Assalamualaikum dan salam sejahtera. Cikgu ada seorang anak murid. Namanya cikgu panggil Arjuna. Arjuna seorang yang jarang bercakap. Bukan sahaja jarang bahkan seolah- olah tak pernah bercakap. Susah nak dengar suara Arjuna. Tapi cikgu sangat tertarik dengan Arjuna. Cikgu suka sembang dengan Arjuna. Tapi sembang pun macam cikgu cakap sorang-soranglah. Kadang-kadang waktu rehat Arjuna datang intai cikgu dalam kelas bila cikgu ada di kelas lain. Suara Arjuna hanya boleh dengar bila Arjuna ketawa sahaja. Arjuna punya ketawa kemain kuat.
Pernah sekali pihak sekolah ada buat lawatan ke pusat sains Negara. Guru kelas Arjuna kata Arjuna ada datang jumpa guru kelas dan cakap “cikgu, naik bas”. Mama Arjuna risau nak lepaskan Arjuna pegi lawatan. Kerana risau akan keadaan Arjuna yang bila- bila masa je boleh mood swing, dan mengamuk tiba-tiba. Tu okay lagi, kadang- kadang tanpa sebab Arjuna duduk bawah meja. Allahu.
Anak murid cikgu tak menyertai lawatan tersebut, jadi guru kelas Arjuna in charge cikgu untuk kawal Arjuna memandangkan cikgu ada sedikit keserasian dengan Arjuna. Cikgu menerima task tersebut dengan lapang hati dengan harapan semuanya akan baik-baik sahaja memandangkan Arjuna juga merupakan pelajar yang aktif dan agak lasak. Bab sukan Arjuna no 1. Tak payah bagi arahan pun Arjuna tau nak main macam mana.
Pada hari lawatan, Arjuna tak boleh dipegang selalu. Jadi cikgu akan biarkan Arjuna pegi ke mana sahaja dan cikgu akan ikut Arjuna. Mata cikgu langsung tidak lepas dari mengawasi Arjuna. Cuma cikgu pesan berkali-kali pada Arjuna nak pergi tandas cari cikgu ni ( sambil tunding jari kat diri sendiri), jangan pergi jauh- jauh, kalau cikgu nak balik tapi tak jumpa Arjuna cikgu tinggal Arjuna. Arjuna buat keras tengok cikgu. Cikgu pun tak tahu Arjuna faham ke tak. Tapi cikgu yakin Arjuna faham arahan cikgu.
Semuanya berjalan lancar, Arjuna berlari- lari kesana sini seorang diri sambil ketawa besar. Arjuna bukan jenis yang bergerak dalam kumpulan. Dalam pada Arjuna bebas berlari-lari sesekali Arjuna datang kepada cikgu sambil gelak besar. Lepas tu lari balik. Cikgu biar kan je. Cikgu pun nak selfie jugak. Hehe.
Sehinggalah, Arjuna ternampak ade satu kawasan permainan berpagar di tengah-tengah foyer pusat sains Negara tu. Siapa yang pernah pergi, tempat permainan tu ade had ketinggian yang dibenarkan masuk. Malang sudah berbau bila Arjuna datang kepada cikgu sambil tunjuk tempat permainan tu. Cikgu tahu cikgu dalam kesusahan masa itu. Sebab cikgu yakin yang Arjuna memang tak lepas had ketinggian yang dibenarkan. Cikgu ajak Arjuna lawat kawasan lain tapi Arjuna dah keras tak nak berganjak.
Cikgu ajak Arjuna pergi ukur tinggi. Macam yang cikgu katakan tadi, Arjuna memang tak lepas, apa lagi menitik-nitik air mata Arjuna sebab tak dapat masuk. Aduhhh. Sedih pulak cikgu tengok. Cikgu pun cuba deal dengan adik yang jaga tu, cikgu cakap yang cikgu akan awasi Arjuna dan pastikan Arjuna bermain di bahagian bawah sahaja. cubaan cikgu gagal. Gara- gara Arjuna saying, jammed tempat beratur ukur had tinggi tu sebab Arjuna keras taknak bergerak.
Pening jugak cikgu masa tu. Akhirnya cikgu terpaksa tarik Arjuna ketepi. Sambil minta maaf pada ibu bapa lain, nasib semua seolah memahami. Terima kasih ye. Nasib baik lantai tiles, senang la cikgu nak seret Arjuna. cikgu pujuk Arjuna. memang tak jalan la. Arjuna masih menangis menitik-nitik air mata. Orang keliling mula memerhati cikgu dan Arjuna. semua senyum tengok gelagat Arjuna. ada yang sudi membantu nak pujuk Arjuna, macam biasalah, gagal! Arjuna duduk sambil pegang kaki cikgu, cikgu pun tak boleh jalan.
Rimas jugak cikgu. Cikgu pujuk tak jalan. Sekali cikgu nampak ade beberapa pelajar pakai unit beruniform bomba. Tinggg! Cikgu dapat idea. Cikgu terus pegang telefon dan pura- pura cakap dengan orang dalam telefon dengan nada yang kuat supaya Arjuna dengar dan Arjuna faham.
“Hello polis ke ni? Saya cikgu Arjuna ni, macam ni polis, Arjuna ni menangis, dah lama dia menangis, taknak bergerak, cikgu dah pujuk pun Arjuna taknak ikut, macam mana ni ye polis? Cikgu tinggal je lah Arjuna kat sini nanti polis datang amik Arjuna ye.”
Terus Arjuna bangun, kesat air mata, pukul-pukul perlahan tangan cikgu.
Legaaa. Taktik cikgu menjadi.
Cikgu yang tengah on the phone dengan polis masa tu terus cakap, “eh polis, takpe lah Arjuna ni dah tak menangis, dah ok dah, takpe lah cikgu bawak je lah Arjuna balik.”
Rupanya Arjuna cuma berhenti menangis je, masih mogok taknak jalan. Arjuna berdiri keras tengah-tengah pusat sains Negara tu. Arjuna dan cikgu. Terus cikgu telefon balik polis bagi tau Arjuna taknak jalan dan cikgu suruh polis datang sekarang tangkap Arjuna sebab taknak jalan.
Dan akhirnya Arjuna pukul-pukul cikgu sambil cakap “taknak polis.”
Aduhh Arjuna. Malu jugak cikgu cakap dengan telefon tengah-tengah orang ramai tu. Orang semua senyum je masa dengar cikgu sembang dengan polis dalam telefon di tengah-tengah foyer tu. Tebal jugak muka cikgu. Jatuh saham cikgu Arjuna. Cikgu ni dahlah bujang lagi. Arjuna, Arjuna.
Arjuna sayang,
Semoga Arjuna membesar menjadi insan yang berguna,
Untuk agama, bangsa dan negara,
Suatu hari nanti Arjuna akan berjaya,
Yakinlah.
Cikgu mohon,
Semoga cikgu kekal dalam ingatan Arjuna,
Walau secebis,
Cukuplah,
Janganlah cikgu terus dilupakan,
Pedih.
Teruslah membesar sayang,
Doa cikgu sentiasa ada bersama Arjuna,
Membesarlah dengan gembira.
Oktober 2018
– Cikgu Bella
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit