikan mereka ‘favourite people’ dalam hidup dia.

Oh ya, mak dan ayah aku dah bercerai setelah 22 tahun hidup bersama. Semuanya disebabkan nenek aku.

Memiliki menantu lain yang cantik membuatkan nenek aku selalu menyuruh ayah aku untuk mencari isteri lain yang ada rupa. Jahat tak nenek aku ni? Aku dan adik-adik yang lain memang tak pernah dilayan nenek sebab kami ni bagi dia, tak cantik.

Jangan tanya mana perginya ayah aku. Aku tidak bernasib baik untuk memiliki seorang ayah yang penyayang dan mengambil berat akan perihal anak-anak.

Sekarang pun, aku tak tahu apa yang ayah aku buat tapi aku tahu rumah ayah aku dan isterinya. Aku cuma pergi setahun sekali sahaja sewaktu raya. Selebihnya, aku tidak ambil peduli.

Berbalik kepada mak aku. Antara kami adik beradik, abang aku yang sulung dan adik bawah aku ni boleh tahan sedap mata memandang.

Aku dan adik bongsu memang out la daripada istilah cantik. Cantik bagi mak adalah berkulit putih. Aku dan adik memang gelap. Ikut mak aku laa..

Favouritism berlaku di sini. Mak aku punya sanjung pada abang dan nana (adik aku) umpama menyanjung malaikat. Jadi, apa yang membuatkan aku sedih?

Ini ceritanya.. Memang dari kecil mak aku nak anak-anak dia berjaya sebab dia tak mahu kami dihina sebagaimana dia dihina. Mak aku tak belajar tinggi. Sebab orang kampung kut..cukup sekadar SPM.

Aku sedar akan nasihat itu dan memang aku yang paling menyerlah antara adik beradik aku dari segi pelajaran. Aku baru saja mendapat PhD di salah sebuah universiti tempatan. Alhamdulillah.

Cuma perkara yang membuatkan aku rasa sakit di mana, aku dibuat seperti insan yang tiada perasaan oleh mak aku sendiri.

Bayangkan lah, mak mahu aku belajar tinggi untuk mendapatkan pekerjaan yang tetap dan bergaji tinggi. Impian mak umpama menanti salji di bumi Malaysia. Sukar untuk berlaku tapi tidak mustahil dengan kuasa Tuhan.

Selepas tamat ijazah, aku belum mendapat kerja. Selama 3 bulan aku dirumah dan setiap hari mencari kerja, mak aku memusuhi aku dengan tidak bercakap denganku. Aku yakinkan mak bahawa rezeki Allah yang beri.

Tapi apa boleh aku buat, sebab aku bukan anak yang dikasihi, jadi segala apa yang aku lakukan ketika itu menjadi satu kesalahan dan ungkitan.

“Belajar tinggi tapi goyang kaki”

Itulah kata-kata keramat yang mak aku bagi setiap kali anginnya naik walau ribut tidak melanda.

Goyang kaki? Aku sibukkan waktu aku dengan membuat kelas tuisyen. Aku mengajar dari rumah ke rumah dan di pusat tuisyen. Gaji aku sebulan dalam lingkungan 700-1000 ringgit mengikut kekerapan kelas yang aku buat.

Aku tetap hulurkan pada mak RM200 sebulan. Tapi seperti yang aku cakap, aku bukan anak yang dikasihi. Jadi 200 ringgit tidak membuatkan mak bahagia. Bagi mak, level ijazah boleh bagi 500-1000 ringgit kepada ibu bapa. Allahu mak..mengapa engkau begitu..

Aku makin tertekan. Mak acap kali berleter sampai ke tahap maki hamun. Setiap hari mak bertanya, kenapa aku belum mendapat kerja tetap/ kerja kerajaan?

Sungguh jika aku mempunyai kuasa seperti Tuhan, aku sendiri akan melantik diriku sebagai KETUA PENGARAH di jabatan kerajaan. Gaji semestinya ratus ribu. Aku pun boleh bagi mak beribu-ribu.

Aku pelik, kenapa dengan mak? Bukankah seorang ibu perlu melindungi anak-anaknya? Kenapa mak begitu?

Amukan mak berada di tahap paling tinggi semasa di bulan ke TIGA aku menganggur. Lantas aku membuat keputusan untuk melarikan diri ke Selangor. Tibanya aku di sana, kawan baikku, Eli yang membantuku mencari pekerjaan.

Alhamdulillah rezeki dari Allah, aku bekerja sebagai seorang jurutera dengan gaji permulaan sebanyak RM3000. Waktu itu tahun 2011. Dengan gaji sebanyak itu, sangat cukup untuk aku.

Bulan pertama aku di bumi Selangor, aku belum mendapat kerja. Mak aku langsung tidak mencari aku. Eli dan keluarganya yang 100% membantu aku.

Bila aku sudah sebulan bekerja, tiba-tiba mak call aku dan meminta aku untuk memberinya duit bulanan. Aku syak adik aku yang bongsu beritahu mak sebab aku pernah call adik untuk bertanyakan khabar. Apa yang boleh aku buat? Dia seorang ibu.

Fast forward, tahun 2021. Adik aku, Nana sudah 4 tahun bergraduasi. Tapi sebulan pun nana belum pernah bekerja. Nana berkahwin dan sekarang memiliki seorang anak.

Boleh teka apa yang berlaku? Sikit pun mak tak pernah bising nana tidak bekerja dan tidak menghulurkan mak duit bulanan.

Malah mak menjaga anak nana FREE OF CHARGE sedangkan mak offer diri untuk menjaga dua orang anak aku dengan bayaran sebanyak RM500 sebulan. Di mana keadilan?

Sama seperti abangku yang bekerja sebagai tentera dan bergaji hampir 6000. Tetapi potongan bulanan untuk mak hanya RM100 berbanding isterinya, RM500.

Aku? Duit bulanan tetap RM350 + mengasuh anak-anak ku RM500. Jadi total yang wajib aku berikan pada mak ialah RM850 sebulan. Namun mak tidak pernah merungut tentang abang dan Nana.

Aku dan suami bekerja. Anak sulungku darjah 1 dan anak kedua tadika. Aku bercadang untuk transitkan anak-anak aku ditadika yang sama dan perlu membayar sebanyak RM250 sahaja sebulan tetapi mak memaksa untuk letakkan mereka pada mak.

RM850 kepada mak daripadaku dan suamiku perlu membayar yuran tadika serta duit poket anak. Jumlahnya berganda-ganda.

Pada aku jangan kedekut dengan ibu sendiri. Tapi kesannya, aku tak mampu untuk menyimpan. Gaji yang hanya cukup-cukup untuk keluarga kecilku. Sedihnya bukan hanya pada gaji, tapi sikap mak. Adilkah?

Kisah sedihku yang kedua.. KERJA.

Ya, gajiku walaupun mempunyai PhD, hanya RM2100 sebagai guru Bahasa Inggeris di sekolah swasta. Aku tidak lagi di Selangor tetapi sudah menetap di Perak mengikut suami yang bekerja di sini.

Mulanya sayang untuk aku melepaskan jawatan sebagai seorang jurutera. Tetapi apabila suami sudah bersuara untuk tinggal bersama, aku akur selepas tahun keempat bekerja. Setahun PJJ, akhirnya aku menetap bersama suami di rumah sewa kami.

“Bodoh!” Kata mak kepadaku dek kerana berhenti kerja dan tidak mampu untuk memberinya duit bulanan.

Aku start job hunting. Semenjak itu, rezeki aku ke arah bidang pendidikan. Aku mendapat tawaran sebagai guru ganti dan bekerja di beberapa buah sekolah selama 2 tahun.

Alhamdulillah, ada gaji dan boleh memberikan mak RM250 sebulan. Tapi, mak macam biasa, masih tidak puas hati.

Setiap kali aku pergi rumah mak, mesti dia menyalahkan aku tidak minta kerja kerajaan seperti abangku.

Mak, kalaulah kita ada kabel atau Allah bagi rezeki itu, InsyaAllah aku akan dapat kerja tetap. Tapi mak, rezeki bukan di tangan manusia mak..aku hanya mampu meminta mak berdoa.

Terkilannya aku tatkala dihina dan diherdik mak. Sambil-sambil aku sambung master, aku harap aku boleh menjadi pensyarah. Tapi, sekali lagi, belum rezeki aku.

Lantas aku mengambil keputusan untuk berhenti menjadi guru ganti dan menyambung PhD. 3 tahun berlalu, tahun 2019, aku tamat belajar.

Sekali lagi aku job hunting. Aku mendapat peluang bekerja sebagai guru di sekolah menengah swasta. Sambil-sambil aku mencari peluang di universiti tempatan dan swasta, aku kerja saja di sekolah itu supaya di mata mak, aku bekerja.

Sehingga ke hari ini, cukup dua tahun aku berkhidmat dan masih berkhidmat. Aku kecewa dengan hidup aku yang aku rasakan sangat useless. Kenapa aku belum dikurniakan pekerjaan yang tetap?

Rakan-rakan aku yang sebaya rata-rata sudah mempunyai gaji 5000-6000 sebulan kerana mereka memasuki sektor kerajaan sebaik sahaja habis belajar.

Tapi aku? Aku bersyukur aku masih mendapat kerja berbanding mereka yang belum dikurniakan rezeki. Cuma, aku inginkan kestabilan dalam hidup.

Entah lah.. aku tak rasa organisasi yang aku masuk ni boleh bertahan. Sekolah swasta ye, bergantung dengan jumlah murid. Gaji guru-guru juga sangat bergantung daripada bayaran yuran murid.

Kisah ketiga.. BUKAN MENANTU PILIHAN.

Seraya dengan pilih kasih daripada mak dan kerja yang belum muncul, aku diuji dengan keluarga mentua aku sendiri.

Untuk pengetahuan para pembaca, mak suamiku berperangai sebijik seperti nenek dan ibuku. Memilih rupa untuk mengasihi. Mempunyai menantu yang cantik membuatkan mentuaku angkuh dan sangat berlagak dengan aku.

Aku dan suami dipulaukan oleh mereka (mentua dan adik beradik suami). Suami aku diperlakukan begitu kerana dia lebih memilih aku berbanding mereka.

Maka, kata-kata buruk serta fitnah ligat dimulut mentua dan kakak iparku sehinggakan menjatuhkan maruah aku dan suami.

Jangan tuduh aku tidak mengambil hati mereka..malah apa yang aku dapat cuma hirisan sembilu yang menyiat-nyiat hati serta perasaan aku. Hampir meroyan aku sewaktu mengandung dek kerana fitnah kakak iparku.

Aku bersyukur suamiku banyak menyabarkan aku serta membantu untuk memulihkan mental aku.

Aku sekarang tidak lagi terhegeh-hegeh. Sudah bertahun aku tidak jejakkan diri ke rumah mentua. Suami pula sekali sekali.

Namun, aku tidak pernah menghalang suami untuk ke sana. Malah, aku berkali-kali cuba untuk mengundur diri. Tapi, nasib aku baik. Suami aku tersangatlah baik. Alhamdulillah.

Kenapa ipar memfitnah? Biasalah, bila kita yang tiada rupa, buat apa saja menjadi satu kesalahan. Mabuk loya waktu mengandung membuatkan aku tidur sehingga tidak sedarkan diri. Mereka datang untuk mengambil barang daripada suamiku.

Dilihatnya aku tidak keluar bilik, dushhhh heboh di Facebook katanya aku menantu hantu. Suami aku pegang aku erat waktu aku hampir rebah. Merayu-rayu memohon maaf bagi pihak keluarganya.

Bukan aku sahaja. Anak-anak aku juga mangsa mereka. Langsung tiada hirauan seperti cucu-cucu anak menantu kesayangan.

Sedihnya bukan kepalang. Kadang sewaktu solat, aku menangis tanpa sedar. Henjutan bahu membuatkan aku tersentak dan kembali ke alam realiti bahawa aku sedang hebat menangis.

Bukan aku tidak berdoa. Bukan tidak tawakal. Bukan jua tidak berusaha. Jadi, apa lagi yang perlu aku lakukan. Ujian yang bertubi-tubi membuatkan aku selalu berdoa untuk Allah ambilkan saja nyawaku. Tapi, bagaimana dengan anak-anakku?

Allahu..sakitnya dada aku menahan sesak. Punahnya jiwa aku umpama Tsunami melanda. Kenapa ya Allah? Apa sebenarnya yang Allah takdirkan untuk aku?

– Zue (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *