Nama aku Nana. Anak sulung daripada empat beradik. Aku dah berusia 36 tahun dan dah berkeluarga.
Ini bukan kisah aku secara langsung, tapi kisah tentang abah aku. Harap kisah ni boleh jadi tauladan untuk orang lain.
Abah aku ni, jenis lelaki yang aku pun tak pasti macam mana. Dia baik, ya. Tapi banyak kesan emosi yang tertinggal sepanjang kami adik-beradik membesar. Sikap dia beri kesan pada mak… dan kesannya tu melarat kepada kami, anak-anak.
Sebelum umur aku cecah 18, mak jarang sangat mengadu hal rumahtangga. Tapi aku nampak sendiri, aku hadam sendiri. Abah aku solat, mengaji, pergi masjid, pernah jadi imam surau… dan dia tak pernah naik tangan pun. Orang luar nampak dia baik.
Tapi bagi aku, dia jenis kurang fikir hal orang lain termasuk anak dan isteri. Semua ikut kepala dia.
Masa kami kecil-kecil dulu, dia suka provok. Kalau nak kejut bangun pagi hujung minggu, dia akan jerit kuat-kuat,
“Kakyong!! Kakyong!!”
Dum dum dum! Ketuk pintu bilik macam nak roboh!
Kau bayangkan, tengah tidur lena, tiba-tiba dikejut macam tu. Apa kau rasa? Bangun dalam keadaan terkejut, sakit kepala, jantung berdegup laju.
Kami masa tu masih sekolah rendah… apa je yang boleh buat? Menangis je lah. Menangis sebab mood dah hancur pagi-pagi.
Dan itu kali pertama kejut ya. Bukan sebab dah 19 kali kejut tak bangun.
Bab sekolah, abah aku tak ambil tahu langsung. Semua dia lepas kami urus sendiri.
Lima tahun lepas, adik bongsu aku nak masuk universiti. Dia ajak abah teman pergi cari beg luggage bundle. Nak beli, kena naik kereta kan? Tapi abah bawak motor, Menangis adik aku. Dia perempuan. Sudahnya, dia pergi cari sendiri naik motor, balik naik Grab.
Boleh je. Kami dah biasa berdikari. Tapi bila ayah ada depan mata, ada kemampuan, ada kereta rasa nak juga minta tolong.
Masa adik kedua aku Form 4, mak janji nak bagi dia pergi camping sekolah. Sebelum-sebelum tu kami memang tak pernah dapat pergi mana. Mungkin sebab tak ada duit. Mungkin sebab mak ayah malas nak layan. Mungkin sebab kami kena tolong berniaga.
Tapi masa tu, abah aku balik kampung. PJJ dengan mak. Konon nak duduk kampung, menoreh getah lepas berhenti kerja. Tapi ‘nan hado’. Dia duduk goyang kaki je bawah ketiak tok ayah & nenek.
Adik aku pun tak dapat pergi camping. Sebab abah tak ada, mak tak bagi. Padahal mak dah janji dari dia Form 3. Lama dia mengharap. Frust, sampai demam.
Dia call abah kat kampung. Tapi tok nenek jawab. Abah tak nak jawab. Dia balik seminggu lepas tu dan tanya: “Kata nak pergi camping?”
Korang rasa? Budak-budak, hati dia macam mana? Hidup dia penuh provokasi everywhere, anywhere.
Adik ketiga aku lelaki. Pernah cuti, nak balik tempat kerja. Dia tak minta tolong pun abah hantar. Tapi ayah kawan dia yang datang ambil dan hantar ke stesen bas 15 minit je dari rumah. Sebab dia tahu, minta pun belum tentu abah nak hantar.
Adik aku askar. Masa hari tamat latihan, kami satu family travel jauh nak tengok dia. Abah ikut. Tapi bila sampai, dia hilang. Duduk jauh hujung padang. Bila adik jumpa kami, dia tanya, “Mana ayah?”
Kami senyum je. Dia lebih tahu. Entah apa yang ada dalam fikiran dia.
Untuk kami, semuanya tak boleh. Nak minta sikit pertolongan, sikit usaha pun susah. Minta tolong beli Maggi pun abah minta duit anak walaupun anak tu masih sekolah.
Aku? Aku sulung. Aku dah lalui macam-macam. Lagi banyak. Lagi menyesakkan.
Pernah satu kali aku sampai bus station jam 5.30 pagi. Tunggu abah ambil 10-15 minit je dari rumah. Jam 7.30 pagi mak aku call: “Kak, ambik teksi lah… abah tak nak ambik.”
Haha… zaman tu mana ada Grab.
Umur aku 18, masa tu aku kat matrik. Satu keluarga kena denggi. Mak dan adik bongsu masuk wad. Adik kedua & ketiga masa tu Form 1 & Form 3 duduk rumah, jiran jaga.
Jiran jugalah yang tolong hantar barang ke hospital. Sebab? Sebab abah duduk bawah ketiak mak ayah dia kat kampung.
Aku mesej abah. Aku marah dia. Tapi mak aku pula marah aku balik.
Dasar! Perempuan macam tu lah… suami depan mata, syurga kan? Sayang sangat, kan?
Ni baru hal ayah & anak. Belum masuk bab laki bini.
Pernah satu masa, aku dan adik kedua jadi orang tengah untuk masalah rumah tangga mak ayah. Aku cakap, kalau ayah tak berubah… hubungan mereka akan ada masalah. Ingatkan berkesan… berubah la juga. Tapi sebulan je.
Banyak sangat nak cerita… tapi cukuplah untuk korang faham keadaan.
Beberapa tahun lepas, abah sakit. Kritikal. ICU. Sebulan dalam hospital. Tak boleh berjalan. Macam nyawa-nyawa ikan.
Masa tu aku WhatsApp adik-adik. Suruh ikhlaskan, maafkan, redha kalau ada salah silap abah.
Dalam perjalanan tu, aku cuba cari moment kecil-kecil aku dengan abah. Abah hantar aku sekolah… abah ajar aku naik basikal… tapi tak banyak moment manis. Sebab dia ada, tapi dia tak ada.
Bila abah macam nazak, aku doa sungguh-sungguh.
“Ya Allah, bagi ayah peluang kedua. Supaya dia sempat bertaubat dan berubah. Supaya dia dapat tebus semua kekurangan dia.”
Lepas sebulan keluar wad, abah mula sihat dan boleh berjalan. Tapi… haha. Semuanya berubah balik. Tak dengar cakap, keluar sesuka hati, nafkah mak dan adik tak bagi.
Ya. Dia kedekut. Culas bagi nafkah. Sekarang dah hampir 5 tahun sakit, hidup bergantung pada mak. Tapi masih kuat provoke mak, macam suami narcissist. Nafkah? Jauh panggang dari api.
Mak aku lah yang masih tak boleh move on. Yelah… rasa sebagai isteri lain daripada rasa seorang anak. Tapi kami adik-beradik… dah lama move on. Tak pernah minta tolong, tak pernah mengharap.
Kami layan je lah. Tak abaikan ayah pun. Dia ada je dalam setiap percutian kami… walaupun dia macam tak ada. Duduk lepak sama-sama tapi pakai earphone, layan YouTube… kalah budak ketagih gadget.
Doa aku untuk ayah: “Ya Allah, tolong bagi dia peluang kedua… supaya dia berubah jadi ayah dan suami yang baik. Yang tak culas nafkah. Yang membahagiakan, bukan menyusahkan.”
Doa tu belum dimakbulkan. Tapi sekarang, aku redha. Jauh di sudut hati, aku tetap nak dia berubah. Bukan untuk aku… tapi untuk ayah sendiri. Supaya timbangan kiri dia tak berat dengan beban nafkah dan tanggungjawab yang dia tak tunaikan.
Untuk bahagian aku, aku redha. Aku ikhlas. Aku lepaskan. Aku maafkan. Tapi aku tak tahu hati orang lain.
Sekarang ni, apa sahaja yang berlaku atau pernah berlaku antara parent dan kami adik-beradik, semuanya dah jadi bahan gelak dan lawak.
Itulah cara kami berbicara.
Kami sampaikan moment tu sebagai lawak. Mungkin sebab dah move on, masing-masing dah terima perangai mak ayah.
Macam: “Tadi jumpa ayah kat pasar tani… orang ajak pergi sekali, tak nak. Hahaha. Pastu aku try la minta duit dia nak beli air. Dia sengih je weh… sengih-sengih… pastu blah. Hahaha. Pastu balik buat muka tak bersalah makan keropok kita juga. Hahaha.”
Masa kami borak macam tu, tak ada rasa kecik hati. Tak ada rasa benci. Cuma lawak. Gelak. Benda-benda macam ni dah tak lekat kat hati kami.
Love,
– Nana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Nana, cuba doa begini “Ya Allah, Kau suntikkan kesedaran dalam hati ayahku untuk berubah kepada kebaikan, Kau kurniakan hidayah dan petunjukMu ke dalam jiwa sanubari ayahku. Ya Allah Kau bukakan pintu hati Ayahku untuk menjadi AYah yang bertanggungjawab”