Auni dan Cikgu

Assalamualaikum. Hai semua. Pukul 10.40 malam, Cikgu baru balik dari ofis, lepas tu masuk rumah ternampak tv terbuka siaran Paskal dekat astro first dan cikgu ternampak sepupu2 kecik cikgu 3 orang tengah tidur bergelimpangan dengan adik lelaki cikgu. Lepastu cikgu baru perasan yang cuti sekolah dah nak habis. Nasib cikgu dah tunaikan beberapa janji sempena cuti sekolah ni. Izinkan cikgu guna kata ganti nama diri sebagai CIKGU juga ya, walaupun cikgu dah bukan cikgu sekarang.

Masa hujung tahun 2016, ada seorang ibu pelajar jumpa cikgu secara personal untuk minta cikgu buat tuisyen untuk anak dia. Setelah berfikir cikgu pun setuju. Nama pelajar cikgu tu Auni. Ibu Auni minta cikgu ajar bahasa kepada Auni. Bahasa melayu, bahasa inggeris dan bahasa arab. Extra mengaji sekali. Cikgu takde la pandai mana sangat pun, tapi memandangkan Auni ni tahap 1, insyaallah ilmu cikgu boleh digunakan untuk membantu Auni. kelas kami telah dipersetujui dijalankan pada waktu malam, dengan Auni yang datang ke rumah cikgu. Cikgu ada bagi pilihan kepada ibu ayah Auni samada cikgu yang pergi ke rumah Auni atau Auni yang datang ke rumah cikgu. Cikgu okay je mana- mana.

Rumah cikgu ni kalau cuti sekolah, sepupu yang 3 orang tu memang suka datang, cikgu dan adik- adik pun tak kisah, kadang-kadang kami yang suruh uncle kami hantar anak dia kat rumah kitaorang. Seronok la Auni datang belajar kat rumah cikgu, ramai kawan. Sampai Auni pernah cakap “cikgu, nanti Auni dah besar Auni nak datang tidur rumah cikgu dengan anak- anak cikgu tau”. Auni panggil sepupu- sepupu cikgu tu anak cikgu. Cikgu dah cakap banyak kali dekat Auni tu bukan anak cikgu, tu adik cikgu. Auni angguk- angguk je. bila sepupu cikgu takde dekat rumah cikgu sebab papa diaorang ambil bawak balik rumah diaorang Auni tanya cikgu “anak cikgu mana cikgu”? hmmmm… apa- apa jelah Auni.

Pernah sekali tu, masa cuti tu jugak, cikgu terserempak dengan Auni dekat kedai makan, cikgu baru balik bawak sepupu- sepupu cikgu tu jalan-jalan, jadi sebelum balik rumah cikgu singgah kedai makan dulu, Auni dari jauh nampak cikgu masuk kedai dengan budak bertiga tu terus Auni turun kerusi lari datang dekat cikgu sambil jerit sekuat hati “cikguuuuuuu…. Waaaa cikgu bawak anak cikgu juga la, boleh makan dengan Auni”. satu kedai pandang kita Auni. terus cikgu jadi mak anak 3 hari tu Auni, gara- gara Auni. tu adik cikgu la Auni.

Cikgu cuma rindu je dekat Auni. Auni dah besar nanti jangan lupa datang tidur rumah cikgu tau. Auni boleh tidur dalam bilik cikgu. Sebab Auni suka bilik cikgu kan? Auni kata bilik cikgu comel, nanti Auni nak buat bilik Auni macam bilik cikgu. Selalu kalau masa cikgu ajar Auni, cikgu ajar dekat hall je, sebab lepas maghrib mama, papa dengan adik- adik cikgu duduk dalam bilik je. kadang-kadang je Auni masuk bilik cikgu.

Auni, Auni istimewa dihati ibu ayah Auni, berbaktilah Auni pada mereka, ingatlah jasa ibu ayah Auni, walau mereka bukan ibu ayah kandungmu anak. Auni tetap cinta hati mereka sampai bila-bila. Cikgu tau itu. Berterima kasihlah pada ibu kandung Auni yang melahirkanmu sayang, tanpa beliau takdir tidak menemukan Auni dengan ibu ayah Auni dan kita pun tidak dapat berjumpa. Kalaulah Auni dapat lihat air muka ibu Auni saat memberitahu bahawa Auni bukan anak kandung beliau, betapa remuknya hati ibu Auni mengakui kebenaran yang Auni bukanlah anak yang beliau kandung, mata yang berkaca itu masih cikgu ingat hingga ke hari ini.

Semoga kelak apabila kebenaran ini sampai pada pengetahuanmu sayang, cikgu yakin waktu itu Auni sudah bijak menilai kehidupan dan ketahuilah Auni bahawa kebenaran ini bukanlah kebenaran yang pahit. Lihat saja betapa cinta dan kasihnya ibu ayah Auni saat membesarkanmu sayang. Ini adalah perjalanan hidupmu yang termanis. Hormatilah ibu ayahmu sebaiknya, sayangi mereka selayaknya. Sesungguhnya Auni bertuah sayang, malah sangat beruntung.

Auni cikgu, membesarlah dengan gembira sayang. Cikgu cuma salah satu takdir jodoh pertemuan di fasa hidupmu yang perlu engkau lalui untuk menjadikan kau lebih dewasa dan matang, sama seperti takdir cikgu dan arjuna dan takdir cikgu dengan murid cikgu yang lain. Mungkin cikgu akan kekal diingati atau mungkin cikgu akan terus dilupakan bila sampai masanya.

Salam sayang dari cikgu.

– Cikgu Bella

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *