Nama aku Merah, pastinya bukan nama sebenar. Pernah mengalami kemurungan sampai tahap nak bunuh diri seawal umur 9 tahun. Pernah hampir ada kecelaruan gender masa zaman kanak-kanak. Pernah tertekan sampai berhalusinasi dan tak boleh beza realiti dengan mimpi. Sebab apa? Semuanya sebab ayah.
Zahirnya orang nampak aku macam sempurna dari segala segi, ada keluarga yang bahagia, bijak dalam akademik, ada rupa yang orang kata boleh tahan. Tapi entah kat mana silapnya, ayah aku seakan tak suka dengan aku.
Tidaklah sampai memaki hamun, menyumpah seranah, tapi dari bahasa tubuhnya dah cukup untuk sampaikan mesej jelas bahawa aku bukanlah anak pilihannya. Teka aku mungkin sebab aku dilahirkan sebagai satu-satunya anak perempuan, dan dia mengharapkan anak lelaki dalam hidupnya.
Zaman kanak-kanak aku penuh dengan rendaman airmata sebelum tidur dan masa di bilik mandi. Sebab aku sentiasa dipersalahkan atas apa pun yang terjadi pada adik-adik aku. Walaupun jelas bukan aku punca, tetap aku akan dimarahi dan dipersalahkan.
Aku seorang anak yang patuh dan tak suka bila ayah dan ibu marah pada aku. Aku mahu jadi anak yang baik selalu. Jadi kebanyakan masanya aku cuma angkat kaki masuk bilik atau bilik air untuk menangis, melepaskan rasa sebak yang terbuku di tekak sendirian.
Inilah sebabnya aku hampir dapat kecelaruan gender masa kecil, sebab aku rasa bila jadi lelaki, aku akan dibela walaupun salah. Setiap kali main pondok-pondok aku lebih suka ambil peranan sebagai ayah atau abang. Mujurlah aku tak ikutkan sangat apa yang aku rasa itu. Kalau tak mungkin hari ni aku dah jadi golongan songsang.
Seperti yang aku sebutkan di atas, aku seorang anak yang patuh dan baik. Aku berusaha sehabis baik untuk dapatkan keputusan yang baik dalam setiap peperiksaan sebab aku fikir dengan cara itu aku akan dapat perhatian ayah dan ibu dan mereka akan berbangga dengan aku.
Ibu adalah juga sedikit bangganya dengan aku, tapi ayah buat macam tiada apa yang berlaku. Jarang sekali aku dipuji bilamana kad pelaporan aku aku minta dia tandatangan walaupun penuh dengan A. Dia akan tandatangan dan tak cakap apa-apa dan teruskan menonton TV.
Bayangkan perasaan budak kecil yang teruja untuk dengar pujian dari mulut ayahnya sendiri akhirnya hampa menyimpan semula kad laporan yang ditandatangan ke dalam beg tanpa sebarang komen seprti yang diharapkan. Kecewa, hampa. Aku hanya mampu masuk ke bilik dan menangis sendiri macam biasa.
Bab beli buku, bila aku minta untuk beli buku rujukan, ayah akan mengeluh dan tanya kenapa banyak sangat buku nak kena beli. Dia merungut cakap buku aku mahal. Sedangkan aku beli buku dan ada hasilnya. Setiap tahun aku bagi keputusan periksa yang baik dengan anugerah-anugerah tahunan yang mana aku bagi jemputannya pada dia dan ibu.
Tapi dia tak merungut sedikit pun bila membelikan adik-adik aku mainan yang mahal-mahal dari toys ‘r us. Adik-adik aku memang sejenis tak belajar sedikit pun dan dia tak tegur. Malah dia macam gembira bila belikan mainan untuk adik-adik aku.
Katanya budak lelaki memang banyak main. Tapi nanti bila dah besar lelaki akan potong pencapaian perempuan. Aku iyakan sahaja apa yang dia katakan. Walaupun dalam hati aku sedih sebab kenyataan dia tu seolah menafikan usaha aku dan merendah-rendahkan aku sebagai anak perempuan yang ada pencapaian yang baik.
Dalam tempoh sekolah rendah, menengah dan masuk U, aku mencapai keputusan-keputusan cemerlang dengan semua A. Mungkin berkat sabar berendam dalam airmata, Allah bantu aku. Sedangkan aku bukanlah bijak sangat. Tapi adik-adik aku semua hancur keputusan peperiksaan besar.
Aku tak salahkan mereka, salah ayah sebab terlampau memanjakan mereka sampai leka. Aku sambung pelajaran dan lepas tamat, aku bekerja dia sebuah syarikat besar yang menjadi idaman ramai fresh graduate seusia aku.
Bila dah masuk zaman bekerja ni, aku mahu lupakan segala sakit hati terhadap semua yang ayah pernah buat pada aku. Aku masih berazam untuk jadi anak yang baik walaupun ayah tak pernah berusaha menjaga hati aku. Tapi ayah masih lagi tak berubah. Dia masih tetap membezakan aku dengan adik-adik aku.
Walau aku dah berjaya capai cita-cita aku dan ada pekerjaan yang baik, ayah tak pernah sedikit pun memuji atau bertanya tentang pekerjaan aku. Yang tak berhenti keluar dari mulutnya adalah tentang adik-adik aku. Sebab adik-adik aku tak pernah balik jenguk dia sejak ayah berpisah dengan ibu.
Mulanya aku ok sahaja dengan pertanyaan dia. Aku masih hormat dia sebagai ayah aku. Tapi sampailah satu hari, dia cakap adik-adik aku tak berjaya (menganggur sampai hari ini) sebab mereka rasa rendah diri dengan aku. Aku terpinga-pinga dengan apa yang ayah cakap.
Air muka aku berubah serta merta bila suami pun berpandangan dengan aku. Tapi aku diamkan sahaja sebab hati aku sangat terluka dengan apa yang ayah cakap. Aku berfikir sendiri, jadi apakah aku patut menggagalkan diri aku sendiri supaya adik-adik aku rasa tinggi diri dan lebih berjaya dari aku?
Aku tak pasti dekat mana logiknya kenyataan ayah. Sayangnya pada adik-adik aku sampai kegagalan mereka pun diletakkan atas bahu aku sedangkan aku sendiri belajar tanpa sokongan dari ayah dan ibu. Kata ayah aku tak patut dipuji depan-depan sebab adik-adik aku akan terasa hati dan rasa rendah diri, itulah punca mereka gagal sekarang.
Pernah juga satu masa, ayah minta aku belikan barang untuk adik dan minta aku hantarkan barang tersebut padanya di kampus. Aku merancang untuk menghantarnya pada hujung minggu memandangkan aku bekerja pada hari biasa. Tapi adik aku berdegil untuk datang pada lewat malam sedangkan aku punya anak kecil yang perlu dibawa tidur seawal jam 9 malam.
Aku menunggu sehingga jam 12 malam untuk adik aku sampai sebab dia tersesat. Dan bila adik ceritakan pada ayah yang dia tersesat sebab aku tak angkat telefon sebab tertidur, ayah telefon aku dan tanya kenapa aku tidur awal sangat. Sekali lagi aku dipersalahkan sedangkan aku dah cakap aku akan hantarkan barang tersebut pada hujung minggu.
Barang tersebut bukan barang yang penting pun untuk digunakan. Aku sedih dan terkilan sebab ayah seolah terlupa yang aku punya anak kecil yang memerlukan aku untuk tidur, dan aku perlu bekerja keesokan harinya, bukan seperti dia (dah pencen) dan adik-adik aku yang menganggur tu. Sentiasa ada banyak masa melepak di kedai mamak sehingga subuh.
Walaupun setiap apa yang ayah buat sentiasa menyakitkan hati aku, aku tetap medoakan kesihatan dan kesejahteraannya. Setiap tahun aku berusaha menjenguknya di kampung walaupun kampungnya jauh di pedalaman. Awal perkahwinan, dengan kereta buruk aku berusaha balik bawa anak yang masih kecil kepanasan sebab aircond kereta dah rosak.
Tapi setiap kali berjumpa, tak pernah satu pun soalannya bertanya tentang keadaan aku, suami atau sekurang-kurangnya tentang cucunya yang masih kecil ini. Semua soalannya dari awal pertemuan sampai la waktu adalah tentang adik-adik. Seolah aku anak beranak ni tak wujud dalam pengetahuannya.
Tahun-tahun awal aku bersabar dan berhusnuzon lagi dengan ucapan-ucapan ayah walaupun menyakitkan dan menyinggung perasaan aku. tapi lama-kelamaan aku jadi bosan dan aku mengambil keputusan untuk tak lagi terhegeh-hegeh cuba meraih perhatian ayah aku yang begitu mahal itu.
Sebelum ni, aku sahaja yang rajin menelefon atau whatssapp bertanya khabar padanya. Tak pernah sekali pun dia bertanya khabar aku suami dan anak. Aku fikir memang caranya begitu.
Rupa-rupanya adik-adik aku selalu sahaja dia telefon untuk bertanya khabar. Kalau tidak tak akan dia tahu segala perihal adik-adik aku sedangkan semuanya tidak pernah balik menjenguknya. Aku tahu pun sebab dia beritahu aku adik sering memarahi dan menyalahkannya dalam banyak hal setiap kali dia menelefon adik.
Aku rasa cukup sudah aku menahan rasa sakit hati selama ini dan menagih perhatian dan kasih ayah yang barangkali takkan pernah ada untuk aku. jadi walaupun berat, aku mengambil keputusan untuk tidak lagi berusaha menagih kasih ayah.
Pun begitu, aku akan teruskan mendoakan kesejahteraannya dari jauh dan akan terus mengirimkan sedikit wang selagi mana masih ada rezekiku. Walaupun segala kebaikan yang aku lakukan takkan pernah nampak di mata ayah, biarlah. Aku dah penat. Pada aku, biarlah adik-adik yang balik bertemu dengan ayah sebab adik-adik lah yang ayah harapkan sebenarnya, bukan aku.
Sekarang aku fokus untuk meluangkan masa dengan suami dan anak aku. Aku berazam untuk tidak membenarkan apa yang terjadi pada aku terjadi pada keluarga terutama pada anak aku. Memang kedengaran taboo bila seorang anak memutuskan hubungan dengan ayah atau ibu akan dianggap derhaka. Tapi aku punya sebab aku sendiri dan aku tak berniat pun untuk jadi derhaka.
Aku cuma sudah penat dengan sikap ayah yang tak pernah berubah. Mungkin ini ujian aku dan aku terima, tapi tak bermakna bila aku terima aku perlu korbankan hati dan perasaan aku berkali-kali untuk terus disakiti.
Buat ayah dan ibu, Merah akan tetap sayangkan ayah dan ibu dunia dan akhirat, walaupun ayah dan ibu tak begitu sayangkan Merah, sebagaimana ayah dan ibu sayangkan dan manjakan adik-adik. Terima kasih untuk segala kebaikan yang ayah dan ibu pernah berikan pada Merah selama ini. Merah menjauh bukan sebab benci, cuma tak mahu tersakiti lagi.
– Merah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit