Autism Survivor

Untuk part I, (https://iiumc.com/mengasuh-kanak-kanak-tua/).

Terima kasih banyak kepada para pembaca yang cuba memahami luahan ku sebelum ini dan memberi kata-kata semangat. Kepada yang terasa tu, aku mintak maaf banyak-banyak. Memang takda niat langsung nak menyakitkan hati kalian.

Sambungan kepada pengakuanku yang pernah hilang sabar menjaga adik iparku sehingga membuatkan suamiku juga HAMPIR hilang sabar lalu whatsapp,

“Siap2 la. Zia duduk kampung sementara ni. Nanti minggu-minggu depan abang datang ambil Zia.” T.T Seolah-olah dia mahu menghalau aku dari rumah dan nak berpisah denganku.

Kejadiannya bermula bila adik tinggal dengan kami, bila nak naik kereta adik mesti nak duduk depan. Bukak pintu belakang dia tak mahu masuk. Suamiku ikut kan sahaja kemahuan adik.

Walaupun berpuluh-puluh kali dia perlu tegur adik sebab kaki adik pasti terkena gear. Suamiku sejenis yang pantang orang ganggu gear dia. Pernah waktu dia tukar gear, tersepit sedikit tanganku lalu diperlinya. Katanya, “letak lagi tangan kat situ”.

Nak tunjukkan bertapa sayang nya suamiku pada adik sampai pernah dia bagi adik pen yang dia beli mahal. Masih aku ingat lagi waktu teman dia beli pen tu, lama dia pilih, dia berkenan sangat dengan pen tu tapi dia kata harganya tu macam kurang mampu.

Aku kata beli je la sebab dia berkerja banyak guna pen. Biar dia selesa. Sekali dia bagi je adik ambil pen tu sebab katanya biarlah adik minat dengan pen tu.

Di malam hari pula, kami tidur sekatil di dalam bilik. Aku tidur di tengah-tengah. Ada ku luahkan pada suami, mengapa tidak dibiarkan sahaja adik tidur sendiri.

Alasan suami nak bagi adik biasa tinggal di rumah kami dahulu. Isunya sekarang, ada satu sifat adik yang membuatkan aku tak selesa. Sifatnya yang terus terusan merenungku siang dan malam. Buat seorang introvert macam aku, perkara ini boleh meletihkan aku.

Pernah di malam hari sewaktu baring, aku ingin membalas perbuatannya lalu aku terus terusan merenung adik seolah-olah kami tengah lawan siapa yang pejam mata dahulu dia kalah. Sudah pasti aku yang mengalah. Akhirnya aku keluar dari bilik dan tidur diluar.

Lama kelamaan aku rasa terlalu stress. Meluat rasa untuk berada satu ruang dengan adik lalu aku cuba menjauhkan diri darinya. Selepas menguruskan adik, aku terus mandi, solat dan lepak terus dalam bilik solat. Bila keluar bersama, aku banyak diam dan kerap buat muka tidak puas hati.

Sungguh aku tak tahu nak terangkan macamana pada suamiku, takkan aku nak bagitahu yang aku meluat tengok muka adik.

Suamiku perasan perubahanku ini tapi dia tidak pasti sebabnya dan mula fikir bukan-bukan. Dia rasa aku marah dia, aku dah tak hormat dia dan tak kesian kan adik untuk menumpang tinggal di rumah.

Sehinggalah pada malam tu, malam ketiga adik tinggal bersama kami. Sewaktu kami bertiga baring, suamiku ada mengatakan begini, “sehari lagi ye adik tinggal sini”.

Kebetulan lampin adik pun dah habis, jadi sangkaku itu boleh dijadikan alasan untuk adik balik semula ke rumah bapa mertuaku.

Keesokan paginya, hari sabtu, suamiku cuti. Dia bangun tidur dan lepak di ruang tamu. Aku dan adik tengah baring dalam bilik. Bila kami bangun, kepala aku terus serabut memikirkan lampin adik sudah habis, bagaimana aku ingin memandikannya, dan duduk fikir itu ini tentang adik.

Sampai aku dah hilang sabar, terus aku kemas beg adik dan bawa semua barang nya keluar dari bilik. Aku beritahu suami untuk hantar adik balik sebab lampin nya dah habis. Sewaktu suamiku bersiap dan meminta duitnya yang disimpan olehku untuk membeli lampin adik.

Aku bertambah geram kerana sangkaku adik akan balik pagi tu juga, tapi lain pula jadinya. Ku ambil duit dari dompetku dan letak di atas karpet, lalu terus aku masuk bilik.

Saat itu lah, suami ku keluar rumah, dia terus menghantar whatsapp tersebut (rujuk perenggan pertama). Aku sebak dan aku reply ok. Selepas memberi adik sarapan dan makan ubat, aku terus mengemas barang-barang ku pula dan letak di ruang tamu.

Suamiku pulang membawa lampin, terus aku siap-siap bersama adik. Aku mandi bersama adik, aku biar adik melihat bagaimana aku mandi untuk mengajarnya cara untuk mandi.

Selepas menyiapkan adik, aku pula bersiap, dan waktu itu suami memberitahu yang dia penat harini untuk menghantarku pulang ke kampung yang perjalanannya mengambil masa 8 jam.

Dengan suara yang sebak, aku kata “zia ikut je keputusan abang. kalau abang nak zia pergi, hantar zia pergi KL, Zia nak cari kerja” T.T terus ku lari ke bilik lain sebab aku dah tak mampu menahan tangisan ku lagi.

Suamiku datang dan memujuk ku. Katanya niat dia menghantar ku ke kampung kerana dia ingat aku rindukan keluarga.

Aku cakap mestilah aku rindu sangat sangat tapi aku sanggup berkorban tinggalkan keluarga sebab aku pilih untuk bersama dia. Dia tanya, “abang ada merantai Zia ke?” Aku kata,”takdepun, boleh je kalau sekarang ni Zia keluar rumah dan berjalan ke mana-mana.”

Kemudian suami mengajak kami keluar makan tengahari. Sambil makan, bila teringat whatsapp suami tadi, aku berasa sedih, aku cakap walau macamanapun aku ni tetap orang luar.

Suamiku kata aku silap, bila dah kahwin isteri dah jadi orang dalam. Suamiku mengusik dia suka buat aku nangis sebab muka aku comel bila nangis.

Tapi kata-kata dia yang berjaya merantai hati ku ialah “abang bukannya bodoh untuk melepaskan Zia pergi”. Aku pun balas, “takde siapa kata abang bodoh”. Tapi aku paham, maksud dia sebenarnya bodoh la dia jika melepaskan aku. T.T Alhamdulillah kami berbaik semula.

Hikmahnya selepas kejadian tu, aku perasan perubahan pada suami, dia cuba untuk solat berjemaah dengan ku. Memang sudah lama kami tak berjemaah bersama. Sewaktu bersalaman selepas solat, kami saling bermaafan. Terus lebih lancar ku rasakan komunikasi antara kami.

Namun masalah belum selesai, aku tetap dengan perangai menjauhkan diri dari adik. Lepas solat, macam biasa aku lepak dalam bilik sampai rasa dahaga baru aku keluar.

(Saat ini lah aku curi masa untuk menulis dan menghantar confess ku yang pertama di sini, aku betul-betul buntu waktu tu).

Sampai satu hari tu, waktu lepas solat, suami ku bertanya kenapa dengan aku sebenarnya. Aku bahagia ke hidup dengan dia. Aku cakap aku bahagia hidup berdua dengan dia cuma aku stress.

Dia tanya susah sangat ke jaga adik, apa yang dia boleh bantu untuk hilangkan stress aku. Aku cuma balas, “abang tahu apa yang Zia nak. Kalau ayah tak boleh ambil adik, biar kita je hantar adik.” Suamiku kata nampak tak elok pula macam tu. Aku senyap.

Kemudian suami ajak keluar makan malam. Waktu kami dalam kereta, aku mintak nak order air dalam jug. Tak kisah air apa pun, teh o ais pun boleh. Suamiku kata teh o dekat rumah pun boleh buat. Aku terus diam.

Waktu nak singgah bank, dia perasan aku dah lain, dia tanya aku okay ke? Aku kata aku tengah rasa dahaga sangat. Aku cuma mintak nak minum air je. Dia diam.

Lepas tu dia kata esok adik balik, dia akan sms ayah untuk ambil adik. Aku balas, semalam ayah kata nak ambil adik harini. Aku terus keluar kereta untuk ke bank. Tapi sempat aku dengar dia mengomel nak halau sangat adik. Aku sedih.

Sewaktu makan malam, aku duduk di sebelah dia, aku cakap jangan sms ayah lagi. Biar je adik duduk di rumah. Dia cakap dia tak sms lagi, dia tengah pikir ayat nak cakap macamana dengan ayah.

Ntah macam mana, aku luahkan pada dia yang aku ni introvert, ‘energy drain’ bila adik terus terusan merenungku siang dan malam.

Tambahan pula, bila adik bercakap, aku sangat fokus untuk mendengar dan memahami butir bicaranya. Siang malam dengan adik, tu yang buat aku rasa teramat letih.

Suamiku tak sangka aku introvert sebab dia kata keluarga ku jenis yang hu ha hu ha (kecoh). Dia kata mak abah aku elok je layan adik, siap gelak-gelak.

Aku kata boleh la layan seminit dua, aku ni dah masuk seminggu menghadap adik. Terus suami menasihatiku untuk abaikan sahaja renungan dan kata-kata adik.

Katanya memang adik merenung kita, tapi perkara lain yang tengah bermain dalam fikirannya. Memang adik bercakap, tapi kita tak perlu terlalu fokus dengan bicaranya kerana adik bercakap main hentam sahaja. Tak perlu ambil serius sangat. Bila adik cakap nak berak tu baru serius. haha.

Selepas itu, terus aku praktiskan dan aku merasa bukan sedikit lega tapi sangat sangat lega. Aku merasa sangat tenang sekarang.

Untuk makluman semua suamiku seorang autism survivor. Katanya dia dulu lagi teruk dari adik. Aku belum sempat lagi mengorek habis cerita tentang suamiku. Akan ku cuba untuk terus berkenalan dengan suamiku sepanjang hidup kami.

Niat di hati mahu ku kongsikan pada mereka yang senasib, nukilan dari suamiku sendiri, sebagai seorang penghidap autism, bagaimana dia melihat dunia dan cara dia sembuhkan dirinya. InshaAllah.

Aku pohon kalian doakan jodoh kami kuat dan berkekalan sampai syurga. Sungguh sayang ku pada suami melebihi segala-galanya.

Yang Benar,

– ZIA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *