Apa Yang Patut Aku Buat? II

Untuk part I, (https://iiumc.com/apa-yang-patut-aku-buat-2/).

Assalamualaikum semua. Terima kasih iiumc sebab sekali lagi publish cerita aku ni, sambungan kepada post Apa Yang Patut Aku Buat? sebelum ni.

And aku sendiri dah baca semua komen readers, terima kasih untuk semua komen yang membina dan juga yang bagi idea, tak lupa juga yang mendoakan aku. Semoga yang baik baik juga untuk kalian semua.

Aku nak menjawab tentang beberapa komen sebab mungkin cerita part 1 aku sendiri tak cukup lengkap sebab terlalu panjang, aku ceritakan hal terbaru saja dalam post tu.

Kedekut.

Aku ada baca komen dari reader yang mengatakan aku seorang yang kedekut sebab tak bagi suami pakai kereta kereta aku untuk bawak anak anak berjumpa dengan nenek diorang.

Untuk pengetahuan, masa awal perkahwinan aku ada bagi family suami pinjam salah satu kereta aku disebabkan family suami memang tak ada kereta. Masing masing ada motor saja.

Tiap kali hari raya, ayah suami akan pinjam kereta dari kawan kawan dia, kebiasaannya setiap tahun macam tu, seperti yang diceritakan oleh suami. Tapi apa yang aku dapat lepas aku bagi pinjam agak menyedihkan. Kereta aku kemek di bahagain bonet belakang akibat terlanggar tiang dan signal patah.

Masa aku dan suami balik ke rumah family dia, aku tak dapat tahan air mata, aku terus menangis di depan family dia mengenangkan kereta yang diberi pinjam jadi macam tu. Ayah suami cakap kereta lagi satu kan ada, kereta yang rosak ni bawaklah pergi repair. Semudah tu je ayah suami cakap. Tak ada maaf tak ada explanation.

Aku beli kereta kereta tu semua guna hasil usaha aku sendiri sebagai reward untuk diri aku, sebelum aku kenal suami. Aku bagi pinjam sebab aku kesiankan family suami yang terpaksa meminjam minjam dari orang luar.

Suami cakap waktu tu dia akan tanggung semua kos repair kereta tu, and minta aku maafkan family dia. Aku tak tau apa aku nak buat, aku senyap saja. Lepas 2 bulan aku tengok kereta tu masih tersadai, belum dibawa untuk repair. Aku tanya suami, dia cakap dia belum ada bajet untuk repair kereta tu. Aku faham, then aku terus bawak sendiri kereta tu pergi repair, dan bayar semua sendiri.

Waktu tu agak sedih sebab terpaksa tanggung atas sebab orang lain. Tapi memikirkan aku baru saja kahwin, aku diamkan. Family aku sendiri pun aku tak bagitau hal ni. Aku berterus terang dengan suami, lepas ni mungkin aku tak dapat lagi nak bagi family dia pinjam kereta kereta aku.

Start dari situ aku jadi pantang kalau orang nak pinjam kereta aku. Bukan aku kedekut, tapi aku minta family dia tau adat meminjam. Kereta kita kan, kalau orang jahanamkan lepastu tak nak tanggung, mesti sakit hati. Kan? Sebab tu bila adik suami minta untuk pinjam kereta lagi, suami terus cakap tak boleh. Bukan sebab aku sayangkan kereta berbanding manusia.

Group family suami.

Reader ada komen mengatakan aku ni over sebab overreact masa dalam group besar family suami tu. Ye waktu tu aku memang tengah emosi sebab masing masing plan tanpa ada sebarang perbincangan, tup tup saja terus letak tarikh dan highlightkan “KEHADIRAN WAJIB”, semestinya aku ada soalan yang nak ditujukan, kenapa tak buat pada hari Ahad.

Nombor aku dimasukkan dalam group tersebut 1 minggu sebelum kitorang bernikah. Bukan 1 group saja, ada lagi group family suami yang lain, terus saja diorang masukkan nombor aku. Aku tak menafikan family besar suami memang tersangat meriah, tapi waktu tu macam terlalu awal. Mungkin.

Aku terus cakap dekat suami waktu tu, tak perlu masukkan aku dekat semua group tu, apa apa hal aku refer dia saja. Tapi suami cakap, sepupu dia yang minta nombor aku, untuk berkenalan katanya. Aku memang selalu jadi CCTV saja dalam semua group family suami, apatah lagi group family aku sendiri. Aku kurang berborak dalam tu, hanya yang penting penting.

Sekarang aku sendiri dah keluar dari group family suami. Tak ada 1 pun yang tinggal, betul, aku kembali tenang lepas tu. Family suami sangat sukakan aktiviti keluarga, tiap bulan ada saja program. Aku suka program2 yang dibuat, semua aku join, kecuali yang 1 ni saja sebab dibuat pada hari Sabtu aku bekerja.

Ayah dan mak suami pernah menegur aku untuk balik awal dan join program family diorang sebab aku ada masalah di tempat kerja pada hari itu dan suami terpaksa ambil anak (waktu tu baru anak 1) dan terus join program tu sendiri tanpa aku. Aku sampai lepas maghrib dan aku nampak ayah suami bermasam muka sambil tanya aku dari mana, aku jawab aku dari office. Dan ye, hari tu hari Sabtu.

Ayah suami hanya gelengkan kepala. Suami ada cerita ayah suami tanya kenapalah suami beria nak kahwin dengan aku, orang tak reti ingat rumah. Aku tegaskan dekat suami aku buat semua ni untuk anak, untuk family kitorang. Walaupun tak mewah tapi biarlah makan pakai kitorang anak beranak terjaga.

Bukan aku perlekehkan kemampuan dia, tapi aku memang nak bantu dia ada kehidupan yang lebih selesa sebab suami selalu cakap dia tak pernah merasa hidup senang dan selesa dari kecik. Aku cuba share segala rezeki yang aku ada, untuk dia dan untuk anak.

Tahun kedua kahwin, aku ajak suami untuk beli rumah memandangkan kitorang terjumpa 1 rumah yang harganya berbaloi dengan keadaan rumah tu. Aku ajak dia join loan dengan aku, sebagai hasil susah senang kitorang berdua. Seronok kalau ada rumah sendiri. Sebabkan aku memang diajar untuk berdikari, aku tak ceritakan plan ni dekat family aku.

Aku fikir kitorang akan inform bila urusan jual beli semua selesai, lagi happy macam tu. Tapi suami sebaliknya, dia share dengan family dia pasal semua ni. Aku tak ada masalah kalau semuanya menyokong atau mendoakan kitorang dimudahkan urusan, tapi sebaliknya yang jadi.

Ayah suami pertikaikan kenapa kitorang suka sangat berhutang dengan bank. Loan rumah akan makan lebih kurang 30 tahun, selesakah hidup dengan hutang macam tu? Kenapa tak nak duduk dengan family je? – Macam tu la bunyi lebih kurang, ayah dia hantar voice note melalui whatsapp waktu tu.

Untuk pengetahuan, family suami duduk secara free dirumah kawan ayah suami, diberi secara ihsan, dari suami kecil sampai ke hari ni. Bagus kan kawan ayah suami tu? Baik sungguh. So ayah suami mungkin berfikir kitorang tak perlu fikir tentang duit @ hutang hutang yang ada kalau duduk bersama diorang.

Ok berbalik pasal voice note tu, aku dengar saja. Aku tak jawab apa apa walaupun dalam hati aku nak terus terang dengan ayah suami. Suami pun sama.

Then selang beberapa hari sebelum kitorang pergi jumpa agent rumah tersebut, suami menyatakan dia tak nak join loan dengan aku, sebabkan ayah dia bising bising. Aku pun malas nak bergaduh sebab hal ni, aku nekad beli rumah tu atas nama & loan aku sendiri. Tak mungkin aku nak paksa suami join jugak loan dengan aku. Demi anak aku.

Suami minta maaf berkali kali dekat aku, aku senyumkan saja. Aku hanya jawab, aku faham. Tapi hati aku sakit. Alhamdulillah, rumah tu berjaya aku beli. Seronok bila tengok anak pun suka rumah tu, terkedek kedek berlari walaupun baru je dapat lesen berjalan masa kitorang tengok rumah tu. Rasa lega dapat bagi dia kehidupan yang selesa.

Boleh faham kenapa sekarang lepas 4 tahun kahwin baru aku meletup?

Implanon.

Ada juga yang komen, suggest untuk aku pakai implanon. Ye, aku memang pakai, atas keizinan suami sendiri. Sebab aku sendiri akan ada masalah kesihatan kalau mengandung anak ketiga. Suami setuju dan support aku untuk jaga kesihatan diri aku dulu baru fikir untuk anak ketiga. Terima kasih atas cadangan yang diberikan :)

Sayangkan Suami.

Tipulah kalau aku cakap aku tak sayangkan suami. Tak mungkin aku lupa semua effort yang dia buat untuk family kecil kitorang. Aku nak bercerai bukan sebab aku nak cari lelaki yang lagi elok atau lelaki yang kena dengan citarasa aku. Aku minta untuk bercerai sebab aku fikir daripada dia susah hati nak jaga dua dua belah tambah pula ada campur tangan dari family dia, lebih baik macam ni.

Tak tau sampai bila akan ada campur tangan macam ni, kalau terus terusan memang akan jadi toksik. Aku sedar aku pun ada salah dan silap aku sepanjang masalah yang jadi ni, tapi aku sendiri tak mampu nak tipu perasaan sendiri.

Apalah maknanya bahagia kalau dalam hati pun aku sendiri tengah memendam. Family aku pun maklum dengan apa yang jadi, hanya mak dan abah saja yang bagi nasihat, adik beradik lain lebih suka mendoakan yang terbaik untuk kitorang. Abah minta aku fikirkan anak anak sebelum buat keputusan.

Kalau ikutkan hati Abah, dia pun kecewa dengan apa yang jadi (pasal duit je dia belum tau), tapi Abah cakap dia memang sukakan suami jadi menantu dia, menantu yang rajin katanya. Suami juga pernah puji family aku jenis yang teratur, Abah pentingkan pelajaran dan masa depan anak anak. Kitorang plan nak buat benda yang sama, pelajaran dan masa depan anak anak.

Terima kasih lagi sekali untuk readers semua, aku akan pertahankan perkahwinan ni dan aku muhasabah diri aku sendiri. Mungkin aku perlukan time off untuk bersama family kecik kitorang. Tentang family dia, entahlah. Follow the flow mungkin. Terima kasih jugak untuk semua doa yang diberikan.

Semoga yang baik baik untuk semua.

– R (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *