Untuk part I, (https://iiumc.com/arranged-marriage/).
Post kali ini adalah untuk merungkai persoalan persoalan sekalian.
1. Menantu pilihan mama.
Sejujurnya pada awalnya kami sekeluarga tak kenal dengan beliau. Macam mana mama boleh terfikir untuk kahwinkan abang dengannya? Selepas fasa abang putus cinta, mama mula mencari calon isteri buat abang.
Sehingga satu hari, kawan mama mempunyai anak perempuan yang belajar di Jordan. Anak kawan mama telah perkenalkan kawan sekuliahnya yang belajar di Jordan dengan menunjukkan gambar pada mama. Keluarganya inshaallah baik baik.
Anak kawan mama menceritakan serba sedikit perihal bakal isteri abang dan latar belakang keluarganya. Hebat hebat belaka. Setelah itu mama ada buat solat istikharah, barulah mama bersetuju untuk jodohkan beliau dengan abang.
Kami sekeluarga tak pernah berjumpa dengan bakal isteri abang aka menantu pilihan mama sehinggalah abang grad. Mama hanya berhubung dengan bakal besannya melalui telefon. Abang berjumpa dengan bakal isterinya 3 kali sahaja sebelum menikah. Merisik, bertunang dan ketika fitting baju.
2. Bawa mama ziarah abang.
Ramai yang komen kenapa bukan mama yang pergi ziarah abang? Itu lah yang dilakukan oleh mama. Disebabkan abang jarang sekali balik, mama ambil inisiatif menziarahi abang. Bukan itu sahaja malah mama turut singgah ke rumah besan mama untuk lihat cucunya. Seperti yang aku katakan, mama redha dengan abang sebab tak mahu abang jadi anak derhaka.
Telefon? Setiap kali mama lah yang jadi orang pertama akan telefon abang kerana mama faham kesibukan abang bekerja. Mama cuba sehabis baik beralah untuk tidak buat abang kecil hati. Tapi sepandai mana pun mama sembunyikan perasaan mama, kami adik beradik boleh baca situasi yang berlaku dalam keluarga kami. Abang memang sudah tidak semesra seperti dulu.
3. Rancang percutian keluarga awal.
Walaupun kami rancang 5 bulan awal, abang tetap akan menolak. Contohnya, bulan 3 kami rancang untuk pergi ke sesuatu tempat pada bulan 8 nanti. Abang awal awal akan menolak. Katanya tak pasti dapat cuti atau tak. Aku tak pasti kerja doktor macam mana atau MO memang tak ada peruntukan cuti tahunan san memang tak boleh mohon cuti awal?
Bab raya macam yang aku ceritakan di part 1, abang balik rumah mama sehari bukan kerana tak dapat cuti tapi cuti hari raya selebihnya dihabiskan di rumah keluarga isterinya selama 3 hari. Mama sangat terkilan kerana setiap weekend abang akan pulang ke rumah mertuanya. Apabila raya mama mengharapkan abang akan beraya sehari dua di rumah mama namun sebaliknya berlaku.
4. Isteri abang baik baik sahaja.
Mama layan beliau baik lebih baik dari layan kami semua anak mama sendiri huhu mungkin kerana beliau menantu pilihan mama. Kami adik beradik layan beliau juga baik. Semuanya nampak ok sahaja tiada bermasam muka, berbual seperti biasa. Mama pandai pendam perasaan. Kami adik beradik hanya menurut kerana tak mahu mama risau jika kami bermasam muka dengan kakak ipar.
Sejujurnya aku tak tahu punca yang membuatkan abang semakin jauh dari kami sekeluarga. Aku bukan mahu mencampuri hal rumah tangga abang tapi padaku abang seakan lupa tanggungjawab asas sebagai seorang anak. Aku tak mahu khususkan tanggungjawabnya sebagai anak lelaki yang mana lebih berat. Cukuplah tanggungjawab sebagai anak.
Setelah membaca komen para pembaca, andaianku mungkin abang takut peristiwa lama abang patah hati akibat putus cinta berlaku lagi. Oleh sebab itu kali ini abang betul betul fokus cintakan isterinya sepenuh hati sehingga tanpa disedari abang terabaikan mama. Ini andaianku sahaja.
Ada yang kata sudah la kan mama dah redha. Kenapa aku perlu sibuk hal rumah tangga abang? Betul, mama redha. Tapi adakah normal jika seorang abang yang sudah berkahwin hubungannya dengan adik beradik semakin renggang? Jika ianya normal baiklah aku rasa aku patut berhenti fikirkan soal abang dan biarlah aku dan adik beradik lain yang mengubati hati mama selagi hayat mama masih ada.
Aku mohon kalian doakan yang baik baik untuk kami sekeluarga. Kerana kami sangat sayangkan abang kami dan tak mahu abang pergi lagi jauh dari kami. Terima kasih.
– Tina (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit