Assalamualaikum semua. Sempena hari bapa ni, saya nak kongsi bagaimana cara ayah saya ‘ajar’ kami adik beradik menjadi manusia. Harap pembaca dapat sesuatu.
Ringkasnya, saya Kak Long, 25 tahun, ada 7 orang adik lelaki, campur saya jadi 8 beradik.
Saya ada tulis cerita kami 8 beradik waktu kecil, boleh baca di sini:
Untuk part I, (https://iiumc.com/ayah-anak-
Untuk part II, (https://iiumc.com/ayah-anak-
Ayah saya sangat tenang orangnya. Siapa baca tulisan saya yang sebelum ni mesti tahu. Tapi, tenang-tenang air jangan disangka tiada buaya tau. Ayah garang juga sebenarnya.
Tipulah kalau ayah saya anak lapan lemah lembut dan tenang gembira je layan kami 24/7. Pengsanlah ayah, dan ber’lemak’lah kami yang dah sedia ber’lemak’ ni.
Satu-satu perkara yang ayah saya betul-betul tapis dalam aktiviti harian kami adalah hiburan tv dan radio (masa tu belum lagi era telefon pintar).
Pertamanya, nak tengok tv perlu minta izin. Kemudian, ayah akan tanya cerita apa? Jangan sesekali sebut nak tengok drama. Tak kisah lah drama Melayu ke Indo ke Korea ke Thai ke. Tak dibenarkan.
Seingat saya, antara cerita yang dibenarkan untuk kami tonton hanyalah kartun (sememangnya boleh), cerita-cerita Pramlee, siri Gerak Khas, Osman Baku dan beberapa movie aksi. Itu saja lah. Cerita-cerita cinta anak Megah Holding jangan harap lah nak tengok.
Kalau perasan, bahasa tulisan saya pun dah ala-ala bahasa filem Pramlee dan Osman Baku. Kuat kan pengaruhnya?
Ya, setiap apa yang kanak-kanak lihat, dengar dan rasa memang akan memberi impak dalam hidup mereka. Kalau bukan sekarang, mungkin pada masa akan datang. Sebab tu ayah jaga walau dalam hal sekecil ini.
Kalau tanya kami ketika itu nama-nama artis, memang kami tak tahu. Malah tidak tahu pun itu artis. Kata ayah, “kenapalah orang semua sibuk ambil peduli artis itu artis ini, mereka bukan peduli pun tentang kita. Tiada rugi apa pun kalau tak kenal mereka”.
Kalau radio pula; Raihan, Rabbani, Inteam dan yang ‘sewaktu’ dengannya saja yang kami tahu. Itulah lagu-lagu yang menghiasi halwa telinga kami. Dah besar-besar ni baru lah lagha sendiri dengar lagu carta ERA. Astaghfirullahh.
Pernah kami senyap-senyap tukar siaran radio sebab ayah belum balik kerja. Kira tak minta izin lah. Tiba-tiba ayah balik, kena tempik,
“Siapa yang pandai-pandai tukar ni!? Jangan nak buat sesuka hati ya dalam rumah ni. Kalau rasa nak buat sesuka hati, pergi cari radio di rumah orang lain. Itu pun kalau ada yang sudi. Kalau tak, pergi beli radio sendiri!”. Begitu tegasnya ayah walau dalam sekecil isu radio.
2, 3 kali ayah cakap dulu. Lepas daripada tu tak cakap dah, ayah ‘tangan’ terus. Kata ayah, “ayah cakap ayah buat”. Tak solat, rotan. Merayau sampai lewat malam, duduklah kami di luar rumah sampai ayah ‘sejuk’.
Kalau bergaduh disebabkan benda yang satu, ayah hancurkan benda tu. Biar sorang pun tak dapat dan tak perlu bergaduh lagi.
Kalau buang makanan, ayah suruh ambil semula makan. Kata ayah, “ingat ayah beli pakai air liur ke!?”.
Saya sendiri pernah kena, saya buang kulit roti (rata-rata budak memang tak suka bahagian tu termasuk saya) ayah suruh ambil semula dalam tong sampah dan makan sampai habis. Huu menangis tak berlagu makan kulit roti tu balik. Sumpah taknak buat lagi.
Paling tak menahan, kalau tak gosok gigi sebelum pergi sekolah, ayah hantar kami 100m jauh dari pagar sekolah, sila jalan. Haha.
Kesian kami kena jalan kaki walaupun esok-esoknya buat lagi. “Yah, kawan kami tak gosok gigi jugak, elok je”, soalan confused kenapa kami kena marah sedangkan kawan-kawan tidak. Aduh kenangan sungguh.
Dan banyak lagi hukuman lain yang tak sanggup nak dikenang. Yang penting, kalau ayah dah nasihat 2, 3 kali tapi masih berulang perkara yang sama, ayah memang akan marah kami, rotan kami, dan denda kami.
Apa yang tercapai dek tangan, apa yang terlintas di kepala ketika itu, ayah hamburkan semua. Kami hanya diam seribu bahasa sebab memang salah diri sendiri.
Lepas kena marah, kena rotan, kena denda tu semua, nak merajuk? Jangan sesekali. Ayah cukup tak suka kalau ada antara kami yang merajuk. Boleh membara api kemarahan ayah. Bagi ayah perbuatan tersebut ‘kurang ajar’ dan ‘tak makan saman’.
Lagi-lagi merajuk yang ala drama tu; hempas pintu bilik, lepas tu tak nak makan, tak nak minum, terperuk dalam bilik tak nak keluar.
Huh, jangan berani-berani buat begitu. Ini lah antara sebab kenapa mak ayah saya tak benarkan kami tengok drama. Drama melayu khususnya. Pengaruh negatif sangat kuat.
“Siapa yang ajar merajuk-merajuk ni? Kau siapa nak merajuk-merajuk? Ni bilik ni, aku yang bayar, rumah ni aku yang bayar. Kau nak merajuk, kau pergi tempat lain. Rumah ni bukan hotel nak buat sesuka hati”, begitulah bebelan ayah.
Bila ayah dah keluar ‘kau, aku’ tu, tahulah kami bahawa marah ayah sudah pada tahap maksima. Lepas daripada kena bebel begitu nak merajuk lagi? Tidak lagi. Teknik merajuk pun kami sudah tidak tahu bagaimana.
Kalau bab akademik pula, ayah tak berapa ambil pusing. Kalau ada antara kami yang memang tak mampu, tak minat, ayah tak akan paksa.
Adik saya ada 2 orang yang ‘belajar tak habis’. Mereka memang lemah akademik, ayah pula memang tak paksa. Bagi ayah, cukuplah kami tahu bezakan baik buruk dan tahu bawa diri.
Kata ayah, “biarlah anak-anak ayah kerja kampung sekalipun, ayah tak kisah. Buat apa jadi menteri kalau jadi menteri yang tak amanah. Lebih baik jadi petani, tapi suka tolong orang dan ingat tuhan. Tak perlu ikut orang, kita jadi diri kita”.
Kalau untuk anak-anak yang mampu untuk belajar pula, ayah fokus suruh hafal sifir saja. Sebab ayah kurang tahu hal akademik.
Sedang asyik duduk bersenang lenang tiba-tiba ayah tanya, “2 kali 6 berapa?”. Kalau tak dapat jawab, berdiri lah kami atas meja sampai hafal seluruh sifir 6 tu. Huu menitik air peluh.
Bagi ayah, prinsip ‘sayang anak tangan-tangankan’ menjadi pegangannya dalam mendidik kami.
Walaupun dulu, kami selalu merasakan ayah seperti mendera kami. Selalu kami rasa nak mengadu pada polis, nak lari keluar rumah. Padahal apa yang ayah cakap semua betul dan denda beliau semua relevan dan berkesan. Cuma kami yang belum faham.
Pernah ayah saya kata, “Kamu nak lari rumah? Silakan. Carilah, kot ada yang sudi bagi makan nanti”. Haha. Malangnya memang tiada tuju. Pelik juga, selalu orang lari rumah tu pergi mana ya? Sungguh saya tertanya.
Habis sesi marah dan mendidik, maka habislah. Tak akan ada yang sebut dan ungkit lagi. Ayah kembali berbaik layan kami seperti kawan-kawan seakan tiada apa yang berlaku.
Begitulah juga kami sesama adik beradik. Bila bergaduh, tak reti nak merajuk, esoknya baik semula seperti tak ada apa yang berlaku.
Begitulah ayah. Walau macam mana pun ayah kita, ayah akan tetap jadi ayah selamanya. Dia ayah kita. Pinjaman Allah buat kita.
Ya Allah ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sewaktu kami kecil. Al-fatihah (dibaca) buat yang telah pergi.
Moga ada manfaatnya untuk semua. Semoga Allah mengganjari setiap usaha mak ayah mendidik anak-anak di zaman yang penuh mencabar ini. Semoga dipermudahkan hingga ke akhirnya. Doakan juga mak ayah saya. Terima kasih.
# Selamat hari bapa buat ayah, abah, baba, bapak, papa, daddy, dadi yang ada di sini. Walau apa pun panggilannya, anda adalah hero buat anak-anak. Salam hormat buat bapa-bapa sekalian.
Sekian, wassalamualaikum.
– Kak Long (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit