Awang Kawan Yang Jahat

Assalamualaikum. Aku Awang. Aku adalah salah seorang penuntut di sebuah universiti di utara, dan kini berada di tahun ke 4. Tak lama lagi aku akan tamat belajar, dan menempuh alam pekerjaan.

Sewaktu aku mula-mula masuk ke universiti ini, rakan pertama sekali yang aku dapat adalah adalah Aizat (bukan nama sebenar). Aizat datang dari keluarga yang senang, tapi dia langsung tidak sombong, dan selalu menolong. Aku gembira sebenarnya, mendapat rakan yang baik seperti dia.

Untuk jurusan yang aku dan Aizat ikuti, kami perlu mengambil kursus bahasa asing sebanyak 4 level. Terdapat beberapa bahasa asing yang ditawarkan, dan kami perlu memilih satu bahasa sahaja. Kalau ikutkan, aku nak ambil Bahasa Arab kerana aku sebenarnya dari sekolah menengan agama. Tapi peraturan universiti mengatakan aku tak boleh daftar bahasa yang aku pernah belajar dan ambil peperiksaan di sekolah dulu, lalu aku terpaksa memilih bahasa lain. Aku dan Aizat mendaftar bahasa yang sama supaya kami mudah untuk ke kelas dan mengulangkaji bersama-sama.

Dari level 1, aku dan Aizat mengalami kesukaran untuk mempelajari bahasa ini. Aku pun tak pasti sama ada kami tak pandai atau lembab, tapi mempelajari bahasa ini sangat mencabar. Untuk lulus dari satu level ke level yang seterusnya, kami bertungkus lumus. Kena kenal huruf from the scratch, bunyi, perkataan, ayat, tatabahasa. Ujian dan peperiksaan bukan benda mudah. Ujian lisan, presentation, memang mimpi ngeri. Tapi alhamdulillah, jerih payah kami berbayar. Kami berjaya hingga ke level 4, walaupun lulus cukup-cukup makan saja.

Kisah bermula semasa kami di level 4. Tahap stress di level ini langsung tak sama dengan kesukaran yang kami hadapi di ketiga-tiga level yang sebelumnya. Tambahan pula kami adalah pelajar tahun akhir, banyak lagi perkara lain yang kami perlu risaukan. Tak cukup tidur adalah perkara biasa. Aku tak akan cakap banyak tentang ni sebab aku yakin semua orang pun lalui perkara yang sama.

Tapi di tahun akhir ni, Aizat sedikit berubah. Dia masih baik, tapi dia sendiri akui, dia dah give up dengan kursus bahasa asing level 4. Aku faham, sebab aku pun lalui kesukaran yang sama. Tapi sebolehnya aku tak nak gagal. Sebab aku tak nak extend. Aku nak graduate on time. Aku cuba untuk nasihatkan Aizat dan mengajaknya mengulangkaji bersama-sama, tapi sampai satu ketika, Aizat sendiri beritahu aku, dia dah tak kisah kalau gagal level 4. Dia tak kisah kalau extend pun, dan minta aku hormati keputusannya kerana dia dah tak mampu nak ikut kursus tersebut pada waktu tu.

Katanya dia merancang untuk repeat kursus itu nanti. Berdasarkan prestasinya dan markah terkumpul setakat sekarang, kami berdua telah membuat kira-kira dan nampaknya Aizat memang pasti gagal. Markahnya tak mungkin mencecah 20/100 pun, kerana dia tidak menghantar assignment-assignment dan jugak tidak hadir ke kebanyakan ujian untuk kursus bahasa asing itu.

Walaupun berat hati, aku akhirnya akur dan dah tak ajak dia study sama-sama lagi. Aku sedikit sebanyak semakin stress sebab kawan yang selama ni belajar dengan aku dah tak ada, tapi alhamdulillah, aku masih mampu belajar berseorangan.

Akhirnya aku berjaya lulus kursus bahasa asing level 4 walaupun cuma dengan gred C. Tapi aku tetap bersyukur kerana aku masih boleh graduate on time. Yang lebih menggembirakan, Aizat turut berjaya lulus kursus tersebut mendapat C juga, jadi kami berdua akan graduate bersama-sama. Aku jujurnya sedikit terkejut dia masih berjaya lulus mengenangkan dia tidak menghantar assignment dan menduduki ujian-ujian, tapi tekaanku, sudah pasti dia bertungkus lumus mengumpul markah dalam peperiksaan akhir untuk cover semula markah-markah yang lopong sebelum ini.

Beberapa hari yang lalu, sewaktu kami sedang makan-makan bersama rakan-rakan yang lain, tiba-tiba Aizat bercerita yang selama ini, dia tak pernah rasa sebertuah ini dilahirkan dalam keluarga yang senang. Alangkah terkejutnya kami semua apabila Aizat mengatakan bahawa dia sebenarnya memang gagal kursus bahasa asing tersebut, namun dia telah meminta bantuan ibu bapanya untuk menghubungi pihak universiti. Katanya, dia sendiri kurang jelas apa yang dibincangkan oleh ibu bapanya dengan Pusat Bahasa universiti kami, tapi akhirnya pensyarah kami telah menambah markah yang sangat banyak untuknya sehinggalah dia berjaya lulus dengan gred C.

Aku lihat kawan-kawan yang lain semuanya terpana dan rata-ratanya hanya melihat antara satu sama lain. Aku faham perasaan mereka. Tentu mereka juga seperti aku.

Aku cuba untuk gembira bagi pihaknya, kerana dia kawan aku, dan dia berjaya lulus dan boleh graduate on time. Sepatutnya memang aku gembira, bukan? Tapi aku tak mampu. Aku terkenang malam-malam yang aku perlu berjaga hingga ke pagi untuk ulangkaji dan siapkan tugasan, dan melihat dia tidur nyenyak atau pun stay up dengan online game, aku jadi marah. Aku jadi kecewa.

Paling mengecewakan, adalah pensyarah kami. Aku sangat menghormati penyarah kami kerana dia sangat sabar mengajar aku yang lemah ini dari level 1 hingga ke level 4. Tapi bila aku tahu pensyarah kami telah memberi penambahan markah yang sangat banyak kepada Aizat, aku jadi kecewa. Aku tak sangka dia sebenarnya tidak adil dan tidak beretika. Aku cuba pujuk diri aku. Aku berharap alangkah baiknya jika aku tak tahu akan cerita ini, kerana jika aku tak tahu, sudah pasti aku sangat gembira kawanku boleh graduate bersama aku.

Tapi, rupa-rupanya, bukan Aizat seorang sahaja yang lulus dengan cara bergini. Sekarang memang sedang meletup cerita ni di school aku. Cerita tentang beberapa orang pelajar yang diberi penambahan markah yang sangat banyak supaya mereka lulus bahasa asing (bukan bahasa yang aku ambil sahaja, tetapi bahasa-bahasa lain juga) dan dapat graduate on time.

Majoriti berasa tertindas dan tidak berpuas hati kerana kami semua bertungkus lumus untuk lulus, tetapi ada beberapa pelajar lain yang turut diluluskan walaupun tidak belajar, tidak hadir ujian dan tidak siapkan assignment. Kami benar-benar rasa tertindas. Ada yang memulakan petisyen untuk membantah hal ini, tetapi aku tidak masuk campur. Aku tak mampu.

Aku letih. Aku cuba sedaya upaya untuk redha dan tidak iri hati dengan Aizat, tapi aku gagal. Aku tetap berasa dianiaya. Aku tahu mungkin kalian akan kata aku berhati busuk dan tidak senang dengan kejayaan orang lain. Mungkin benar apa yang kalian katakan, sebab aku tak mampu lupakan apa yang terjadi. Aku harap sangat ada di antara kamu semua yang boleh beri nasihat kepada aku untuk redha dengan kejadian ini. Janganlah kecam aku, kerana aku sendiri dah mengecam diri sendiri yang iri hati kepada rakan aku yang berjaya.

Aku cuba. Aku gagal, tapi aku mahu cuba lagi. Tolong aku.

– Awang

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *