Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Di ruangan ini, saya berkesempatan untuk menaip sebuah kisah yang agak menyedihkan bagi saya dan mungkin pada pembaca semua. Kisah ini berlaku sebelumnya terjadi pandemik Covid-19.
Terlebih dahulu, saya ialah hanyalah insan yang biasa-biasa sahaja. Syukur alhamdulillah kerana Allah masih memberikan saya rezeki. Saya cuma bekerja sebagai sukarelawan membantu golongan yang lebih memerlukan. Walau apa-apa pun, saya tetap bersyukur dengan apa yang Allah beri.
Selama saya bertugas sebagai sukarelawan, tipulah kalau saya tidak menyatakan ramai orang mengeluarkan kisah-kisah pahit semasa saya bertugas.
Sedih, hiba, sayu hati – itu semua sudah menjadi sebatian hidup saya. Air mata selalu menjadi peneman saat saya melihat golongan-golongan yang tiada rumah, tiada duit, tiada makanan, tiada keluarga mahupun kasih sayang.
Ada yang berkongsi kisah – dibuang keluarga, hutang, perniagaan muflis, kena tipu sehingga menjadi orang gelandangan dan miskin.
Kumpulan saya mempunyai 30-40 ahli yang akan membantu mengagihkan barang-barang keperluan kepada mereka semua. Boleh dikatakan dalam seminggu empat hari kami semua akan turun ke padang membantu golongan tersebut.
Sepanjang saya bertugas, baru saya mengerti apa maksud kesyukuran. Mungkin kita tak nampak apa yang berada di sekeliling kita itu adalah datang daripada rezeki Allah.
Kalau kita berasa diri kita tidak mencukupi apa yang ada, ingatlah ada lagi orang yang lebih susah daripada kita. Makin lama saya bekerja sebaga sukarelawan, makin rendah diri ini.
Apa yang saya ingin buka kisah di sini ialah…
Allah mempertemukan saya dengan seorang gadis dalam lingkungan 19 – 21 tahun. Masih muda. Hendak dijadikan kisah, pada ketika itu Allah memberikan saya rezeki yang saya pernah minta iaitu menjadi seorang doktor psikiatri. Alhamdulillah.
Sebelum saya menjadi sukarelawan, saya pernah menjadi doktor namun saya berhenti seketika buat beberapa tahun kerana ada kekangan.
Namun, saya bukan bertugas di hospital besar. Saya ditugaskan di sebuah hospital sakit mental yang terpencil. Hanya pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental sahaja berada di hospital tersebut.
Pada hari pertama saya masuk bekerja, doktor-doktor sama jawatan dengan saya memperkenalkan diri mereka. Begitu juga jururawat sekali.
Kemudian, saya dibawa (show the rope) seluruh bangunan hospital itu sambil-sambil melihat pesakit mental di situ. Walaupun agak sudah lama meninggalkan bidang ini, pesakit mental sudah menjadi kebiasaan saya untuk melayani karenah mereka yang tersendiri.
Tidak kira wanita, lelaki, tua mahupun muda. Kadang-kadang, mereka jugalah penghibur hati saya. Banyak karenah dan gelagat mereka keluarkan. Stress itu semestinya ada apabila tidak tahu mengurus pesakit yang agresif secara tiba-tiba atau memang sentiasa agresif.
Sampai di hujung lorong, keadaan kaki lima di situ senyap dan sunyi. Saya beranggapan kawasan ini tiada penghuni walaupun ada beberapa bilik di situ.
“Banyak juga bilik yang kosong ni” saya bersembang dengan Doktor Latiff (bukan nama sebenar)
“Eh, kat sini ada seorang pesakit. Dia tinggal di bilik ni” kata Doktor Latiff sambil menunjukkan bilik tersebut.
“Oh ye ke? Saya ingat dah tak ada orang”
“Ada seorang budak perempuan dalam bilik tu. Pesakit itu ialah salah seorang pesakit awak juga nanti”
Saya mengangguk faham. Saya dapat kerja ni pun sebab doktor yang saya ganti tempatnya sekarang sudah bersara. Menurut Doktor Latiff, seramai sepuluh orang yang saya akan jaga. Selebihnya, doktor-doktor lain uruskan.
Keesokan harinya, saya mula bertugas seawal jam lapan pagi. Selepas punch card saya terus melawat pesakit-pesakit saya dengan membawa fail. Jururawat juga sentiasa di sisi saya jika saya perlukan apa-apa.
Setengah jam berlalu, kesembilan pesakit saya telah saya kemas kinikan. Kemudian, nama yang terakhir dalam list adalah di bilik di mana Doktor Latiff tunjukkan saya di lorong sunyi sepi.
“Selamat pagi, apa khabar?” inilah ayat saya setiap kali saya berjumpa pesakit mental dengan nada penuh semangat. Nak bagi vibe positif pada mereka katakanlah.
Pesakit yang nama Q itu hanya memandang saya dengan senyuman nipis. Tiada sebarang kata-kata. Pelbagai soalan saya bertanya namun satu pun tidak dijawab.
Q akan jawab soalan saya kalau saya bertanyakan soalan kosong – hari ini awak buat apa? Hari ini makan apa? Tidur lena tak semalam?
Selain itu, dia tak akan berjawab. Begitulah rutin saya dan Q ketika bertemu pada setiap hari.
Lima bulan saya bertugas sebagai doktor psikiatri, semuanya berjalan dengan lancar dan baik. Penat itu semestinya ada tetapi nak buat macam mana kan? Kerja doktor memang memenatkan. Tiada pekerjaan pun yang tidak memenatkan.
Lima bulan jugalah saya menjaga pesakit bawahan saya. Semuanya baik dan behave. Kadang-kadang ada juga satu masa mereka agresif.
Kecuali seorang. Hanya Q tidak mempunyai perangai seperti yang lain. Dia seorang gadis pendiam dan selalu duduk memeluk lutut di atas katil. Termenung di tingkap sepanjang hari – itu apa yang saya selalu nampak. Kalau saya tidak berbuat apa-apa, saya meronda-ronda melihat pesakit lain termasuk Q.
Ada juga saya bertanyakan petugas-petugas yang lain punca pesakit Q. Kata doktor lain, Q mempunyai masalah mental dan mempunyai masalah sosial.
Dia kurang gemar suasana bising dan tidak suka didatangi orang-orang yang sembarangan. Jadi sebab itulah, dia ditempatkan di hujung lorong, jauh daripada bunyi-bunyi bising daripada pesakit lain.
Q kelihatan seperti orang normal tapi boleh datang juga agresifnya kalau ada benda yang mengacau. Kata doktor lain lagi, pernah ada seorang pesakit mental terlepas dan entah bagaimana boleh berada di bilik Q. Pesakit yang terlepas itu tidak berbuat apa-apa tetapi Q terus menjerit sekuat hati dan menangis semahu-mahunya.
Terpaksa disuntik ubat penenang pada Q. Sejak dari itu, doktor-doktor mendapat tahu yang Q mengalami penyakit keperibadian antisosial selepas membuat pemeriksaan lebih lanjut.
Saya juga pernah melihat data-data Q bahawa dia disahkan ada kemurungan minor juga tetapi Q tidak mampu mengawal. Jadi sebab itulah dia dihantar ke sini. Entah bagaimana, saya mendapat firasat yang Q mungkin ada sejarah hitam yang membuatkan dirinya jadi macam itu.
Mungkin dari kawan-kawan atau keluarga?
Segala persoalan terjawab apabila ada dua orang pelawat datang berjumpa dengan saya mengaku yang itu ialah ibu Q dan abang Q. Saya terkejut juga kerana belum pernah mana-mana pelawat yang melawat Q mengikut rekod yang saya pegang. Sejak Q datang ke sini belum pernah sesiapa dia jumpa sehingga hari ini.
Saya melihat makcik itu sudah tua dan agak sedikit membonkok. Jalan pun tidak terdaya. Anak lelakinya memimpin tangan makcik itu.
Mungkin dalam lingkungan 60 tahun ke atas. Membawa mangkuk tingkat bersama. Saya mengiringi mereka ke bilik pelawat. Bilik pelawat memang dikhaskan untuk keluarga yang ingin melawat pesakit di sini.
“Makcik dan encik boleh tunggu sini. Saya bawakan anak makcik ya”
Dalam beberapa minit, saya membawa Q masuk ke dalam bilik pelawat di mana ibu dan abangnya berada. Terus hati saya jatuh sebak dan sedih. Belum sempat Q duduk, ibu dan abangnya terus memeluk erat Q. Ada air mata bercucuran keluar.
Apabila semua keadaan reda, saya dan Q duduk sebelah menyebelah manakala ibu dan abang Q duduk bertentangan dengan kami.
“Q, mak ada bawa lauk kegemaran Q. Ikan masak asam dan sayu sawi goreng.” Ujar ibu Q sambil membuka mangkuk satu per satu di atas meja. Makanan itu ditolak ke arah Q.
“Mak rindu kat Q. Q makanlah ye kenyang-kenyang”
Saya melihat Q di sebelah. Wajahnya riak kosong. Tiada menunjukkan rasa gembira atau sebak. Sejak dari tadi lagi riak Q begitu. Seperti tiada hati dan perasaan.
Q termenung pada makanan di hadapannya.
“Q, makanlah. Tak apa, doktor bagi Q makan sedap-sedap hari ni” kata saya. Sepanjang Q duduk di sini, nasi putih berlaukkan sup kosong sahaja dia jamah. Walaupun pihak hospital menyediakan ayam, daging, telur, buah, sayur tapi Q nak makan nasi dan sup kosong. Dia takkan makan makanan lain.
Perbuatan Q membuatkan hati saya terjentik. Dia menolak makanan jauh sedikit daripadanya sambil berkata “Mak bagilah kat Iman dan
Inara, dorang mesti lapar sekarang.”
Sebaik Q berkata begitu, ibu Q menangis.
Iman dan Inara? Siapa mereka.
Kemudian, Q meminta saya untuk bawa dia ke bilik semula.
Hari demi hari berlalu, ibu Q kerap datang ke sini untuk melawat Q. Ingatkan Q mempunyai perubahan yang positif, namun tiada perkembangan. Q tetap Q.
Saya kerap melihat bawa mangkuk tingkat untuk Q. Macam-macam lauk dibawa. Ibu Q kata lauk yang dibawa semua lauk kegemaran Q.
Tetapi Q tidak mahu makan. Pernah ibu Q membawa sup sayur sahaja. Alhamdulillah Q makan tetapi tidak banyak. Ibu Q berhasrat membawa sup lagi pada hari akan datang.
Semua itu hanyalah rancangan kita. Yang selebihnya, Allah tentukan. Segala-galanya ditakdirkan yang Q meninggal dunia akibat ‘brain aneurysm’ yang disahkan oleh doktor di pusat hospital Saya betul-betul terkilan dengan apa yang terjadi. Nampak sahaja Q begitu tetapi siapa sangka, Allah lebih sayangkan Q.
Beberapa hari Q meninggal dunia, saya masih terkilan dan belum menerima ketiadaan Q. Namun kerja tetap diteruskan. Bilik dihuni Q sudah tidak dilawat oleh saya kerana saya takut saya akan rasa sedih. Walaupun sekejap saya kenal dengan Q, impaknya besar dalam diri saya.
Selepas dua minggu, ibu Q datang berjumpa dengan saya. Saya dan ibu Q duduk dalam pejabat.
“Makcik nak berterima kasih kepada doktor sebab tolong jagakan Q dengan baik sekali. Makcik tak sempat nak jumpa masa doktor nak uruskan pengebumian Q”
“Tak apa, makcik. Saya faham perasaan makcik. Lagipun, tugas saya menjaga pesakit. Salam takziah ye daripada saya. Er, maaflah kalau saya ni menyibuk tapi boleh saya tahu kenapa Q dihantar ke sini?”
“Memang makcik datang sini sebab nak beritahu perkara sebenar tentang Q. Sebenarnya makcik ni dah banyak dosa dengan Q. Makcik dah silap menilai anak makcik sendiri. Q tu sebenarnya budak yang baik dan taat pada orang tuanya. Tak pernah sekalipun Q berkurang ajar.
Apa yang terjadi pada Q selama ini berpunca daripada makcik sendiri”
“Maksud makcik?”
“Makcik selalu lebihkan layanan sepupu kembar Q, Iman dan Inara yang muda setahu daripada Q. Disebabkan kami sekeluarga duduk berdekatan, Iman dan Inara selalu datang rumah makcik. Makcik selalu mendahulukan Iman dan Inara sehingga makcik mengabaikan Q.
Makcik memberi layanan kepada kembar daripada Q. Tapi sekalipun Q tak pernah menunjukkan perasaan tak puas hati mahupun memberontak apabila melihat ibunya seperti itu. Q malah sayangkan Iman dan Inara macam adik-adik dia sendiri.”
“Makcik silap dan berdosa besar pada anak makcik sendiri. Makciklah menyebabkan Q rasa tertekan dan stress. Makcik selalu salahkan Q kalau Iman dan Inara buat salah. Makcik selalu tengking Q padahal Q buat perkara salah hanyalah sebesar kuman. Makcik tak mementingkan Q.
Jadi, arwah suami makcik membawa Q tinggal bersamanya memandangkan kami sudah bercerai. Arwah suami makciklah membawa Q ke sini sebab keadaan Q makin teruk dan memerlukan rawatan hospital. Sejak daripada itu, makcik tak endahkan Q sehingga Q besar panjang sebelum dia meninggal dunia.”
“Baru-baru ini makcik sedar yang makcik ini seorang mak yang tak guna dan dah gagal menjadi mak yang baik untuk jaga Q. Makcik menyesal kehilangan Q dan makcik berhasrat nak bawa Q balik ke kami tetapi Allah ambilnya terdahulu.
Makcik telah sia-sia kan Q. Makcik dah buat hidupnya musnah dan terpaksa menghabiskan masanya di sini. Makcik telah silap mana satu permata tulen dan permata palsu”
Pengakuan daripada makcik itu sungguh menyedikan. Dalam banyak-banyak kisah yang saya dengar, inilah kisah yang paling tragis ke atas Q. Ya Allah, Enkau berikanlah kegembiraan pada arwah Q di sana dan hadiahkanlah dia di tempat orang yang beriman dan solehah.
Saya kehilangan kata-kata. Saya hanya mampu memujuk ibu Q supaya meneruskan kehidupan dengan lebih kuat dan perbanyakkanlah doa kepada arwah Q di sana.
Kalau saya bersedih atas pemergian Q, perasaan ibu Q tatkala ini sungguh saya tak dapat membayangkan.
Lagi saya membuat terkilan adalah kata-kata Q buat kali terakhir semasa saya melawat dia. Saya ingat itu hanyalah sembang kosong. Sampai sekarang saya masih ingat kata-katanya.
‘Saya tak pernah marahkan sesiapa. Saya reda’
Q, saya tak tahu sejarah silam awak begitu pahit sekali. Selama ini awak terlalu kuat Q. Awak anak seorang yang baik. Sejuta dalam satu. Saya bangga kenal dengan awak walaupun seketika.
Q, saya harap dengan izin Allah saya nak jumpa awak di sana nanti. Kita jumpa lagi Q. Bergembiralah di sana.
– Fadhlan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit