Arwah Ummi Beri, Isteriku Terima

Assalamualaikum admin dan pembaca iium confession sekalian. Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih buat admin kerana menyiarkan confession saya ini.

Saya ini sudah dikenali ramai oleh pengomen-gomen tegar dalam iiumc ini. Kerana sebelum ini saya sudah luahkan banyak confession antaranya, Antara ‘Tanggungjawab Dia Dan Aku’, ‘Perigi Cari Timba’, dan ‘Apa Nak Takut Allah Kan Ada’. (Kalau nak baca, boleh search di web dan fb IIUMC)

Jadi apa yang saya nak confess ini berkaitan dengan didikan pertama yang saya terima datangnya dari rumah iaitu orang tua.

Arwah ummi saya dulu bila dia nampak sifat buruk dari saya yang selalu menyebabkan adik lelaki mahupun adik perempuan saya menangis. Arwah akan hadap persekitaran itu dengan teguran tetapi secara kasih sayang.

Bagaimana cara – caranya?

1. Naikkan suara sedikit untuk menunjukkan perbuatan itu arwah tak suka.

2. Datang peluk saya dengan memberi nasihat dan kata semangat untuk berubah.

3. Selepas peluk dan beri nasihat. Arwah akan cium dahi, pipi dan ubun-ubun kepala saya.

4. Diakhiri situasi itu dengan pelukan kali kedua dan ungkapan ummi sayang Aiman.

5. Bila tiba waktu solat arwah ummi akan datang pada saya dan pimpin tangan saya untuk mengajak solat berjemaah.

6. Arwah ummi akan suruh saya yang mengimami solat berjemaah itu.

7. Selesai solat arwah ummi akan memeluk saya buat kali ketiga dan memberi nasihat serta kata semangat supaya dapat beri contoh tauladan yang baik buat adik-adik saya.

8. Sebelum tidur arwah ummi akan datang memberi nasihat sekali lagi dan diberi pelukan serta ungkapan ummi sayang Aiman.

9. Ketika saya tidur,arwah akan bacakan ruqyah mahabbah dari surah ali Imran ayat 31. Kemudian arwah ummi hembus di muka saya,telinga saya dan ubun-ubun kepala saya.

10. Sebelum pergi ke sekolah arwah ummi akan beri nasihat pada saya supaya dapat menjaga dan memimpin adik saya dengan baik.

11. Selepas itu arwah ummi akan peluk saya dan diucapkan ummi sayang Aiman.

Kesan daripada didikan dari arwah ummi. Ego saya dengan adik – adik saya runtuh malah terkubur terus.

Selepas saya memasuki usia dewasa dan kemudianny berkahwin. Bila saya berhadapan dengan sikap buruk dari isteri saya contoh suka menaikkan suara. Saya akan cuba mengikut apa yang pernah saya terima dalam mencorak diri saya sebagai anak lelaki.

Bila isteri saya marahkan saya tanpa sebab saya akan ambil langkah seperti berikut.

1. Saya akan muhasabah diri. Kerana yang marahi saya itu adalah orang yang saya sayangi dan cintai.

2. Saya hulurkan tangan untuk meminta maaf walaupun tak pernah buat salah (reverse psychology).

3. Saya pergi tinggalkan persekitaran itu dengan buat kerja lain.

4. Saya pergi ambil wudhuk dan kemudiannya tenangkan diri.

5. Bila mood isteri saya kembali baik. Saya akan ajak dia bercakap face to face kemudiannya nasihatkan dia secara baik. Apa keburukan di dunia dan akhirat bila menaikkan suara pada suami.

6. Kemudian saya beri ruang pada dirinya untuk menyatakan ketidakpuasan hatinya sepanjang menjadi permaisuri dalam hidup saya.

7. Tidak lupa juga saya akan tanya apa permasalahan yang dia hadapi dalam hidup terutama di tempat kerja. Sampai menyebabkan kecelaruan pada emosi.

8. Bila tiba waktu dia cuti. Saya akan ajak dia solat berjemaah dengan saya. Selesai solat saya akan membaca doa yang berbunga untuk mengikat kasih sayang suami isteri.

9. Selepas habis doa itu saya suruh isteri saya tidur atas paha saya. Kemudian saya akan gosok ubun – ubun kepalanya, beristighfar bersama, memberi nasihat dan semangat pada dirinya untuk menjadi isteri solehah. Akhir sekali saya akan ucapkan sayang permaisuri abang.

10. Sebelum dia tidur saya beri nasihat agama pada dia.

11. Selepas dia tidur saya akan baca ruqyah mahabbah dari surah ali Imran ayat 31. Kemudian saya hembus ke muka isteri saya, telinga isteri saya dan ubun-ubun kepalanya.

12. Ketika menghantar dirinya ke tempat kerja. Saya akan beri nasihat bagaimana nak uruskan psikologi bila berhadapan dengan tekanan.

Isteri saya mula naikkan suara pada saya selepas seminggu usia perkahwinan. Dia mula berubah sepenuhnya selepas 1 tahun 4 bulan usia perkahwinan.

Secara asbab keduniaan kebaikan yang datang dalam diri saya. Adalah dari didikan arwah ummi saya ketika kanak-kanak sehingga remaja dulu.

Begitulah kehidupan saya yang beristerikan seorang Pakar Perubatan dimana sentiasa sibuk di hospital. Kehidupan saya ini 100% tidak mengharapkan kebaikan darinya.

Tapi sejak dari hari pertama memasuki alam perkahwinan sampailah ke hari ini saya sentiasa mengharapkan kebaikan dari Allah. Kerana saya tahu jika saya menuntut kebaikan dari isteri saya. Kebaikan itu tidak akan datang pada saya kerana hati manusia, ketenangan dan kebahagian dalam hidup manusia Allah yang punya.

Sebab itulah hidup saya sentiasa tenang dan bahagia walaupun perlu menempuh sempadan api yang membakar diri. Ujian yang perlu saya tempuhi dalam alam rumahtangga. Saya anggap itu adalah ladang pahala buat diri saya. Ladang pahala itu saya akan manfaatkan sebaik mungkin. Supaya di akhirat sana saya boleh tebus untuk dapatkan syurga dariNYA.

Kerana syurga yang menanti kita itu bukannya percuma.

Nota kaki : Jadi cukuplah bila membaca penulisan lelaki bersikap baik terhadap isterinya. Terus dicop lelaki itu 1 dalam sejuta. Tapi cuba ubah ungkapan itu kepada ibu yang mendidik lelaki itu 1 dalam sejuta. Pasti ia akan mengubah fikiran kamu dari melakukan aktiviti membawang kepada bertanggungjawab dengan anak lelaki yang ada di depan mata.

Sekian Terima Kasih.

Qowiy Lillahi Ta’ala

– Aiman Athirah Orang Tua Ali (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *