Ayah dan Adik-adiknya

First of all, nak ucap terima kasih kepada admin kalau sudi menyiarkan confession ini.

Assalammualaikum w.b.t. Aku Diana Meer berasal dari utara Malaysia. Apa-apa pun confession ini bukanlah tentang diri aku, tapi confession ini berkisar dari kisah ayah dan adik-adiknya. Bila aku mensi-kan tajuk Ayah dan Adik-adiknya, aku harap korang dapatlah hint bahawa ayah aku merupakan anak ‘lanang’ sulung dalam keluarga, daripada 11 adik beradik yang terdiri daripada 3 anak ‘lanang’, 8 anak ‘weddok’. Ya, ayah aku berketurunan ‘itu’ dan berasal dari selatan Malaysia.

Kisahnya bermula, bila ayah membuat keputusan untuk berkahwin dengan mak aku pada hujung tahun 80-an. Mak aku pula berasal dari utara dan berketurunan majoriti rakyat Islam Malaysia, yang sudah tentunya berketurunan ‘luar’ dan ‘lain’ daripada keturunan ayah. Yelah, ketika itu ayah merantau jauh dari selatan ke utara berkerja sebagai tentera laut, manakala mak aku pula berkerja sebagai seorang guru, mungkin telah bertemu jodoh mereka di situ.

Ayah dan mak pun berkahwin dengan restu orang tua dari kedua belah pihak. Namun begitu, ada juga bisik-bisik dari adik-beradik ayah mengatakan mak aku tak sekufu, tak seketurunan, tak layak untuk berkahwin dengan ayah aku. Tetapi ayah aku tidak menghiraukan apa yang diperkatakan, ayah memenangi dan memihak kepada mak yang berketurunan luar.

Setelah 2 tahun berkahwin, suatu hari ayah menerima surat layang dari adik ‘weddok’nya yang dikirim menerusi pos Malaysia khas dari selatan Malaysia tanpa diketahui oleh Atok dan Embah aku. Dalam surat itu, ayah kena ‘sound’ mengatakan ayah dah lupa asal-usul, ayah dah lupa adik beradik, ayah telah di’guna-guna’kan oleh mak aku, ayah dah kena ‘mandrem’, ayah dah tak kenang jasa Mak dan Bapak (embah dan atok aku) dan sebagainya.

Mulanya kehadiran surat itu tak diketahui oleh mak, ayah taknak mak bersedih dan sakit hati. Tetapi nak dijadikan cerita, surat layang itu dijumpai oleh mak aku di dalam kocek seluar ayah ketika nak basuh masuk ke dalam mesin basuh. Dari situ lah mak aku dah tahu perangai adik-adik ‘weddok’ ayah.

Ya, mungkin ayah jarang balik ke selatan menjenguk keluarga di kampung. Boleh kira setahun dua kali. Kehidupan ayah dan mak aku ketika itu bukanlah senang tambah dengan anak 2 orang masih kecil. Ayah bergaji RM350, Mak pula bergaji RM400 saja. Kalau nak balik ke kampung, kena sediakan duit simpanan berbulan bulan untuk tambang pergi balik naik kereta api, duit makan minum, duit belanja ketika di kampung yang ada lagi 7 adik tak berkahwin dan tak berkerja.

Tetapi dalam pada itu, ayah tak pernah mengabaikan keluarga ayah walaupun jarang pulang ke kampung. Ayah sentiasa mengirimkan wang pada Atok dan Embah, untuk perbelanjaan harian dan perbelanjaan adik-adik ayah yang bersekolah. Ada bulan duit ayah lebih ayah kirim lebih, kalau kurang ayah akan kirim sedikit. Atok dan Embah pun masih menoreh untuk sara hidup mereka di kampung.

Tetapi ayah dengan sikap ayah. Ayah aku tak suka nak berbalas surat layang dengan adik ‘weddok’nya itu. Ayah malas layan, ayah fikir lagi ayah balas lagi panjang cerita. Ayah biarkan saja surat layang itu tinggal berhuhuhu sendirian. Ayah minta maaf pada mak aku, disebabkan oleh perangai dan mulut adik-adik ayah. Ayah tahu mak aku yang bergaji besar sedikit dari ayah, mak aku juga turut banyak menyumbang wang belanja untuk keluarga kami demi membantu ayah.

Perkara ini tak berhenti di sini, ia berlarutan sehingga ayah dan mak dah ada anak 4 orang. Ayah dan mak aku masih menerima surat layang dari adik ‘weddok’nya. Isi surat layang masih sama, tak puas hati dengan ayah sebagai anak ‘lanang’ sulung yang tak menjalankan tanggungjawab sebagai anak ‘lanang’.

Dalam surat layang terbaru, adik ‘weddok’ ayah mengatakan ayah tak mengambil tahu perkembangan adik-adik ayah, ayah bersikap tidak matang, ayah mengabaikan adik-adik ayah, ayah bagaikan dicucuk hidung oleh mak (hanya menjadi pak turut mak aku). Sampai begitu sekali lemparan kata-kata adik ‘weddok’ ayah. Sedangkan ketika itu adik-adik ayah sudah besar, dah tahu pilih mana baik mana buruk untuk memajukan diri sendiri.

Mungkin ayah aku tak berada bersama mereka, ayah aku kerja merantau ke utara menetap di utara membesarkan kami adik beradik. Tapi ayah sentiasa mengambil tahu tentang adik-adik walaupun hanya dari jauh. Bukannya ayah biarkan saja adik-adik ayah terbiar, ayah yang beriya suruh adik-adik ayah habiskan belajar sampai SPM dan STAM, ayah yang bagi duit belanja untuk beli barang barang keperluan untuk peperiksaan adik-adik ayah, sedangkan ayah hanya tamat belajar sehingga SRP dalam jurusan Bahasa Inggeris. Ayah juga bantu adik-adik Ayah carikan kerja sampai ke KL.

Ini memang terjadi depan mata aku. Aku tengok sendiri. Ayah sentiasa menasihati adik-adik ayah, memberi idea untuk adik-adik ayah mencari peluang bagi memajukan kehidupan adik-adik ayah. Cuma kabel ayah bukanlah besar untuk carikan kerja adik-adik ayah dapat kerja jadi Mandor terus. Ayah sudah tolong semampu ayah. Tetapi adik-adik Ayah sendiri yang mensia-siakan segala usaha ayah untuk adik-adiknya.

Kalau nak kata ayah aku mengabaikan Atok dan Embah aku, tiap kali balik beraya Ayah dan mak aku banyak berhabis untuk meraikan Atok dan Embah dan adik-adik ayah. Tak pernah Ayah dan mak aku pulang beraya dengan tangan kosong. Mesti bawak segala buah tangan, kuih raya, baju raya untuk atok dan embah, belanja dapur untuk masak-masak. Ayah dan mak aku tak pernah berkira dari segi duit belanja. Ayah dan Mak aku seronok begitu. Bagi mereka berbelanja untuk adik-beradik itu adalah sedekah terbesar.

Tetapi wahai pembaca sekalian, rupanya bagi mereka masih tak cukup Ayah dan mak aku bersikap begitu dengan adik-adik ayah. Tibalah ketika atok aku jatuh sakit, mereka mula mengungkit bahawa anak ‘lanang’ yang kena jaga atok aku. Ayah aku tak pernah menyangkal, memang itu tanggungjawab ayah aku juga. Ayah aku tak pernah membiarkan atok aku tanpa tanya khabar berita. Ayah aku cuba balik ke selatan sekerapnya bila atok memerlukan.

Cuma dek atas tuntutan kerja ayah aku dan atas permintaan Atok yang taknak ikut duduk dengan kami di utara, ayah aku terpaksa tinggalkan atok dibawah jagaan adik-adik ayah di selatan. Ayah passti tinggalkan wang saku semampunya untuk perbelanjaan atok dan embah yang tak berapa sihat. Tak pernah ayah biarkan tinggalkan dengan tangan kosong.

Zaman kian berkembang selari dengan arus teknologi, kalau dulu ayah menerima surat ‘layang’ kemudian ayah dah mula menerima SMS ‘layang’. Masih sama isi kandungan surat dan SMS ‘layang’ yang ayah terima.

Isinya masih berbunyi anak ‘lanang’ yang tak cium bau syurga sebab tak menjalankan tanggungjawab sebagai anak, adik ‘weddok’ ayah dah mula membandingkan abang kandung dengan abang ipar, mengatakan abang ipar lagi bagus dari abang kandung, dah mula taknak mengaku ayah sebagai abang kandung (buang saudara). Aku tahu jauh di sudut hati ayah, ayah sedih adik-adiknya bersikap begitu.

Ayah masih ayah, tak pernah sekali pun ayah membalas segala tohmahan daripada adik-adik ayah. Ayah tak pernah mengungkit segala apa yang dia pernah bagi kat Atok, Embah dan adik-adik ayah. Ayah banyak diam kan saja. Sebab ayah pun fikir, ayah juga manusia biasa yang mungkin ada silap dimana mana sehingga adik-adik Ayah bersikap sedemikian. Ayah sentiasa memaafkan adik-adik Ayah.

Atok aku pun pernah berpesan dengan Ayah dan Mak aku. “Kamu berdua suami isteri jangan layan dengan perangai adik-adik kamu tu, kamu jaga je Bapak dan Mak ni baik-baik, jaga je hubungan kamu suami isteri baik-baik.” Atok sendiri dah masak dah dengan perangai tak puas hati adik-adik Ayah. Mesti hairan macam mana aku tahu cerita Ayah se-detail ini. Mak aku yang beritahu kami adik-beradik. Ayah masih Ayah.

Tak lama beberapa bulan kemudian, Atok pun meninggal dunia. Rupanya itulah pesanan terakhir untuk Ayah dan Mak aku dari Atok. Dan Atok mewasiatkan ‘Tanah Lot Rumah Pusaka’ atas nama ayah. Pelikkan? Kisah ini tidak terhenti hinggalah umurku kini menjangkau alam 30-an. Masih banyak inginku luah.

Sekian. Terima kasih kerana sudi membaca.

– Diana Meer (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *