Assalamualaikum. Salam bahagia.
Mimpi dalam mimpi. Barangkali begitulah jalan hidupku. Banyak berangan. Termasuk pernah impikan berkahwin dengan putera Raja, menjadi persis cindalela. Ya, aku miskin.
Kini dah jadi wanita dewasa, bukan lagi gadis yang mudah jatuh cinta lagi. Cukup cukup sudah. Biarlah aku sendiri.
Sampai aku rasa.. aku tak punya apa di kala kawan sebaya sudah ada rumah kedua, kereta kedua, perkahwinan kedua.
Namun harta yang sangat berharga aku ada kini, kedua ibu bapa. Dapat kulihat ramai sahabatku sudah ketiadaan orang tua. Jadi, aku masih bertuah.
Tapi, aku kecewa dengan diri sendiri sebab tak banyak mampu berbakti pada ibu bapa.
Malah bagai aku yang masih menyusahkan mereka. Masih ada kisah sedih yang mahu diluah pada mereka, sejak kecil hingga dewasa jiwa mudah kalah.
Biasanya zaman kanak kanak orang riang gembira, tapi aku hairan aku tiap kali pulang sekolah lihat ibuku, aku nangis. aku kata tak punya kawan. Mereka bilang aku hodoh.
Tapi aku tak bodoh, aku jadi pelajar cemerlang masa sekolah rendah dan mendapat tempat ke asrama penuh.
Aku sangat bahagia jika ini dapat membanggakan ibu bapaku kerana aku fikir dengan pendidikan yang baik dapat mengubah hidup.
Ayah seorang peniaga di pasar. Dia hanya memandu motor roda tiga. Bila lihat ayahku berniaga aku akan rasa sedih sebab aku lihat ayah kawanku yang lain kerja pejabat. Ada kereta.
Ayahku kerja kampung yang berpanas bawah terik mentari. Jadi aku semangat belajar kerana sayangkan ibu ayah.
Waktu masuk asrama, kami menaiki kereta sewa. Aku sangat mahu menjadi hebat.
Tapi sebagai seorang yang rendah diri aku kalah dengan pertarungan asrama yang semua tampil hebat.
Aku menangis saat makan kerana aku rasa dapat makan sedap dan aku bayangkan keluarga aku makan biasa.
Sewaktu cuti pulang ke kampung, aku tak balik sebab masalah perbelanjaan. Waktu ni aku histeria sebab tak ramai yang tinggal di asrama. Aku rindu ibuku, masakan ibuku.
Lepas tu aku keluar asrama. Masuk sekolah biasa, dah aku jadi pelajar yang tiada semangat. SPM ku tak cantik, aku gagal masuk U.
Bayangkan betapa sedihnya aku sebab harapan aku dari kecil nak berjaya untuk gembirakan ibu bapa namun sebaliknya.
Sebagai anak sulung aku sepatutnya jadi contoh kepada adik adik. Waktu tu banyak IPTS menawarkan sijil diploma bidang komputer. Aku dapatlah tawaran. Buat pinjaman yang hingga kini masih berbaki.
Masih ingat waktu nak daftar tu aku naik bas dengan ibu dan adik adik. Ayah kerja. Dua kali salin bas. Ibu sentiasa bagi dorongan.
Aku melihat banyak pengorbanan ibu ayah untuk melihat anaknya mampu berdikari.
Mereka sangat ambil berat sebenarnya walaupun kadangkala ada benda tak dapat dipenuhi kerana kekangan tertentu namun kami tetap bahagia.
Aku berulang saja ke kelas, trauma duduk asrama. Aku berjaya habiskan dengan baik. Waktu konvo, majlis akan diadakan di ibu kota.
Aku pergi awal untuk raptai duduk di rumah kawan. Waktu ni kami tiada handphone hanya bergantung dengan public phone.
Esoknya masa konvo aku tak jumpa ibu ayah, dah siap baru jumpa. Mereka gagah juga datang naik bas bawa adik.
Kemudian kami balik bersama merasalah mereka naik LRT. Jalan jauh bawa beg besar sebab sebelum tu mereka tidur di hotel bajet.
Kisah lama ni. Saja nak cerita. Aku tetap tak jadi hebat mana. Masih banyak bermimpi dari berusaha jadi simpanan masih tak cukup nak buat umrah.
Aku ni nama je belajar IT, tapi buta juga. Pakai phone yang bawah seribu ringgit ni pun masih banyak aplikasi tak pandai termasuk tak ada akaun shopee. Order COD! Makcik betul. Ya aku dah ada anak sedara.
Sekarang aku masih di takuk lama. Tu yang aku rasa apa yang aku ada. Aku masih ada ibu ayah tercinta.
Walaupun aku tahu aku sering lukakan hatinya dengan sikap malas dan lembab ku untuk buat banyak perkara tapi aku selalu doakan mereka dan harapkan doa mereka.
Hidup aku biasa je. Salah ke. Salah ke aku biasa je tak mampu nak mewah mana, tak mampu nak sedekah banyak. Aku tak ada alat mekap sebab mahal kan, salah ke muka aku kusam tak mekap.
Yang aku rasa salah kalau tak solat dan tutup aurat. Benda ni aku tengok ramai orang hebat berjaya abaikan. Jadi aku adalah sikit kehebatan. Tak boros belanja mewah dan ada sedikit je koleksi tudung.
Ada masa aku gembira je dengan hidup aku yang sederhana tapi bila aku tengok media sosial kehidupan orang berjaya jauh maju kehadapan. Aku termenung merenung masa depan. Aku di zon selesa atau sengsara.
Tapi, aku perasan, orang hebat ni ramai yang meninggal awal. Orang baik Allah sayang.
Semoga Allah ampuni aku dan ibu bapaku, panjang umur dalam keberkatan dan diberi kesihatan yang baik rezeki yang halal. Aamiin.
Terima kasih keluarga yang masih terima aku seadanya. Gagal dan berjaya itu Universiti kehidupan. Yang penting cari keredhaan Allah. Betulkan solat agar kehidupan lebih tenang.
Alhamdulillah. Syukran.
– Karisma Kajol (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Semoga awk dan family sentiasa sihat, selamat dan dipermudahkan segala urusan.. dlm cita2 sy pon nk banggakan org tua sy dan keluarga.. dan nk hidup sederhana je.. semoga niat kita diterima oleh Allah swt.. amin2