Apa Yang Perlu Untuk Membahagiakan Rumahtangga?

Terima kasih admin kerana sudi kongsi confession saya. Saya Anis, berumur 28 tahun, tahun ni.

Tujuan saya menulis kerana ingin mendapatkan nasihat & pandangan kalian tentang keadaan rumah tangga saya memandangkan ini adalah ruangan yang anonymous, tiada siapa tau saya siapa. Saya tak tahu dengan siapa sesuai untuk luahkan, pada masa yang sama saya tidak mahu ada aib yang terbuka.

Ia berkenaan saya & suami. Kami baru berkahwin selama setahun 5 bulan. Kami berkahwin atas dasar suka sama suka, bercinta selama 4 tahun dan kahwin. Dikurniakan seorang anak yang comel & sihat berumur 7 bulan.

Saya berkerja disektor kerajaan dan suami swasta. Gaji saya lebih tinggi hampir dua kali ganda dari suami. Kami PJJ (perhubungan jarak jauh).

Saya dan anak tinggal berdua menyewa di satu daerah, manakala suami tinggal bersama keluarga mertuaku sejak kami kahwin kerana berdekatan dengan tempat kerjanya. Rumah sewa saya kurang dua jam perjalanan dari rumah keluarganya. Setiap minggu kami tak pernah terlepas untuk berjumpa.

Isunya sekarang, apa yang perlu saya buat untuk mendapatkan rumah tangga yang lebih bahagia? Sini saya listkan masalah tentang suami saya..

1. Dia tak boleh jika saya berkata tidak elok tentang uminya. Iyelah, memang itu yang sepatutnya kan. Tapi berpada-padalah.

Ada satu masa saya bercerita kepada suami tentang uminya hanya memberikan buaian portable anak kami tanpa barang yang cukup (nut screw hilang) masa mengemas untuk balik. Tanpa nut screw memang tak boleh pasang. Suami saya terasa sangat.

Dia marah saya dan mengatakan saya perempuan teruk kerana burukkan uminya. Sampaikan dia tidak mahu tidur sekatil dengan saya selama 2hari masa kami berjumpa. Malam itu saya menangis dalam diam. Saya sudahlah rindukannya, sudah lama tak jumpa, bila jumpa jadi macam tu.

Satu lagi pernah saya bercerita dengan adik beradik saya diwhatapps private perihal uminya yang terlalu percaya ubat tradisional/produk berasaskan sunnah sehingga sanggup habis beratus duit. Uminya seorang surirumah, tiada pendapatan sampingan.

Suami saya telah membaca chat itu dan jadi marah. Dia telah ugut untuk menceraikan saya suatu hari nanti dengan alasan saya isteri derhaka kerana telah memburukkan uminya. Saya tahu memang salah saya bercerita(mengumpat), tapi sampai macam tu sekalikah?

Saya telah pun berjumpa uminya dan meminta maaf tentang itu, tapi sampai sekarang dia selalu ungkit bila kami berselisih faham. Kata saya isteri derhaka kerana suka bercerita buruk.

2. Dia anak pertama harapan keluarga. Barang2 macam tv, perabut, mesin basuh, etc dia belikan untuk uminya sejak dia kahwin dengan saya. Saya tidak berkira dan saya faham kerana dia tinggal disitu dan mereka memerlukannya.

Sedangkan rumah sewa saya, saya yang beli barang2 rumah macam mesin basuh, fridge, katil, tv & macam2 lagi guna duit saya. Saya tak berkira sebab saya faham gaji saya lebih besar dan saya suka barang yang elok. Tapi sikit2 ada jugak terasa. Sebab barang rumah saya yang beli.

Pernah 2 tahun lepas dia sudah dapat bonus, tapi dia tak cerita dengan saya, saya dapat tahupun sebab dia tengah belek2 barang dekat lazada untuk diberi pada uminya.

Jujurnya walaupun saya berduit, saya terasa jugaklah kerana dia tak cerita dengan saya. Tahun lepas juga dia dapat bonus, beriya iya carikan katil king & tilam mahal untuk uminya. Dalam hati saya, untuk saya tak ada ke? Apa2 barang pun okay kan.

3. Pernah dia minta saya berhenti kerja supaya saya dapat duduk bersama dengannya dan menyambut dia bila balik kerja (Macam saya buat masa cuti pantang). Sampai kami bergaduh besar. Dia kata isteri kena melayan suami, bukan pergi kerja. Saya memang sudah bekerja sebelum kahwin dengan dia. Sebelum kahwin dia dah bersetuju kalau saya kerja.

Akhirnya isu selesai bila saya kata, “kalau awak suruh saya pilih antara awak & kerja, saya pilih kerja saya”. Iyelah, kalau harapkan gaji dia, memang kami taklah sesenang sekarang. Saya ada gaji, boleh menyimpan untuk masa depan. Kalau ada kecemasan tak susah nanti. Kadang2 dia masih ungkit bila kami gaduh untuk saya berhenti kerja.

4. Suka menghina tak kira tempat. Dia suka keluarkan ayat2 yang memalukan saya. Banyak kali jadi. Contoh di tempat awam macam shopping mall “kau kan isteri derhaka sebab selalu burukkan mak aku”. Bila saya cakap “jangan la cakap macm tu, saya malu la”. Dengan harapan dia akan sedar itu tempat awam dan tak teruskan. Dia akan balas “ah kau, dah kau memang macam tu, isteri derhaka”.

Jadi saya ambik inisiatif untuk diam kalau dia dah mula menghina supaya tak terus dimalukan. Kutuk saya gemuk & hitam dah selalu. Ade “kau memang bodoh pun” “kau selalu menyusahkan orang” Biasa saya akan senyum je. Tapi kadang2 tak kena tempat hinaannya, itu yang saya terasa. Suara kuat lagi. Btw, saya overweight dan berkulit hitam manis.

5. Suami saya tak romantik. Tak pandai nak mengurat sebelum berhubungan dan berhenti lepas puas sendiri. Yang ni faham2 sendirilah. Dia ada jugak tanya saya puas ke? Sebab dia dah letih. Nak taknak saya okaykan aje. Sebab dia dah cakap letih.

6. Suami saya ego. Tak pernah mintak maaf kalau buat silap! Sebelum kawin masa bercinta punyalah mintak maaf kata takkan buat lagi bila buat silap. Lepas kawin, perkataan maaf hilang langsung. Semua salah saya aja. Kalau dia yang salah, akhirnya jadi salah saya. Kalau salah saya lagilah teruk. Saya layankan aje, mintak maaf kalau memang salah saya. malas nak gaduh! Dia aje yang betul.

Pasal kerja saya, saya ada minta tukar tapi belum dapat. Saya mungkin perlu bertahan dalam 7bulan atau lebih sebelum dapat tukar. Harap dipermudahkan.

Sebelum kahwin kami bercinta dalam 4 tahun lebih. Masa bercinta semua nampak okay. Buat silap, kita merajuk terus mintak maaf. Tak ada tengking kata isteri derhaka ke. Saya pun belum kenal keluarga mertua kan.

Kebaikan dia pulak, dia ayah yang baik. Selalu bangun malam buat susu, tukar lampin. Mampu jaga anak kami seharian dengan baik. Selalu pastikan saya cukup makan kalau kami berjumpa. Cuba dapatkan apa yang saya nak/mintak. Dia bayar rumah sewa, bil air dan elektrik, barang baby mcm pampers, susu & etc. Saya tambah mana yang kurang. Biasanya cukup.

Dia selalu tanya khabar saya, malam kami selalu video call. Jadi saya tak pernah sunyi. Dia selalu ada masa untuk saya. Cuba luangkan masa untuk dengar masalah saya. Cuba tolong saya selesaikannya. Pendengar yang baik.

Buat masa sekarang dia tak pernah curang. Biasa gurau, cakap, “awek tu comel la, buat jadi kawan awak ke”. Macam tu ajelah. Kami ada password hp masing2. Saya bebas bukak phone dia, dia bebas bukak phone saya. Biasa kalau jumpa lepas seminggu, saya akan spotcheck dengan teliti. Setakat ni tak ada yang tak kena. Dia pun kata dia tak ada masa nak cari sebab penat bekerja kalau dia mahu cari.

Okay dah panjang saya bercerita. Saya cuma harap confession saya tersiar sebab saya tak tahu apa jalan terbaik untuk saya. Apa yang perlu saya buat untuk mendapatkan rumah tangga yang lebih bahagia?

Mungkin ada tips dari orang yang berpengalaman dengan suami yang macam saya ceritakan ni. Saya pun baru setahun jagung. Saya buntu & risau. Tak tahu masa depan kami macam mana..

– Anis (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *