Apa Yang Tak Kena Dengan Agamaku?

Assalamualaikum. Aku terpanggil untuk berkongsi di sini luahan hatiku dan aku berharap agar ada pihak yang lebih arif dapat menjawab persoalan yang sering bermain di benak mindaku.

1) Kenapa Islam selalu membebankan wanita?

– Dalam perkahwinan, wanita mesti menyerahkan seluruh jiwa dan raganya kepada suami, patuh pada suami, mesti bersama suami ketika diminta walaupun isteri tidak bersedia,

Berdosa besar jika menolak keinginan suami walaupun ketika fizikal letih, mesti melaksanakan sepenuhnya kerja-kerja rumah dan melayan suami seperti raja.

Tidakkah isteri itu tiada bezanya dengan hamba? Seolah-olah wanita itu rendah tarafnya sehingga haram menolak keinginan suami. Seolah-olah wanita itu tiada hak untuk merehatkan diri kerana melayani suami itu lebih utama dari kesihatan diri.

2) Kedua, mengapa Islam menampakkan wanita sebagai beban?

– Dalam Islam, wanita tidak bebas ke mana pun. Ke mana sahaja pergi mesti bertemankan mahram. Wanita juga tidak digalakkan keluar bekerja selagi suami masih mampu.

Malah jika suami tidak benarkan isteri bekerja, wanita tidak boleh bekerja walhal suami sendiri pun gagal beri nafkah. Tapi disebabkan kuasa veto sang suami, isteri wajib taat dan patuh pada suami.

Isu aurat juga para ustaz sering menekankan kepada wanita. Wanita disuruh melabuhkan tudung, menutup aurat, tidak memakai wangi-wangian, tidak bersolek. Tetapi mengapa ustaz jarang menekankan tentang aurat lelaki?

Lihatlah pemain bola sepak Malaysia, tidak pernah saya dengar dan lihat ada teguran umum dari para agamawan kepada pasukan bola sepak kebangsaan tentang kewajipan menutup aurat. Mengapa?

Tapi kalau teguran kepada artis wanita, laju sahaja. Adakah wanita sahaja subjek utama dalam agama sehingga aurat lelaki nampak tidak begitu penting untuk dihighlight?

Isu rogol dan cabul juga sama, sering wanita dipersalahkan. Untuk pengetahuan anda, aku sendiri berpakaian labuh dan longgar, tidak memakai warna yang menarik, menjaga akhlak tapi akhirnya aku tetap menjadi mangsa cabul. Apakah masih silap wanita?

Mengapa agama Islam ini selalu menyalahkan wanita? Para agamawan selalu menyebut bahawa wanita itu fitnah dunia.

Tetapi siapakah yang mendatangkan fitnah kalau bukan lelaki? Mengapa tidak ditekankan kepada kaum lelaki supaya menundukkan pandangan dan jangan menganggu kehormatan wanita?

Mengapa para ustaz tidak mengulang-ulang kepada lelaki supaya menjaga pandangan dan kawal nafsu diri? Mengapa asyik wanita yang perlu tutup aurat? Tapi lelaki tidak disuruh menjaga syahwat? Tidakkah fitnah wanita itu tercetus kerana gagalnya lelaki menjaga syahwat?

3) Mengapa selepas diceraikan suami, wanita gagal untuk mendapat nafkah ke atas dirinya? Lihatlah betapa ramai janda di Malaysia yang diceraikan tanpa sebab, diceraikan kerana suami memilih wanita lain, diceraikan kerana isteri sudah tidak cantik, diceraikan kerana tiada persefahaman. Kesannya?

Wanita yang menjadi janda menjadi terumbang ambing selepas perceraian. Ingin menanggung anak lagi, ingin mencari nafkah untuk diri sendiri lagi. Janda di Malaysia sangat struggle nak survive. Lebih-lebih lagi jika bekas suami jenis kaki keparat lepas tangan dengan nafkah anak.

Cuba lihat dalam budaya dan agama lain.. jika isteri diceraikan, mereka akan dapat sejumlah wang pampasan beserta rumah oleh suami mereka. Bahasa mudah isteri yang diceraikan akan dapat hadiah dan wang yang cukup untuk dia memulakan hidup baru selepas perceraian.

Jadi selepas bercerai, mereka ada wang untuk memulakan hidup baru dan tidaklah perlu struggle sangat untuk fasa move on. Mereka dapat rumah untuk survive bersama anak-anak.

Disebabkan hal ini, suami takut untuk ceraikan isteri kerana risau akan komitmen dan tanggungjawab yang lebih besar selepas perceraian.

Sebaliknya dalam agama Islam, lihatlah betapa terumbang ambingnya wanita yang diceraikan kerana ‘mudahnya kahwin’ dan ‘mudahnya cerai’. Langsung tidak mendapat nafkah untuk memulakan kehidupan yang baru.

Disebabkan hal ini, ada ramai janda yang sanggup meminta bantuan dengan gereja kerana kesempitan hidup selepas diceraikan. Tidak kurang juga ada yang menjadi pelacur demi meneruskan kelangsungan hidup.

Dalam Islam sendiri, jika diikutkan ada nafkah eddah dan mut’ah. Tetapi sejauh manakah pelaksanaan dan penguatkuasaannya? Mengapa tidak dikenakan hukuman keras terhadap para suami yang gagal memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak walaupun selepas perceraian?

Aku bercakap begini dari pengalaman. Dalam Islam memang ada hak untuk wanita yang diceraikan, tapi hakikatnya ramai terumbang ambing.

Di manakah keadilan untuk wanita? Di manakah para agamawan saat wanita diceraikan seperti sampah sarap yang dibuang apabila tidak diperlukan? Mana agamawan saat wanita ditindas dalam perkahwinan?

4) Normalisasi metak senonoh dan menjadikan wanita sebagai subjek seks dalam budaya lelaki melayu. Lihatlah komen-komen di ruangan facebook, sangat ramai komen lelaki miang yang melawak tak senonoh.

Malah page besar seperti Amran Fans dan Rani Kulop juga diangkat sebagai page kegemaran para lelaki sedangkan 2 page ini sangat kuat metak senonoh. Kenapa tidak diharamkan 2 page ini dan dikenakan tindakan kerana buat soft porn dan merendah-rendahkan wanita?

Seolah-olah telah menjadi kebiasaan untuk lelaki islam bergurau tak senonoh. Malah, di tempat kerja juga sama. Bergurau tak senonoh sudah jadi normalisasi di Malaysia. Sekali lagi, di mana agamawan saat budaya jahat ini telah meresap dan menjadi barah dalam masyarakat?

atau, agamawan sendiri pun join sama lawak tak senonoh kerana merasakan ia kelakar? Seperti kebanyakan ustaz, jika berborak soal kahwin, lain macam galaknya. Seolah-olah wanita itu seperti objek seks sahaja dalam Islam.

5) Mengapa para agamawan terlalu taksub dengan ulama’? Sehingga ada antara mereka menggantung gambar ulama’ di dinding rumah mereka. Bukankah menggantung gambar manusia di dalam rumah itu sendiri adalah kurang baik?

Apatah lagi menggantung gambar manusia yang sudah mati hanya kerana kagum dan hormat, tapi tanpa sedar telah memuja melebihi apa yang sepatutnya?

Mujurlah nabi kita tidak meninggalkan gambar atau lukisan wajahnya. Jika nabi kita ada gambar, sudah tentu semua rumah akan menggantung gambar nabi di dinding rumah masing-masing. Sekali lagi, bukankah cinta kepada Allah itu lebih utama melebihi apa pun?

Kemudian baru mencintai nabi. Kemudian barulah mencintai ulama.

Bukankah menggantung gambar itu ditegah ulama’? Tapi kenapa ramai yang gantung gambar ulama’ di rumah? Ingin ambil berkah? Ulama juga manusia. Dalam kesempurnaannya, pasti ada kekurangannya. Aku berpendapat langsung tak perlu untuk menggantung gambar mereka seolah-olah menjadi pujaan.

Jika mereka hidup, aku yakin mereka juga tidak mahu gambar mereka digantung di rumah-rumah kalian. Jika benar cintakan ulama’, amalkanlah amalan mereka. Beramal dengan ilmu, bukan dengan menggantung gambar.

6) ‘Lelaki scan tubuh wanita’

– Baru-baru ini viral di twitter tentang kitab fathul izar. Aku tidak terkejut kerana ramai rakan lelaki pernah bercerita tentang kitab ini.

Mengapakah dalam Islam lelaki sibuk nak tahu tentang tubuh wanita? Sekali lagi, adakah hidup lelaki memang berpusatkan wanita sahaja?

Adakah wanita itu objek seks? Adakah hidup lelaki hanya fikirkan tentang seks dan wanita sahaja?

7) Kenapa mahar dan hantaran mesti letak serendah yang mungkin?

– Di negara kita, kebanyakan lelaki suka mencari wanita yang rendah mahar dan hantarannya. Malah ustaz sering menekankan bahawa wanita yang baik ialah wanita yang rendah maharnya.

Ya aku setuju kerana tidak membebankan suami. Tapi apa guna hantaran murah jika hidup selepas kahwin lebih menderita kerana tidak cukup kelengkapan dan tidak diberi nafkah?

Kahwin itu sangat suci dan si suami perlulah bersedia nafkah zahir dan batin sebelum ke arah rumahtangga. Jika hantaran pun mahu diminta diskaun sehingga ke harga minima, bagaimana lelaki ingin sedar akan tanggungjawabnya selepas kahwin?

Mereka seperti mengambil mudah dengan wanita dan mengambil peluang akan kebaikan wanita yang menerima hantaran yang murah. Akhirnya, apabila hantaran murah, mereka berasa senang untuk dapat wanita, dan senang juga untuk melepaskan apabila sudah tidak suka di hati.

Mengapa wanita ini seperti direndah-rendahkan oleh lelaki? Sudahlah hantaran murah, malah dijadikan seperti bola yang boleh ditendang apabila tidak mahu lagi. Bayaran pelacur yang haram itu pun lebih mahal nilainya untuk bersamanya semalam, inikan pula wanita halal untuk bersama seumur hidup.

Mengapakah lelaki tidak mengambil inisiatif untuk melaburkan sedikit wang untuk menghalalkan wanita yang disukai sebagai hadiah kerana menerima cinta lelaki? Mengapa menjadikan hantaran murah sebagai benchmark untuk memilih isteri sedangkan akhlak dan agama itu lebih utama?

Beli jam branded sampai beribu mampu, tapi bayar hantaran isteri pun berkira. Bukankah ini petanda awal bahawa mereka akan menjadi lelaki keparat?

Bayangkan, jika sebelum berkahwin pun berkira soal wang, apatah lagi selepas berkahwin. Saudara aku sendiri, saat berkahwin dia terima sahaja lelaki yang beri hantaran bawah 5K,

Namun sekarang dia merana kerana diceraikan dan kini tiada pendapatan dan hidup susah kerana ketika berkahwin, tidak diberi nafkah.

Malah dulu dia sanggup berhenti kerja walaupun ada degree kerana mengikut arahan suami. Namun sekarang suami sedang berbahagia dengan wanita lain yang lebih tinggi nilai hantarannya manakala dia yang hantarannya murah menderita hidup sendiri. Kenapa penting hantaran untuk wanita?

Kerana hantaran itulah yang membantu suami di saat suami susah akan datang. Duit hantaran itulah isteri akan simpan sebagai emergency cash kalau perlukan duit akan datang. Duit hantaran itu jugalah isteri buat guna untuk belikan kelengkapan rumah nanti. Jadi salahkah hantaran tinggi?

Tidak salah jika suami mampu. Bagi aku, letak je hantaran tinggi. Kalau lelaki itu benar-benar bertanggungjawab, dia pasti akan berusaha lebih. Jika dia tidak mampu, dia tak akan give up awal.

8) Kenapa berpoligami jika tidak mampu?

– Isu tentang poligami ini sudah menjadi lumrah di Malaysia. Ramai suami yang kahwin senyap-senyap di Thailand. Orang sekeliling aku juga ramai kantoi suami ada isteri lain selepas suami meninggal dunia.

Mengapa jadi begini? Adakah lelaki Islam kita terlalu tidak tahan mengawal nafsu sehingga nak kahwin dua tiga hingga empat? Tidak cukupkah isteri yang satu sehingga tak tahan nak kahwin lain?

Nabi juga berpoligami. Tetapi nabi poligami bukan kerana tertarik dengan wajah dan body yang cantik. Nabi berpoligami bukan kerana terjatuh cinta pandang pertama. Bukan kerana tergoda dengan gediknya wanita. Tapi kerana ingin membela dan melindungi janda.

Sedangkan di negara kita, lelaki Islam berpoligami kerana nafsu. Pertama, mereka tidak akan terjatuh cinta dengan wanita lain jika lelaki ini menjaga pandangan.

Kedua, mereka tidak akan berkahwin lain jika lelaki ini faham akan tanggungjawab suami dalam Islam. Ketiga, mereka tidak akan berkahwin lain jika lelaki ini sedar diri akan realiti kewangannya yang dia sebenarnya tidak mampu.

Jadi, untuk apakah perkahwinan itu jika akhirnya lelaki sesuka hati boleh kahwin seramai mana isteri yang dia mampu dan ceraikan sesuka hati mana-mana isteri yang dia sudah tidak mahu? Bukankah dalam perkahwinan itu suami bertanggungjawab untuk melindungi dan mengasihi isteri?

Mengapa suami memilih untuk menyakitkan hati isteri dengan berkahwin lain? Mengapa memilih untuk curang sedangkan yang halal sudah ada?

Di manakah para agamawan saat lelaki Islam berpoligami sehingga mengabaikan isteri? Saat belum berpoligami pun liat untuk bayar nafkah isteri, apatah lagi setelah berpoligami.

Walau bagaimanapun, sekiranya suami benar-benar mampu dan berpoligami atas keizinan isteri pertama, itu tidaklah menjadi masalah.

Tapi masalahnya, berapa ramai yang mampu? Jiran aku sendiri, seorang isteri yang telah berkahwin selama lebih 20 tahun namun akhirnya menangis bercerita kepada aku tentang suaminya.

Sepanjang hayatnya suami tidak pernah memberikan nafkah kepadanya sehingga seluar dalam isteri sudah lama tidak bertukar.

Semuanya sudah lusuh kerana isteri tidak ada wang untuk beli yang baru. Malah isteri yang baru sahaja sembuh dari sakit terpaksa bekerja berat kerana jika tidak kerja, tiada duit untuk menanggung anak-anak.

Hidupnya tidak ubah seperti ibu tunggal kerana suami yang ada pun seperti tidak wujud. Si suami pula sibuk menggatal dengan wanita lain, malah ingin kahwin lain lagi.

Si isteri tidak meminta cerai kerana jika diceraikan, dia langsung tiada harta untuk teruskan hidup, tiada rumah, tiada kereta, dalam bank pun duit kering. Dia takut hidup susah kerana dia juga sudah tiada keluarga untuk menumpang selepas perceraian.

Mengapa tiada penguatkuasaan tentang nafkah suami kepada isteri? Aku sangat bersetuju jika gaji suami dipotong sebanyak 20% dan automatik masuk ke akaun bank isteri setiap bulan.

Aku juga bersetuju jika kerajaan mewajibkan suami untuk buat hibah kepada isteri supaya jika suami meninggal dunia kelak, nasib si isteri terbela.

Aku tidak mahu wanita lain jadi seperti jiran aku. Sudah lebih 10 tahun suaminya meninggal dunia kerana kemalangan. Namun sehingga kini, si isteri masih lagi perlu membayar hutang-hutang suami.

Sedangkan ketika suami masih hidup, isteri tidak perlu bekerja. Namun selepas kematian suami, isteri terpaksa bekerja di saat usia sudah tua kerana masih terikat dengan segala hutang suami.

Aku sangat berharap supaya kerajaan Malaysia menekankan tentang kebajikan wanita dan isteri. Badan agama serta agamawan juga wajib memberi penekanan kepada lelaki supaya sentiasa menundukkan pandangan dan mengawal nafsu syahwat.

Tidak akan terjadinya rogol, cabul dan liwat sekiranya semua lelaki berjaya mengawal nafsu masing-masing.

Persoalan ini aku utarakan bukanlah kerana aku bencikan agama aku, tapi aku bencikan orang-orang yang telah merosakkan agama yang suci ini. Mohon komentar dan jawapan dari anda yang arif. Aku terima dengan hati yang lapang dan terbuka.

– Pretty Humaira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *