Apakah Yang Penting Dalam Perkahwinan?

Assalamualaikum, aku menulis confession ini hanyalah untuk meminta pendapat dari kalian. Pertamanya terima kasih aku ucapkan kepada admin sekiranya menyiarkan confession aku ini.

Aku Hawa berumur pengakhiran 20-an. Tidak lama lagi aku akan mendirikan rumah tangga, sebulan sahaja lagi.

Segalanya baik dari segi persiapan dari kedua-dua belah pihak keluarga. Dan bakal suami aku ini juga seorang yang baik, dan mempunyai pekerjaan yang tetap.

Sedikit tentang aku, aku hanyalah seorang perempuan yang biasa-biasa, rupaku nak kata buruk takda lah buruk sangat, nak kata cantik pun tidak, biasa-biasa sahaja. Dan aku sejenis yang simple dan easy going person.

Ringkasnya, sedikit tentang perkenalan kami. Kami saling mengenali sejak zaman belajar dahulu. Sejak bangku sekolah lagi.

Sejujurnya aku seorang yang tidak berperasaan. Maksud aku di sini perasaan cinta. Cuma minat minat tu ada lah. Tapi sekadar suka suka sahaja, tidak lebih dari itu. Tidak pernah terfikir untuk ke jinjang pelamin.

Sepanjang aku belajar, aku memang tak endah hal sekeliling yang berlaku, aku sejenis yang fokus belajar, dan lebih banyak berkawan dengan perempuan.

Tanpa aku sedar pun kewujudan bakal suami aku ni. Aku namakan dia Z. Semuanya normal sahaja hidup aku.

Sehinggalah pada suatu hari, Z muncul dalam hidup aku. Bermula dia follow aku di twitter. Oh ya aku seorang yang aktif di twitter. Aku mula-mula tidak perasan dan kenal pun siapa Z. Sehinggalah Z dm aku di twitter.

Dia ceritakan dia sebenarnya sudah lama perhatikan aku. Dan Z minat aku dalam diam sejak di bangku sekolah lagi.

Aku macam terdiam, taktau nak respon apa. Z sungguh-sungguh ingin memperisterikan aku. Aku pada mulanya memang tidak layan.

Tetapi lama kelamaan aku jadi kesian dekat Z sebab aku nampak kesungguhan dia tu. Pada mulanya aku cuba berkawan sahaja dengan Z.

Lama-kelamaan aku seperti memberi harapan kepada dia. Ditambah dengan orang sekelilingku yang tidak berhenti bertanya soal bila aku ingin berkahwin,

Dan setiap kali aku pulang ke kampung pasti akan ditanya sudah ada calon atau belum. Aku paling tidak suka soalan-soalan seperti itu.

Dipendekkan cerita, macam-macam Z lakukan untuk aku, dia sungguh-sungguh suka dan sayangkan aku. Aku semakin rasa bersalah. Aku pernah ceritakan hal ini kepada kawan baikku sendiri.

Kawan baikku menasihati aku untuk meneruskan hubungan aku dengan Z,

Kata kawan baikku, Z seorang yang baik, dan beruntung jika aku dapat bersuamikan Z, kerana Z akan menyanyangiku sungguh-sungguh, dan akan menjagaku dengan baik.

Aku cuba untuk membuka hatiku, tetapi aku sering ragu-ragu, bolehkah diri ini menyayanginya, mencintainya.

Aku takut aku tak dapat memberikan cintaku kepadanya. Aku seperti tidak ada perasaan kepadanya. Dan dalam masa yang sama, aku tiada pilihan.

Hanya dia yang hadir. Kedua ibubapaku sudah uzur, aku ingin mereka melihat aku berkahwin, aku ingin mereka hadir di hari yang paling bahagia dalam hidup aku.

Dan pelbagai lagi alasan yang memaksa untuk aku berkahwin, tidak aku ceritakan semuanya disini. Akhirnya aku terima sahaja Z.

Tetapi makin dekat tarikh berlangsungnya perkahwinan, semakin aku berasa tawar hati. Sebelum itu, aku telah membuat istikharah beberapa kali, tetapi seperti tiada jawapan. Seperti aku tiada rasa apa-apa tentang Z.

Aku tetap meneruskan kerana aku pernah terbaca, selepas istikharah terus lakukan pilihan itu, jika tiada halangan bermakna ia jawapan yang baik. Jadi aku mengambil cara jika berjalan lancar itu adalah jawapan istikharahku.

Dari sisi orangtuaku pula, kedua-duanya bersetuju kerana Z seorang lelaki yang baik, taat kepada ibubapa, tidak tinggal solat dan pandai mengambil hati orangtua.

Ya tiada masalah langsung Z.

Yang bermasalah di sini adalah aku, aku rasa kosong, Aku ada juga terfikir mungkin juga mainan syaitan, kerana syaitan membenci perkahwinan.

Pada pendapat kalian perlukah aku meneruskan perkahwinan ini, sedangkan aku tidak ada perasaan kepada Z, Z sahaja yang sukakan aku.

Atau aku masih berpeluang untuk hentikan perkahwinan ini. Pentingkah perasaan cinta di dalam rumahtangga? Atau tanggungjawab lebih utama. Bahagiakah suami jika tidak disayangi oleh isteri?

Aku perlukan pendapat-pendapat yang baik dari kalian. Terima kasih kerana mendengar luahan aku ini. Semoga Allah mengangkat wabak ini. Aaminn.

– Hawa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *