Assalamualaikum kepada semua pembaca IIUM Confession. Baru-baru ini sedih bila terbaca kisah seorang ayah yang ditinggalkan begitu lama di bawah bangunan oleh anak-anak lelakinya kerana telah uzur.
Tak sanggup saya bayangkan jika ibu bapa saya sendiri alami situasi itu. Namun, saya sangat bersyukur dengan semua adik beradik saya walaupun masing-masing ada kesulitan juga dalam menjaga orang tua yang sedang sakit.
11 tahun yang lalu, ayah telah meninggalkan kami di hospital. Dia pergi begitu sahaja tanpa kami adik-beradik bersusah payah menjaganya.
Sebenarnya, dia pernah sakit beberapa bulan sehingga kami anak-anak yang dapat pulang ke rumahnya dapat meluangkan masa mengurusnya ketika sakit. Tapi selepas itu dia kembali segar dan menjalani hidup seperti biasa beberapa tahun.
Saat menjaganya bukannya senang. Dia kerap merungut dan menyakitkan hati. Tetapi kami semua lebih memilih untuk mendiamkan diri dan bersabar sahaja.
Sikapnya itulah yang menyebabkan kami lebih cepat kelelahan (cepat sangat nak minta rehat). Tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus berbakti kepadanya. Apa pun kekurangan dia, kami terima.
Awal tahun ini pula, tiba giliran ibu pula. Kali ini dia sering sakit, iaitu bermula dari Januari yang lalu. Penyakitnya itu memerlukan jagaan sepenuhnya 24 jam sehari dan berkali-kali juga terpaksa ditahan di wad hospital.
Selama ini, dia tinggal di rumah tinggalan arwah ayah bersama dengan adik lelaki saya dan isterinya. Mereka berdualah yang banyak bersusah payah memerhatikan keadaannya dan mengurus segala perubatannya.
Syukur, adik hanya bekerja dari rumah. Kakak yang tinggal beberapa kilometer dari rumah juga turut sesekali membantu. Kalau nak diikutkan, kesemua adik beradik saya 5 orang masing-masing tidak dapat memberi komitmen 100% kepada ibu.
Saya dan 2 orang lagi adik masing-masing tinggal di negeri yang berjauhan. Masing-masing mula menghadapi pelbagai masalah. Hubungan adik dan isterinya juga turut menerima tempiasnya.
Kakak dengan masalah keluarganya. Saya pula enggan berpindah kerja. Seorang adik saya memang sentiasa ada masalah kewangan dan takkan mampu pulang selalu. Manakala seorang lagi mempunyai kerjaya yang sangat baik tetapi tinggal lebih jauh daripada yang lain.
Saya masih bujang. Tentu pembaca IIUM Confession hairan kenapa saya enggan berpindah menjaga ibu sepenuhnya, kan?
Saya bukannya muda lagi. Jika saya berhenti kerja sekarang, apakah nanti saya akan dapat kerja semula? Siapa yang akan menanggung keperluan saya?
Ramai yang berfikir, orang bujanglah sepatutnya dipertanggungjawabkan menjaga ibubapa yang sedang sakit. Jika masih muda, tidak mengapa.
Tetapi jika usia pun dah cecah 40an, ia tidak semudah itu. Saya sendiri buntu. Tetapi saya percaya ALLAH Maha Pengasih. Memang rezeki ALLAH yang tentukan. Tetapi jika kita tidak merancang dengan bijak pun, ia tetap silap kita juga.
Saya percaya, jalan penyelesaiannya bukan semudah saya berhenti kerja begitu sahaja.
Dari pembacaan saya, begitu banyak orang bujang yang terlalu lama menjaga orang tuanya, hidup terbiar selepas tempoh itu tanpa dokongan dari adik beradik yang lain, mahupun pasangan.
Sedangkan jika mereka mempunyai pasangan, keadaan tidaklah begitu menghibakan. Mungkin saya terlalu berfikir buruk tentang situasi itu, tetapi saya percaya ALLAH tidak suruh kita berkorban tanpa berfikir betul-betul.
Saya faham kesusahan adik dan pasangan, jika dibiarkan mereka sahaja yang menjaganya. Saya juga faham kesukaran semua adik beradik saya yang lain. Tetapi ada sesuatu yang saya mampu buat tanpa mengorbankan sesiapa termasuk diri sendiri.
Dan paling utama tidak pula membiarkan ibu yang sedang sakit tanpa sebarang perhatian. Akhirnya, saya nekad untuk pulang setiap minggu dari petang jumaat hingga ahad, walaupun perjalanannya memakan masa 3 ke 5 jam (campur tempoh rehat, hehehe…).
Alhamdulillah, sejak Januari itu, hampir setiap minggu saya pulang menemani ibu dan menjaganya. Maka, dapatlah adik, adik ipar dan kakak berehat menguruskan hal masing-masing.
Alhamdulillah, walaupun kami semua ada kekurangan, saya syukur sangat dikurniakan adik beradik dan ipar serta saudara mara lain yang mempermudahkan semua jalan penyelesaian ini. Mungkin ada yang tertanya, apa sumbangan 2 orang lagi adik saya?
Seorang adik saya yang bukanlah orang senang dan dapat pulang selalu seperti saya, tetapi dialah yang selalu paling sudi duduk berlama-lama di hospital menemani ibu apabila saya berkesempatan membawanya pulang dengan kos yang saya sendiri tampung.
Malah, ibu selalu ceria bila dia yang menjaganya kerana adik pandai mengurus dan mengambil hatinya. Gaji dan simpanan saya tidak banyak. Malah, kini hanya tinggal beberapa ratus sahaja dalam akaun.
Akaun saya memang susut mendadak akibat situasi ini. Tetapi saya tawakal sahaja dan berharap ALLAH sentiasa mempermudahkan rezeki saya.
Adik yang duduk paling jauh pula banyak membantu dari segi kewangan kerana dikalangan kami, dialah yang paling kukuh kewangannya.
Banyak belikan barangan keperluan demi keselesaan ibu yang sedang sakit. Selalu bertanya khabar kepada adik lelaki kami jika memerlukan apa-apa. Pun begitu, kami tidak pernah mengambil kesempatan ke atas kewangannya walaupun berkaitan dengan ibu.
Apa yang dia belikan semata-mata atas kemahuannya sendiri. Sesusah manapun kami adik beradik yang lain, tak pernah membiasakan meminjam wang kecuali dalam keadaan yang sangat mendesak.
Tak lupa juga adik ipar iaitu isteri adik saya. walaupun kami tak pernah membebankan dia menjaga ibu di hospital, dialah yang banyak mengambil berat tentang tahap kesihatan dan perubatan ibu semampu dia.
Kami semua adik beradik memang tidak mampu sepenuhnya menjaga ibu. Bukan kami tidak mahu. Bukan kami tidak sanggup berkorban demi ibu. Kami pun tidak tega membiarkan ibu gering bersendirian.
Tetapi kami manusia biasa, punya hidup masing-masing yang perlu kami beri perhatian juga.
Tetapi, saya sangat bersyukur, ALLAH permudahkan segalanya. Dengan segala kekurangan yang kami ada, kami masing-masing cuba yang terbaik semampu kami tanpa sekalipun membiarkan ibu begitu sahaja.
Saya percaya, jika kalian juga menghadapi perkara yang sama, ikhlas dengan ibubapa yang sedang sakit, dalam pada masa yang sama saling bertimbang rasa dengan semua adik beradik, ALLAH akan bantu kalian, DIA akan bukakan jalan yang terbaik atas kesukaran korang.
Namun, ia memerlukan keterlibatan semua, tetapi dengan kekuatan yang ada pada diri masing-masing dan seberapa banyak kemampuan yang dapat korang berikan, insya ALLAH.
Akhirnya, ibu pergi jua beberapa minggu yang lalu dalam keadaan semua anak-anaknya bergilir-gilir menjaganya di hospital. Alhamdulillah.
Ibu tak pernah ditinggalkan bersendirian tanpa perhatian. Begitu jugalah doa saya agar anda semua juga tidak membiarkan ibubapa kalian terkontang kanting sendirian tanpa perhatian.
Kasihanilah mereka dan berbaktilah kepada mereka sebaik mungkin, selagi mereka masih ada.
Akhir kata, doakanlah kesejahteraaan buat arwah ayah dan ibu kami di alam sana. Terima kasih.
– Ki (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit