Salam sayang. Aku ingin berkongsi pengalaman peribadi yang mengubah sikapku hingga kini. Aku adalah seorang perempuan, telah berkahwin dan mempunyai anak. Kehidupanku memuaskan, stabil dan gembira. Personaliti ku ceria dan suka bergurau.
Aku mempunyai ramai kawan dan aku juga selalu berkunjung ke rumah adik-beradik sekitar KL. Selalunya bila berjumpa, kami akan bercerita, bergossip dan membawang tentang kehidupan sendiri dan anak-anak. Kami tidak mengumpat orang lain.
Topik perbualan hanya lah imbasan kenangan zaman kanak-kanak dan remaja yang seronok dan hampeh. Aku juga gemar berjumpa kawan-kawan lama sambil berbual tentang semua perkara. Pendek kata, aku ni seorang yang peramah dan mudah didekati.
Tetapi aku sering gunakan ungkapan negatif dalam percakapan. Walaupun ketika menggambarkan sesuatu yang positif. Misalnya ketika melihat bayi yang comel, aku akan berkata “Ucuk-ucuknyer baby ni”. Padahal aku berasa geram melihat pipinya yang gebu gebas.
Atau ketika memberi komen, aku akan mulakan seperti “Yang bodohnya tu, dia buat jugaaakkk…” Atau ketika tidak berpuas hati dengan ustaz semasa memberi kuliah subuh di masjid, aku mulakan dengan perkataan negatif seperti “Marahnya dengar suara ustaz tu.
Dah la waktu subuh, kita mengantuk. Dia guna tone suara yang rendah macam ustaz dulu-dulu.” Dan bila aku melihat sesuatu yang elok seperti kejayaan orang lain, hati aku akan berkata “Issshhhkkk…Jelesnya aku.
Nak juga macam tu”. Atau bila melihat sesuatu yang mempersonakan, aku akan berkata “Best giler!” Hmmmm begitu lah sikap ku dulu. Walaupun begitu, aku tak pernah melontarkan perkataan negatif apabila aku marah. Selalunya aku berdiam diri atau pun menyeringai selamber.
Suatu ketika, aku direzekikan Allah untuk menunaikan umrah bersama ibuku. Sebelum ke sana, aku mempersiapkan diriku dengan menonton youtube berkaitan dengan adab dan panduan ibadat umrah.
Salah satu video yang menarik hatiku ialah berkaitan dengan menziarahi Taman Raudhah di Masjid Nabawi. Aku mempelajari tips bagaimana untuk ke sana agar dapat membawa ibuku menziarahi nabi dalam keadaan lebih selesa.
Sampai di Madinah, nak dijadikan cerita, aku dan ibu terpisah dari kumpulan mutawif. Secara tak sengaja, kami terpaksa masuk ke dalam kumpulan jemaah dari Pakistan dan Bangladesh.
Umumnya kumpulan jemaah ini agak ekstrim, jadi semasa menuju ke Raudhah memang teruk kami diasak, ditolak dan dihimpit.
Maklum lah, saiz badan orang Malaysia agak kecil berbanding mereka yang hantap dan sado. Aku terpaksa memeluk ibuku sambil berkata “Hiya ummi! Ummi.” yang bermaksud “Ini ibuku! Ibuku!”
Aku pun tak pasti diaorang ni faham ke tidak tapi itulah yang aku lakukan agar ibuku tidak disiku dan dilepuk oleh mereka.
Kawasan Raudhah ditandai dengan permaidani hijau. Apabila aku dapati kami berpijak di hamparan hijau, aku memberi isyarat kepada ibu. Dapat suasana berhimpit-himpit, kami dapat mencari ruang dan menunaikan solat sunat.
Tapi bayangkan lah, ketika bersujud aku memang tak kusyuk langsung. Terdengar jerit pekik jemaah lain sambil mengerling imbasan kaki-kaki yang melintasi kepala.
Aku segera menyelesaikan solat dan mencari ibu. Kami hanya sempat berdoa pendek sambil cepat-cepat berjalan keluar dari kawasan tersebut. Walaupun perit, aku masih bersyukur kerana berpeluang menziarah Taman Nabi.
Pada malam itu, semasa menunggu waktu maghrib aku telah ditegur oleh seorang jemaah wanita dalam baris saf yang sama. Dia bertanya samada aku telah mengunjungi Raudhah. Dengan perasaan bangga, aku pun menjawab ya.
Jemaah tu pun berkata “Best kan kak. Rasa tenang je bila sujud. Bau wangi. Bila sujud tu tak dengar dah suara bising-bising. Macam kita bersendirian sahaja.”
Aku senyum. Tapi dalam hati seperti tersentak “Aaaa???? Tenang? Kenapa aku tak rasa macam tu?” Perbualan kami berhenti di situ sahaja tapi hati aku masih bertanya-tanya. Kenapa aku tak dapat macam tu?
Kenapa aku rasa sesak semacam je tadi? Kenapa? Kenapa? Seperti biasa hati ku berbisik,
“Ya Allah, jelesnya aku. Jelesnya. Aku pun nak dapat ketenangan di Raudhah macam adik ni…. Jelesnya kat adik ni.. hu hu hu….” Begitulah rintihan hatiku sambil membuka al-Quran dan meneruskan hafazan surah.
Dalam sesaat selepas itu, tiba-tiba ada bau yang busuk masam menusuk hidungku. Baunya tengik seperti bangkai cicak. Aku menoleh ke kiri dan kanan, bau itu hilang. Sesekali aku tercium lagi bau busuk tu.
Aku selak sejadah. Aku lihat di tepi-tepi beg mencari sebarang calitan najis. Takde apa-apa pun. Aku bangun pergi ke arah susunan kasut di tepi dinding. Semuanya bersih, berbalut plastik. Dan bau busuk tu pun takde di situ.
Hmmmm pelik juga rasanya. Aku bertanya pada ibu samada dia tercium bau busuk. Ibu menggelengkan kepala. Dia kata, “kat sini mana ada bangkai. Semut pun takde, apatah lagi cicak.”
Mendengar kata-kata ibu, aku kembali ke tempat dudukku. Aku terdiam dan berfikir. “Iye lah, dalam masjid Nabi ni mana ada serangga. Apatah lagi cicak”.
Tak semena-mena terlintas di hatiku, “Mungkin sebab aku jeles kat jemaah tadi. Aku jeles kat dia walaupun atas sebab yang baik”. Pada ketika itu bau busuk tu masih on-off, kejap ada, kejap takde.
Kemudian aku terfikir, adakah bau busuk tu datang dari hati aku yang jeles? Ya Allah, kalaulah kerana urusan ibadat pun hati aku busuk macam bangkai, macam mana pula kalau aku jeles atas sebab-sebab keduniaan? Macam mana busuknya tu? Aku segera beristighfar. Istighfar dan istghfar.
Tak semena-mena, datang bau wangi bunga ros. Sekali lalu semerbak menghilangkan bau busuk. Aku beristighfar lagi berkali-kali.
Seperti orang selsema diberi vicks, rongga hidungku terasa ringan dan puas ketika menarik nafas menikmati wangian itu. Dan aku sedar, Allah telah memberi peringatan kepada ku supaya jangan diucap perkataan-perkataan negatif hatta di dalam hati.
Dengan segera aku berbisik di dalam hati “Ya Allah, izinkan aku menikmati ketenangan Raudhah seperti jemaah tadi.”
Dan, Alhamdulillah, keesokan harinya aku dan ibu berpeluang menziarahi Taman Nabi. Kali ini kami berdua dapat beribadat di saf hadapan, bersebelahan dengan tiang besar.
Walaupun masih sesak dengan jemaah lain, dengan izin Allah, tiang besar itu melindungi kami dari ditolak dan dihimpit. Tiang itu juga melindungi kami dari pandangan pengawal wanita yang bertugas menarik mana-mana jemaah yang didapati terlalu lama di situ.
Kami berdua berpeluang untuk menunaikan solat sunat, berdoa sebanyak-banyaknya. Sampaikan aku bertanya sendiri “Nak doa apa lagi ye”. Dan Alhamdulillah, aku dapat merasai nikmat bersujud di Taman Raudhah.
Seperti mana yang digambarkan oleh jemaah wanita tempohari. Ketika sujud aku terasa seolah-olah berbicara dengan Allah. Hanya aku dan Allah. Suasana sepi, hening dan sunyi. Aku terdengar hembusan nafas sendiri dan bisikan-bisikan zikir yang ku baca dalam sujud.
Ya Rob. Dalam suasana hening itu, aku tercium bau wangi yang lembut. Yang amat menenangkan. Tak semena-mena dadaku rasa ketat, rasa terhimpit. Aku sebak dan menangis. Beginikah rasanya ketenangan yang Engkau berikan ketika menziarah maqam nabi.
Aku menangis bukan kerana sedih tetapi lebih kepada perasaan kagum. Walaupun nabi telah wafat, tapi auranya sangat kuat. Bayangkan bagaimana perasaan sahabat-sahabat Nabi yang sentiasa mendampingi Nabi ketika baginda masih hidup. Ya Allah…hebatnya Nabi, hebatnya ciptaanMu.
Sejak itu, aku sentiasa mengingati diri agar tidak mengucapkan perkataan seperti ‘giler’, ‘poyo’, ‘bangang’, ‘bodoh’ dan seumpamanya, secara bergurau atau tidak. Aku membanyakkan perkataan positif bagi menggantikan yang negatif. Kalau buruk, aku gantikan dengan ‘tak cantik’.
Kalau malas, aku gantikan dengan ‘tak begitu rajin’. Begitulah ceritanya. Aku pun tak sangka cara Allah menegur percakapanku. Syukur sangat-sangat. Aku kini sedar yang berdiam itu adalah lebih baik daripada bercakap kosong. Berzikir itu adalah lebih baik daripada berdiam.
Disebabkan pengalaman ini, aku memilih untuk menjadi lebih pendiam, kurang berbual atau mendengar perbualan orang lain. Aku juga telah mengurangkan 100% masa mendengar luahan hati dan masalah peribadi kawan-kawan lain.
Sebab lazimnya dalam bercerita, pasti akan terkeluar perkataan yang negatif seperti ‘sedih’, ‘mental koyak’, ‘stres’ dan banyak lagi. Aku percaya, setiap ungkapan negatif yang kita ucapkan atau dengari pasti memberi kesan kepada hati kita sendiri.
Kini, kebanyakan masa aku habiskan dengan berada di rumah. Tiada lagi lepak-lepak atau dating with old friends. Aku selalu mendengar anak-anak bercerita sebab perkataan yang mereka gunakan semuanya suci-suci belaka. Itu lah dia perkongsian aku. Sayang untuk semua.
– TunRamos (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit