Ayah Anak Lapan II

Untuk part I, (https://iiumc.com/ayah-anak-lapan/).

Assalamualaikum semua. Saya kenalkan diri secara ringkas. Saya Kak Long, 25 tahun, ada 7 orang adik lelaki, campur saya jadi 8 beradik.

Kalau nak lebih ‘rasa’ tulisan yang ini, boleh jenguk dulu tulisan saya yang pertama. Walau bagaimanapun tiada paksaan.

Terima kasih buat mereka yang turut sama berkongsi rasa dan cerita serta yang mendoakan mak ayah saya. Tak lupa juga buat mereka yang baca tulisan saya sehingga habis, besar nilainya buat saya. Terima kasih daun keladi, mari baca lagi.

Tetapi sebelum itu, saya ingin memohon maaf terlebih dahulu kerana ada beberapa identiti yang saya ubah atas sebab peribadi dan tidaklah begitu penting. Yang pentingnya, pembaca dapat sesuatu melalui setiap cerita yang saya kongsi.

1) Mak tak ambil kisah.

Ada yang komen pada tulisan saya, bagusnya ramai lelaki tapi rajin kemas dan sebagainya. Tipulah kalau saya iyakan. Mesti ada juga seorang dua yang menguji kesabaran.

Tapi alhamdulillah semua tahu buat kerja-kerja rumah. Cuma kena diingatkan juga selalu. Paling kurang pun, kena cuba tinggalkan mereka urus diri sendiri supaya tak terus meletakkan segala kerja di bahu mak.

Iron baju, jemur baju, basuh kasut, basuh pinggan sendiri, kemas bilik dan katil sendiri. Semua yang melibatkan diri sendiri, sila buat sendiri. Ya, persis hidup di asrama. Tak dinafikan juga faktor kami yang ramai. Tak mungkin mak buat semua. Mahu pengsan mak.

Begitulah cara mak saya. Apabila kami mula melangkah masuk ke sekolah, mak cuba biarkan kami urus diri sendiri. Bergantung juga pada keupayaan setiap anak dan kerja yang dilepaskan.

Ada yang perlu berdikari seawal darjah 1, ada juga bermula darjah 3 dan ada juga lewat darjah 6. Setiap anak kan berbeza.

Saya bermula seawal darjah satu. Dulu, saya selalu jealous dengan kawan-kawan yang mak diaorang ironkan baju mereka setiap hari. Saya betul-betul tak faham, kenapa mak saya tak macam mak mereka.

Tambahan pula bila baju saya berkedut tak macam baju mereka. Saya betul-betul tak faham kenapa kami kena buat semua kerja-kerja ni. Mak tak sayang kami ke?

Bila masuk asrama, baru saya faham kenapa mak buat begitu. Kehidupan saya sangat mudah di asrama.

Kawan-kawan siap minta tips, macam mana saya lipat baju supaya saiz lipatan semua sama besar, macam mana saya kemas locker sekemasnya dan macam mana saya tegangkan katil setegangnya. Semuanya berkat mak tinggalkan saya urus diri sendiri dulu. Ya cara sayang mak berbeza.

Mak juga bukan orang yang suka menyuruh dan bukan juga jenis yang merelakan diri melakukan semua kerja-kerja rumah. Mak tak mahu pening kepala hanya disebabkan hal-hal begitu.

Bukan nak kata malas, tapi terpaksa buat begitu. Kata mak, “buat baik berpada-pada” supaya tak memakan diri. Hakikatnya Kak Long lah yang jadi mangsa kena kemas. Haha.

Jadi, kalau berlaku ‘gempa bumi’ di rumah (bersepah), mak akan buat nampak tak nampak saja (bergantung keadaan), walaupun mak geram juga melihatnya.

Kata mak pada ayah “kita tengok sampai bila diaorang boleh bertahan dengan sepah-sepah ni”. Mak sabar menanti kami kemas sendiri. Kesannya, kami secara tak langsung terpaksa ‘ambil kisah’. Kami memang terpaksa kemas sendiri. Lama kelamaan jadi biasa.

Saya lah yang paling kuat memberi arahan dan membahagikan tugas. Garang semestinya perlu. Nama pun kakak.

Bila sesi mengemas, setiap seorang akan dapat tugas masing-masing. Kemudian kena jelaskan satu-satu bagaimana tugas itu perlu diselesaikan. Tak siap kerja, Kak Long tak nak masak. Puasa lah korang. Haha.

Kata ayah “orang lelaki memang diletakkan begitu sifatnya, perlu diberitahu satu-satu, perlu diingatkan selalu. Bukan diaorang tak nak bantu, cuma tak tahu apa yang perlu dilakukan, dan nak mula dari mana. Sebab tu kena jelaskan”. Ya percayalah mereka akan bergerak bantu. Betul tak saudara pembaca?

Hasil pemerhatian saya pada adik-adik lelaki, begitulah. Ya, mungkin tak semua begitu.

Tapi apa pula ertinya kalau semua bagus, rajin dan tiada ragam kan? Bukankah sesuatu masakan itu akan jadi lebih sedap kalau banyak rencahnya? Begitu juga hidup kita. Pokok pangkalnya, bertolak ansur. Lelaki dan wanita kan dicipta begitu. Saling melengkapi.

2) Belajar daripada ‘kemalangan’.

Waktu kami kecil, mak ayah betul-betul lepaskan kami membesar dengan persekitaran. Ayah bagi keizinan buat kami meneroka menelusuri sendiri makna kehidupan.

Ayah tak halang kami bermain. Mainlah apa saja asalkan pada ayah, kami tak buat perkara-perkara buruk dan ikut syarat yang telah ayah letakkan. Ya, bermain juga belajar. Belajar itu bukan akademik semata. Setiap apa yang kanak-kanak lakukan, ada pelajaran buat mereka.

Setiap kali kami minta izin pergi main, ayah pesan, “sebelum nak buat sesuatu, fikir dulu baik-baik, kalau ada risiko tinggalkan”.

Bila dapat green light macam tu, banyaklah perkara yang kami cuba lakukan. Memang tak ingat dah risiko tak risiko. Kata orang, belum cuba belum tahu. Maka banyaklah berlaku tragedi pada setiap daripada kami hasil cubaan dan eksperimen kami ketika itu. Saya pun tak nak kalah. Terjebak sama.

Saya kongsi sedikit antara tragedi yang terjadi dalam kalangan kami hasil sel-sel otak yang tersalah hubung. Haha. Acap kali akan kami sebut semula tragedi masing-masing bila berkumpul ramai-ramai. Kemudian ketawakan diri sendiri.

Saya sendiri, jari ada 3 jahitan hasil cubaan memotong getah, malangnya tiada sk1ll, tertoreh tangan sendiri (nasib baik sikit je) Haha. Bangah pula, pernah jatuh longkang parit yang besar tu selepas cubaan menjadi Spiderman, malangnya tali tak keluar.

Lama dia menangis dalam longkang tu tak ada orang tolong. Kesian. Banglang, pernah patah tangan selepas cubaan menjadi Tarzan di celah daunan pohon, malangnya dia bukan Tarzan sebenar.

Atih, pernah kemalangan langgar lori selepas cubaan menandingi Azizulhasni, malangnya basikal yang ditunggangi terkeluar trek. Baca baik-baik, dia yang langgar lori, bukan lori langgar dia. Lori tersebut elok saja parkir di tepi jalan.

Uda pula, muka pernah terseret atas jalan raya selepas cubaan membuat aksi Superman atas basikal, malangnya Superman hilang kawalan. Acik, pernah patah tengkuk selepas entah apa yang dibuatnya sampai tergolek dekat tangga rumah. Check-check, patah tengkuknya. Aduhai.

Yang nombor 7 dan nombor 8 pula, waktu kecilnya kegemaran mereka memanjat, hasilnya banyak kali jatuh terlentang dan mendapat jahitan di kepala. Paling tragisnya, jahitan belum lagi kering, jatuh lagi, tambah lagi jahitan. Ya Allah adik-adikku lasak sungguh.

Kisah-kisah ini setiap kali diulang mesti masing-masing kena bahan. Lagi-lagi yang langgar lori tu. Haha.

Tapi sumpah tak tipu, ayah saya sangat tenang walaupun sebenarnya dia risau juga.

Contoh, kalau macam kami jatuh luka (kemalangan paling basic) skrip ayah, “lah kenapa sikit sangat ni, lain kali kalau nak jatuh, biar luka banyak sikit baru lah boleh cerita kat anak cucu nanti, kalau sikit macam ni nak cerita apa. Tak best nak cerita”.

Boleh lagi ayah bergurau. Orang tengah nangis sakit ni. Terus celaru, nak nangis ke nak gelak ni. Haha. Ada saja lawaknya kalau kami sedang menangis. “Kenapa menangis? Kata nak cuba? Lepas ni cuba lah lagi, mana tahu boleh jadi Tarzan sebenar”, perli ayah lagi.

3) Tiada makanan bawah tudung saji

Macam mana lah agaknya kan ramai-ramai ni makan? Sama je wak, makan guna mulut hehe. Maaf ya. Ayah saya selalu kenakan kami macam ni.

Satu sikap yang dah sebati dalam diri kami asbab apa yang ayah ajar adalah ‘minta izin’, termasuklah dalam hal makan.

Ayah saya pula setiap kali kami minta izin, “yah, nak makan ni boleh?”, jawab ayah “makanlah, memang beli untuk makan”. Masa tu kami confused, ayah ni selalu kalau minta susah nak dapat, tapi yang ni ayah bagi semudah itu je.

Lama-lama baru kami perasan, bab makan memang ayah tak berkira. Sebab saya ingat ayah pernah cakap,

“Makanan tu rezeki, Allah yang bagi. Kalau dah memang ditakdirkan itu rezeki kita, kenapa perlu susahkan? Tinggal nak ambil masuk dalam mulut je.

Tapi kalau memang dah ditakdirkan pulak itu bukan rezeki kita, mesti kena sambar burung ke jatuh ke. Walaupun lagi sejengkal je makanan nak sampai dalam mulut”.

Jadinya, kalau dah memang diizinkan makan, memang berebut-rebutlah kami walau ianya hanya sebiji limau. Kenapa? Sebab bukan senang nak ada makanan dekat rumah.

Bukan bermaksud ‘kering’, tapi makanan semua dah selamat masuk dalam perut kami sebab memang cukup-cukup je. Memang tak ada istilah makanan lebih bawah tudung saji mahupun peti sejuk. Kalau ada pun dalam peti besi. Haha takda lah.

Hanya satu lauk dan sejenis sayur setiap kali makan. Waktu lain, masak lain. Kalau masak lebih daripada satu lauk, dah gaya kenduri pun ada. Lagi satu kalau masak lebih akan drag barang basah untuk hari-hari seterusnya.

Lauk yang dah masak pula tak dihidangkan terus atas meja tapi akan siap-siap dibahagi terus daripada kuali atau periuk. Cukup-cukup.

Kalau adik-adik ambil sendiri, maka akan adalah yang menangis, “kenapa saya dapat sikit, orang lain banyak”. Makanya, letak siap-siap dalam pinggan masing-masing. Apa yang ada dalam pinggan kamu, itu lah kamu punya. Tak lebih dan tak kurang.

Saya lah tu yang tukang bahagi makanan, sebab tu pandai math haha tiber. Dari sedikit-dikit makanan sampailah sebanyak-banyaknya, semuanya akan dibahagikan sama rata.

Kata orang, sedikit sama dirasa, banyak sama dikongsi. Jadi, tak ada lah yang tak tenteram waktu makan tu, memerhati peha ayam yang kau dah target malangnya disambar dulu oleh orang lain. Haha. Mesti kalian pernah kena.

Tapi tu dulu lah, waktu kami kecil. Sekarang semua dah pandai dah ambil sendiri dan ingat ‘orang belakang’. Takda lah sampai jadi batu belah batu bertangkup.

Yang kekal sampai sekarang, kalau lauk udang, sorang akan dua ketui. Kadang-kadang ada lah lebih sikit, itu pun dah cukup banyak buat kami. Udang kot.

Mak selalu cakap, “makanan yang sikit, bila makan ramai-ramai, baru rasa nikmat, makanan tak sedap pun autom4tik boleh jadi sedap”. Betul sangat. Kami merasainya sendiri.

4) Cerita raya: Satu-satunya baju raya

Hari raya memang hari yang sangat dinantikan oleh kami. Ya saya rasakan semua kanak-kanak begitu. Mungkin cuma ‘rasa’ itu sedikit berbeza. Kalau untuk kami bagaimana?

Pertama sebab dapat baju baru. Baju raya itulah satu-satunya yang namanya baju baru buat kami. Alhamdulillah ada juga baju baru. Kalau masa lain, susah jugak nak merasa.

Rasa-rasa sedondon tak kami? Tak. Kami tak sedondon sebab agak susah untuk cari baju yang sama warna dengan harga yang ayah mampu untuk setiap seorang. Nak tempah lagi lah belum mampu. Jadi, apa yang berkenan di hati dan berpatutan harganya, itulah baju raya kami.

Tak ada istilah kasut raya, jam raya, topi raya dan beg raya dalam kamus hidup ketika itu. Baju raya saja dah lebih daripada gembira buat kami. Mesti itu pun dah cukup penat mak ayah melayan kerenah kami pilih baju.

Tak tahu lah kalau segala macam ‘raya’ tu nak dibeli juga, mahu pengsan mak ayah melayan kami. Lainlah kalau ada hantu ‘raya’ nak bantu ke kan. Haha.

Pernah ada satu kejadian yang tak dapat saya lupakan sampai sekarang. Tentang baju raya. Masih terasa kesedihannya. Sedang asyik bermain bunga api bersama kawan-kawan, rupanya ada yang sedang dengki dengan saya.

Tidaklah saya tahu apa alasannya. Dicucuhnya bunga api pada satu-satunya baju raya saya ketika itu. Berlubang. Warna biru baju tu saya ingat lagi. Hari raya pertama dah sedih sangat. Terus tak selera nak main bunga api. Hmm.

Ok dah. Lap air mata.

Keduanya, semestinya sebab dapat duit raya. Kalau boleh keliling kampung nak kutip duit raya. Iya lah, ketika inilah satu-satunya masa untuk dapat duit percuma. Nak tunggu kumpul duit belanja sekolah? Memang cukup-cukup untuk isi perut saja.

Kadang-kadang nak naik bas balik sekolah pun sampai cari syiling di celah public phone. Itu pun nasib selalu tak menyebelahi. Haha.

Waktu raya inilah kami nak merasa kaya sekejap. Dapat juga merasa memiliki barang kehendak yang setelah sekian lama berharap. Tapi tak ada lah beria sangat. Bukan banyak sangat duitnya. Dapat beli basikal 2nd hand sebiji pun dah kira puas hati. Betul-betul bulan kemenangan buat kami.

Ketiganya, sebab dapat makan. Dapat merasa mee kari pun dah cukup selera. Iyalah, biasa makan apa yang ada saja, makan di luar jauh sekali. Waktu ini lah nak merasa macam-macam makanan.

Dulu, kami selalu pelik kenapa ada sepupu sepapat kami yang mak ayah mereka sampai kena ‘suruh’ mereka makan, sebab pada kami tak mudah nak dapat makanan-makanan tersebut.

Betul lah, lain sungguh makna hari raya bagi orang ‘ada-ada’ dengan orang ‘seadanya’. Bagi saya, raya orang ‘seadanya’ adalah sebenar-benar raya sebab apa yang dapat mereka kecapi di hari raya adalah sukar untuk mereka rasai di luar hari raya. Begitulah pada hemat saya.

Sebab tu bila ada anak-anak datang nak beraya, jangan ditolak mentah anak itu. Siapa tahu berapa banyak harapan telah mereka letakkan ketika memberi salam di hadapan rumah kita.

Kalau tak boleh terima tetamu sekalipun, hulurlah duit raya seberapa yang mampu. Bak kata ayah, “tak perlu tunggu kaya untuk beri bahagia”.

5) Lidah yang tajam

Dalam pada kami bergembira, ada juga perkara yang kurang saya senangi ketika hari raya.

Bila tiba musim raya,

“Aduhai, bertambah lagi (bilangan kami). Duit raya habis dekat korang jelah ni. Cukuplah tu, tahun depan tak payah lah tambah lagi”.

“Mak ayah korang ni tak habis lagi ke bercinta?”.

“Berapa ringgit baju raya kau ni?”.

Bila tiba di perkarangan rumah mereka,

“Haa sampai dah pun kereta sardin ni”.

Itulah antara kata-kata saudara mara saya. Mungkin mereka hanya berseloroh, tapi cukup untuk buat saya terasa hati. Mungkin tidak bagi ayah dan adik-adik saya kerana mereka lelaki. Gurauan lelaki berbeza. Atau saya yang terlebih emosi. Entahlah.

Tetapi asbab kata-kata mereka itulah saya menjadi seperti saya yang sekarang. Ketika itu, saya selalu berdoa supaya Allah bantu saya jadi pandai (ya pastinya dengan usaha juga). Saya sebut dalam doa saya, saya tak mahu keluarga saya diperlekehkan lagi.

Alhamdulillah saya menjadi satu-satunya cucu tok yang berjaya dengan Ijazah di universiti terbaik negara. Walhal saya bukanlah pelajar harapan ketika di bangku sekolah.

Malah saya pernah mendapat kedudukan terakhir dalam kelas. Sekelip mata segalanya berubah. Saya benar-benar merasakan magis daripada doa yang saya panjatkan. Benarlah Allah sebaik-baik penolong.

Ya kadang-kadang kita rasa kata-kata kita ini biasa saja. Tidak membawa apa-apa makna. Tetapi kita sering lupa bahawa lidah kita ini boleh menjadi setajam belati.

Apabila ditusuk ia pada sesuatu, pasti terluka dan bekasnya tak mungkin akan hilang. Sebut yang baik-baik atau diam saja, itulah yang sebaiknya.

Akhir kata, sangat penting sebenarnya untuk kita tidak membandingkan hidup kita dengan hidup orang lain kerana kita yang lebih tahu hidup kita. Mungkin kita nampak hidup orang bahagia, tetapi tidak kita tahu telah berapa banyak duri yang mereka tempuh. Syukur adalah sebaiknya.

Lain orang lain cara dan ceritanya. Tak akan sama beradik ramai dengan beradik sikit. Tak akan sama yang namanya lelaki dengan yang namanya wanita. Tak akan sama juga kehidupan saya dengan kehidupan anda.

Letakkanlah sesuatu sesuai tempatnya. Tiada rencah yang salah, cuma caranya perlu betul.

Maaf sekali lagi terlalu panjang ceritanya. Soalan kalian memaksa saya untuk throwback haha. Rindukan zaman kecil? InshaAllah jika waktu mengizinkan, saya kongsi lagi.

Wassalamualaikum.

– Kak Long (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *