Awak, Kita Cerai

1. Assalamualaikum. Aku harap aku tak jadikan page ini seperti KRT. Sepertimana tajuk, seperti itulah isi cerita aku.

2. Sebelum aku jelaskan lebih lanjut, nama aku Inas. Aku dah kahwin dan aku bekerja. Walaupun tajuk aku macam tu, tapi jauh sudut hati aku, menentang keras. Siapa nak rumah tangga yang di bina, hancur tengah jalan. Bukan sebab orang ketiga mahupun kesepuluh.

3. Aku ceritakan dulu kebaikan pasangan aku sebelum aku cerita lanjut.

4. Setiap pagi, rutin dia buang sampah dan bukakan tingkap sebelum pergi kerja. Kalau aku pesan barang dapur, aku dapat sebiji apa yang aku tulis. Bila aku habis masak, kemas dapur, dia amik alih untuk hidang makanan, basuh pinggan dan susun pinggan.

5. Bila aku pesan barang guna list, aku akan dapat semua dalam list kecuali kalau tak ada. Setiap kali aku basuh baju, dia akan sidai, aku angkat dan lipat. Kalau minggu ni turn aku basuh bilik air, minggu depan dia basuh dan selang seli setiap minggu.

6. Kebanyakkan barang dapur guna duit dia. Dia akan pandu kereta ke mana saja kecuali dia tak sihat baru dia bagi aku pandu. Semua baju dia, kadang kadang dia bagi aku gosok.

7. Aku nak pergi mana, buat apa, dengan siapa dia sentiasa bagi izin. Aku nak balik kampung atau duduk kat kampung aku lama pun dia ikut. Tapi aku tak pernah salah guna kebaikan yang ini. Aku sentiasa cuba bahagi hari dengan adil.

8. Buat masa ni, tu sahaja yang aku mampu fikir. Kebaikan aku, biarlah aku simpan sendiri. Aku senaraikan pula apa kaitan dengan tajuk aku.

9. Kat rumah, aku dengan dia tak bercakap. Kalau aku bercakap, aku bercakap sorang. Balasan yang aku dapat hanya anggukan, gelengan atau dengusan sahaja. Apa sahaja yang aku ceritakan atau tanyakan kadang-kadang tak dapat respon. Dia tak pernah tanya apa yang aku buat kat tempat kerja, apa yang jadi kat tempat kerja, barang apa yang ada, atau apa apa soalan. Kat rumah ni, hanya bunyi tv, air atau kipas sahaja.

10. Dia tak pernah bercerita tentang aktiviti dia pada aku. Aktiviti lepas, semasa atau akan datang. Aku tak tahu apa yang jadi dengan dia. Kalau kawan dia tanya pada aku, aku tak tahu nak balas apa. Sekadar senyum. Dia juga tak pernah ajak aku berbincang sekiranya ada apa-apa event atau terlibat dengan aktiviti apa-apa. Contoh macam hari raya ke, aktiviti hujung minggu ke. Tak pernah. Aku terkontang kanting.

11. Dia sangat sibuk. Kalau hari kerja, dia balik sekitar pukul 5.30 petang dan adakala dia ada perjumpaan waktu malam. Kalau hari minggu, dia keluar dari pukul 9 pagi sampai 8 malam. Dia sibuk dengan aktiviti luar. Dia seorang buat keputusan tanpa tanya aku.

12. Dia cakap, dia dah tak ada rasa dengan aku. Rasa sayang pun tak ada, rasa cinta apatah lagi. Dah tak bersama lapan bulan atas dasar dia tak ada rasa apa-apa dengan aku. Aku pegang, dia tepis tangan. Aku dekat, dia jarakkan diri dengan aku. Aku tak ada masalah berbau atau apa sahaja sebab aku menjaga. Semuanya kerana tiada perasaan dengan aku. Hanya layanan atas kemanusiaan.

13. Nafkah zahir aku dah tanyakan beberapa kali. Sama ada nafkah aku termasuk dalam beli barang basah atau tidak. Jawapan tak. Nanti adalah duit nafkah. Beberapa kali aku tanya, jawapannya tetap sama. Tapi, beberapa bulan pada awal perkahwinan saja lepas tu, hilang.

14. Selama aku hadap ni, aku dah banyak kali buat luahan hati pada dia. Aku tanyakan banyak kali pada dia. Setiap kali aku bertanya, aku buat luahan, aku tanyakan pendapat, akan berakhir dengan tangisan. Tak mendapat respon yang positif. Kalau dulu, bila dia tak ada, aku menangis setiap malam. Aku minta pada Allah, kuatkan hati aku. Kukuhkan perkahwinan aku. Kadang, waktu solat pun aku nangis.

15. Bila aku cuba ceriakan suasana atau bila aku cuba bersembang, jawapan dia tersangatlah pedih. Aku ni merimaskan. Aku ni meluatkan. Dan macam-macam lagi ayat yang pedih keluar daripada mulut dia. Bila minta tolong, dengusan demi dengusan. Aku memerhati dan aku simpan.

16. Semua benda aku buat sendiri. Aku makan sendiri. Aku keluar jalan sendiri. Aku servis kereta sendiri. Aku beli barang sendiri. Aku tengok wayang sendiri. Ada waktu aku balik kampung sendiri. Tukar lampu sendiri. Aku handle masalah aku sendiri. Aku buat semua sendiri. Sebab dia tak ada masa untuk aku. Aku terkapai-kapai.

17. Akhirnya aku nekad. Aku bagi kata dua dengan dia. Sama ada nak berpisah atau teruskan sebab aku dah tak mampu nak bertahan. Untuk apa aku bertahan, kalau aku seorang saja yang berusaha untuk selamatkan perkahwinan. Kalau nak teruskan, kita kena berubah. Kalau nak berpisah, kita buat secara elok. Aku cuba sediakan mental dan fizikal aku sebaik mungkin. Aku kena berpijak pada bumi yang nyata.

18. Bila aku bagi kata dua, sampai sekarang aku masih menghitung hari sebab dia diam seribu bahasa. Bila nak ke pejabat agama agaknya. Setiap hari aku fikir, aku tak pasti aku mampu ke tidak galas gelaran yang baru. Aku tak pasti boleh ke aku lupakan dia. Aku tak pasti aku kuat ke harungi hari hari aku. Betul ke keputusan aku. Sebab yang hilang perasaan cinta dan kasih bukan aku tapi dia.

19. Tapi, sampai bila nak begini. Sekarang, aku minta pada Allah untuk keluarkan aku daripada kesulitan ini. Aku dah tak larat. Aku tak mampu. Aku takut aku jadi tak waras. Aku rasa tertekan. Aku cuba kumpul semangat untuk pergi ke pejabat agama dan buat tuntutan.

20. Apa aku buat, aku cuba tenangkan diri aku dengan istighfar setiap pagi. Aku cuba untuk bangun malam untuk dekatkan diri dengan Allah. Aku cuba positifkan diri dengan dia.

21. Sekiranya rasa perlu kecam aku, kecamlah. Tapi aku perlukan pandangan dan nasihat yang bernas.

22. Pada anda semua, kurangkanlah ego. Adakala kita kena korbankan sesuatu untuk kita gembira. Allah bagi hujan dulu baru bagi pelangi. Aku redha dan pasrah.

– Menghitung Hari (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *