Apakah Yang Ditakdirkan Untukku?

Assalamualaikum pembaca, semoga sihat semuanya. Saya ingin meluahkan perasaan saya, jika ada yang ingin memberikan nasihat atau kata-kata semangat, saya amat berterima kasih.

Sebagai pengenalan, saya seorang perempuan, tahun ni akan menginjak umur 30. Belum berkahwin dan masih lagi mencari kerja.

Selepas habis belajar, bermacam-macam kerja yang saya mohon. Tetapi nasib tak menyebelahi saya, dapat pun kerja tapi selalu tak dapat bertahan lama.

Asyik bertukar kerja sahaja sehingga saya jadi malu dengan adik-beradik dan saudara-mara yang lain. Paling lama dapat bertahan adalah setahun, itu pun sebab kontrak setahun.

Oh ya, saya tiada kenderaan dan menumpang ayah saya untuk pergi bekerja. Saya nak sangat ambil lesen, tapi setiap kali nak kumpul duit, mesti sahaja ada keperluan mendesak.

Dah dua kali saya ambil lesen kereta tapi tak dapat habiskan sebab setiap kali nak sambung kelas seterusnya dah tak ada duit.

Keluarga saya pun miskin, belanja kami sekeluarga pun cukup-cukup sahaja. Adik-adik saya pun mampu sara diri mereka sahaja dan bagi pada mak ayah pada setiap hujung bulan. Sekarang ni saya tak bekerja dan duduk di rumah.

Saya jadi patah semangat dengan kehidupan saya. Bila duduk seorang diri, lama saya termenung. Apa yang saya nak buat dalam hidup saya ni. Kerja tak ada, jodoh tak ada, harta tak ada.

Saya bersyukur sangat saya masih ada mak dan ayah walaupun serba salah dalam hati saya ni Allah saja yang tahu sebab tak dapat nak berbakti pada mereka.

Umur dah nak masuk 30 pun masih bergantung pada mak ayah. Saya tak tahulah kalau mak dengan ayah dah rimas dengan saya yang dah tua ni pun tak pandai berdikari.

Soal jodoh pula, saya pernah berkawan dengan seorang lelaki ni. Dia sangat baik dan sopan, tapi apalah yang boleh dikata. Bukan jodoh saya.

Saya faham saya banyak kekurangan. Keluarga saya miskin, muka saya tak flawless, badan saya berisi, tak pandai bawak kenderaan dan banyak lagi.

Sedangkan dia pula ada rupa, keluarganya pun nampak macam orang berada. Dia berhak memilih yang terbaik untuk diri dia.

Jadi saya tak pernah lagi cari dia selepas kami setuju untuk tak teruskan persahabatan tu lebih lama. Semoga dia dapat jodoh yang baik dan solehah.

Saya rasa betul-betul sunyi. Hanya kucing-kucing sahaja peneman saya. Kadang-kadang cemburu juga bila saya tengok kawan-kawan saya yang bekerjaya, ada suami, ada anak-anak, ada rumah dan kereta yang selesa.

Saya selalu tanya pada Allah, “saya tak ada rezeki untuk rasa semua benda ini ke Ya Allah? Kalau tak, tak apalah ya Allah. Hamba redha. Hamba tahu apa yang Kau beri adalah yang terbaik.”

Dan begitulah saya memujuk hati sendiri bila setiap kali terfikir tentang perkara tu. Tapi saya hanya manusia biasa, tak dapat nak elakkan diri daripada fikir tentang masa depan.

Lagi pula bila saudara-mara asyik bertanya tentang saya. Kerja mana sekarang? Bila nak kahwin? Saya cuma mampu senyum saja.

Semoga perjalanan hidup saya dipermudahkan oleh Allah. Doakan saya ya semua pembaca. Terima kasih sudi baca luahan hati saya.

– Eybam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *