Ayah Dan Aku

Hi para pembaca semua. Semoga semuanya terus bertabah dalam mengharungi PKP ini. Terima kasih jugak pada pihak IIUM Confession kalau kongsikan cerita aku ni.

Mungkin cerita yang bakal aku ceritakan ni tak ada apa-apa yang unik atau lain dari yang lain. Tetapi, apa yang aku harapkan adalah sesiapa yang membaca cerita aku ini, dapat mengambil pengajaran dan dengan usaha setiap orang, akan dapat menjadikan dunia ini suatu tempat yang lebih baik.

Bak kata orang putih, “Slowly but surely”.

Apa yang aku nak kongsikan adalah perspektif dari seorang anak perempuan yang membesar dalam keluarga yang lengkap.

Benda yang beri kesan yang mendalam pada diri aku sampai sekarang adalah sikap ayah aku yang panas baran. Baran ayah aku ni lain macam. Sampai sekarang aku masih ingat satu scene ni. Aku kecik lagi, tak ingat umur berapa.

Malam tu aku tertidur awal. Aku terbangun sebab aku terdengar bunyi bising. Aku pun keluar dari bilik dan aku tengok ayah aku tengah hunus parang dekat mak aku yang tengah dalam keadaan baring dekat lantai dapur.

Baju mak aku macam ada koyak-koyak sikit. Aku dah tak ingat apa yang jadi lepas tu, tapi sampai sekarang aku tak boleh lupa scene yang aku saksikan tu.

Parang tu ada kat rumah aku sampai sekarang dan setiap kali ayah aku pegang parang tu (untuk berkebun ke, asah ke), jantung aku akan berdebar-debar, rasa tak selamat, walaupun aku yakin ayah aku tak kan buat apa-apa.

Bukan takat dalam rumah je, tak kira mana-mana tempat pun, ayah aku boleh je nak mengamuk kalau dia nak. Waktu aku sekolah rendah, pernah ayah aku mengamuk dekat airport sebab ada barang dia yang tak lepas nak check-in.

Bukannya langsung tak lepas, cuma barang-barang tu kena asingkan dari normal stuffs, kena pergi kat satu pejabat ni, daftar kat situ, pastu pihak kastam akan uruskan. Tapi ayah aku amuk sampai campak-campak barang tu dekat lantai.

Nasib baik waktu tu aku berdiri agak jauh dari mak ayah aku, tapi perasaan malu yang aku rasa masa tu, Ya Allah….

Bab hukum anak-anak, ayah aku tak pernah tampar kitaorang. Tapi sepak terajang memang biasa. Ada sekali tu, masa tu ayah aku tengah bad mood, adik bongsu aku yang masih kecik sangat masa tu pegi kat ayah aku, nak ajak main kot.

Aku tak sempat nak “selamatkan” dia, sesaat lepas tu aku nampak dia terkeluar dari pintu bilik ayah aku. Macam terbang sikit. Kena tendang la maksudnya. Nasib baik dia tak ada tercedera ke apa.

Walaupun aku masih kecik, aku tau apa benda yang ayah aku tak suka. Jadi aku akan cuba buat semua benda yang boleh elakkan ayah aku dari jadi bad mood.

Contohnya, aku tau ayah aku tak suka rumah sepah-sepah, jadi aku akan kemas mainan adik-adik aku sebelum ayah aku balik kerja. Sampai sekarang, aku boleh baca “the mood in the air”. Aku jadi stress kalau ada antara adik-adik aku buat benda yang ayah aku tak suka.

Waktu kecik, selalunya aku kena hukum sebab aku gaduh dengan adik-adik aku, jarang sebab kesilapan aku sendiri. Ayah aku paling pantang kalau kitaorang gaduh. Rezeki jugak buat adik-beradik aku, kitaorang agak bijak dalam pelajaran.

Bayangkan, kalau keputusan peperiksaan kitaorang tak bagus, mau kena belasah lebih teruk. Tambah lagi dengan perangai adik-adik aku yang nakal dan ganas, bak kata orang tua, tak pandai duduk diam-diam, makin senang lah hati ayah aku “terbakar”.

Aku anak sulung ke? Tak. Aku anak tengah dan dalam adik-beradik aku, bilangan anak lelaki adalah dua kali ganda dari anak perempuan. Dua atas aku dah masuk asrama waktu aku umur 9 tahun. Jadi, aku macam dah jadi anak sulung masa tu.

Dan sebab perangai aku macam “good girl”, aku tak dapat perhatian dari mak aku. Aku faham, mak aku dahlah bekerja, tak cukup tangan nak layan semua benda, dia terpaksa bagi perhatian lebih dekat adik-adik aku berbanding dengan aku.

Sekarang aku rasa korang boleh bayangkan serba sedikit suasana aku membesar. Aku tak nak cerita dengan lebih mendalam, cukuplah sekadar “tip of the iceberg” sahaja. Yang paling penting adalah point yang sebenar yang aku nak kongsi dengan para pembaca.

Waktu kita semua kecik, siapa yang kita paling pandang tinggi? Majoriti akan jawab, ibu bapa kita. Disebabkan fitrah kita masa tu yang tak boleh lagi berdikari dan sangat bergantung kepada orang dewasa untuk survive, naturally kita akan rasa macam tu.

Ditambah lagi dengan hati anak kecil yang masih suci bersih, kanak-kanak akan bagi kasih sayang yang tak berbelah bahagi pada ibu bapa diaorang. Ko, buatlah apa-apa pun, ko jugak lah yang paling diaorang sayang dalam dunia ni. Dan itulah yang aku rasa masa aku kecik.

Aku bukak hati aku seluas-luasnya untuk menyayangi dan disayangi mak ayah aku. Sebab tu jugak lah, walaupun aku masih kecik, aku cuba mencari sebab-sebab kenapa ayah aku menjadi seorang yang panas baran.

Apa-apa sebab yang aku jumpa, aku pegang dalam hati aku untuk ingatkan diri aku yang ayah aku got his own reasons. Tapi bayangkan, aku masih kecik tapi sudah kena berpura-pura berfikiran matang. Aku tak sedar benda ni sampailah kesannya muncul bila aku sudah dewasa.

Buat para ayah atau yang bakal menjadi ayah. Aku tahu, bagi kebanyakan lelaki, naluri diaorang sebagai ayah akan membuatkan diaorang lebih sayang anak daripada isteri.

Tetapi, sebagai anak, semakin aku membesar dan faham tentang hidup, aku tak tengok macam mana ayah aku layan aku. Aku tengok macam mana ayah aku layan mak aku. Lagi-lagi aku adalah perempuan.

Aku tengok sendiri bagaimana ayah aku perlekehkan mak aku depan anak-anak, gaduh dengan mak aku depan anak-anak yang kalau boleh dia memang nak satu taman tu dengar. Aku tengok macam mana mak aku bersabar dan bersabar dan bersabar.

Apa akibatnya pada aku? Salah satunya, aku jadi tak percaya dengan perkahwinan.

Bagi aku, perkahwinan adalah plan B (tak boleh angkuh dengan rancangan Tuhan). Aku jadi sangat sensitif dengan isu-isu penderaan rumahtangga, lelaki yang abaikan tanggungjawab terhadap anak bini dan apa-apa yang seangkatan dengannya.

Bagi aku, biarlah kahwin lambat, yang penting aku bukan kahwin sebab society pressure. Aku rasa mana-mana lelaki yang kenal aku, diaorang akan rasa aku feminis dan menakutkan. Mungkin diaorang nampak aku macam seorang perempuan yang tak akan dengar kata suami dia.

Kesan yang lain pada aku adalah aku jadi “team mak”. Lama-kelamaan, apa-apa yang ayah aku buat, aku akan nampak apa yang tak kena sahaja.

Pendek kata, aku hilang rasa hormat pada ayah aku. Apatah lagi rasa sayang. Dalam diri aku, aku cuma ada perasaan takut sahaja terhadap ayah aku. Aku selalu tengok orang share quote macam “A dad will always be his daughter’s first love.”

Tapi aku tak dapat relate dengan benda tu. Aku ada jugak kawan-kawan yang siap boleh pergi dating lagi dengan ayah diaorang. Keluar berdua, have fun, gurau senda macam kawan. Sekali lagi, aku tak boleh relate dengan benda tu. Sebab sampai sekarang, aku masih rasa tak selesa berduaan dengan ayah aku.

Waktu aku masuk alam remaja, semestinya aku pilih untuk masuk asrama. Aku jugak semakin berani tunjuk protes terhadap ayah aku sikit demi sikit. Fitrah lelaki sebagai ketua keluarga, semestinya dia nak rasa dia dihormati sebagai ketua keluarga dan usahanya menyara keluarga dihargai anak bini.

So bila dia tak dapat rasa kebahagiaan tu dalam keluarga, dia mula cari kebahagiaan dari luar. Aku tak pernah bincang benda ni dengan adik-beradik, so aku tak tau diaorang perasan atau tak.

Tapi aku faham apa yang berlaku masa tu walaupun aku bukan ada dekat rumah hari-hari macam dulu. Aku tahu siapa perempuan tu. Aku pernah terbaca mesej antara mak aku dan ayah aku pasal perempuan tu. Mak aku siap tanya nak dia pinangkan ke.

Aku tak berat sebelah, mak aku pun bukanlah sempurna. Ada jugak silap yang mak aku buat masa tu yang menambah perasaan tidak bahagia ayah aku. Aku tak tau macam mana mak ayah aku settle masalah tu, tapi dipendekkan cerita, ayah aku tak kahwin lain.

Tapi kan, ibu bapa selalu merendahkan kemampuan anak-anak diaorang untuk memahami “bab-bab rumahtangga”. Surprise! Anak-anak tak bodo ye.

Dalam kes aku, keluarga aku selalu langgan Majalah Mingguan Wanita dan sebab zaman tu bukan zaman gadget, aku baca je semua bahan bacaan yang ada kat rumah (dan dari sini jugak lah aku tau, ibu bapa tak sepatutnya bergaduh depan anak-anak.

Aku yang naif masa tu pernah jugak persoalkan, kalau buku cakap jangan bergaduh depan anak, kenapa mak ayah aku masih buat?). Otak manusia tak akan berkembang sepenuhnya sampailah umur 20 lebih (aku lupa berapa exact umur).

Terutamanya masa usia remaja, organ dalam otak kita yang mengawal emosi belum berkembang sepenuhnya dan sebab tu lah kita sangat emo masa remaja dan lack of depth in judgement. Tapi tu jugak tak bermaksud anak-anak tak faham atau tak dapat baca langsung konflik yang berlaku antara ibu bapa.

Satu lagi kesan adalah, aku jadi takut dengan kegagalan atau kesilapan. Aku ada cakap kat atas yang aku jarang dihukum. Sebab aku tau yang ayah aku tak suka kitaorang buat kesilapan.

Contohnya, ada sekali masa aku sekolah rendah, aku terjatuhkan gelas kaca. Gelas biasa je yang kita boleh dapat percuma dari beli Colgate tu. Tiba-tiba ayah aku datang kat aku, menjerit-jerit kat aku, lepas tu dia pecahkan beberapa gelas depan aku.

Aku ingat lagi sampai sekarang. Jadi korang boleh faham kan kenapa aku jadi takut untuk buat silap.

Dan lama-kelamaan, ketakutan tu membunuh aku. Untuk jadi lebih resilient dalam hidup, kita perlu berani hadapi kegagalan atau kesilapan. Nothing in this world is risk-free.

Aku ada ramai kawan-kawan yang hebat dan so far yang aku tahu, parenting ayah diaorang memang bagus. (Disclaimer: Bukan parenting golongan ibu tak penting, tapi sebab cerita aku pasal ayah, aku nak focus kan pada golongan ayah je). How the parents react to their children’s mistakes are important.

Semestinya sebagai ibu bapa, kalau boleh kita tak nak anak buat kesilapan macam yang kita buat dulu, tapi tak semuanya akan berjalan macam yang kita rancang.

Dengan kes-kes kesihatan mental sekarang, apa yang penting adalah macam mana kita nak bina RESILIENCE dalam diri anak-anak kita: To fall doesn’t matter, what matters is you get up from the fall, clean up the mess that you have made and move forward again.

Sejujurnya jugak, kalau aku balik rumah, aku rasa macam ada ticking bomb dalam rumah tu. Walaupun ayah aku dah tak baran macam dulu sebab faktor usia, kesan-kesan daripada zaman aku kecil sampai remaja dulu tak pernah meninggalkan aku sepenuhnya.

Aku pernah rasa bahagia bila ayah aku tak ada kat rumah, sebab aku rasa lebih selamat, hati aku lebih tenang. Para ayah yang ada masalah baran macam ayah aku, korang nak ke anak korang rasa apa yang aku rasa?

Jadi, buat para lelaki yang memang sedia maklum mereka ada masalah panas baran, pergilah dapatkan bantuan profesional. Zaman sekarang bukan macam zaman dahulu yang kalau jumpa kaunselor atau pakar psikiatri je, orang kata kita gila.

Berikanlah komitmen sehabis baik untuk atasi masalah baran. Ada terapi yang boleh membantu korang. Bukan sebab orang lain semata-mata, tapi sebab sayang diri sendiri jugak.

(Disclaimer again: perempuan pun ade yang hadapi masalah baran ni jugak. Domestic abuse done by women is real. Baca kisah Johnny Depp dengan ex-wife dia).

Dan khas untuk para ayah, kalau kalian rasa tak dihormati anak-anak terutamanya, cubalah bertanya kembali pada diri sendiri dahulu sebelum menyalahkan orang lain.

Parut yang ayah aku tinggalkan dalam hidup aku tak mudah untuk sembuh. Walaupun dah dewasa ni, aku pernah teringat balik semua benda-benda yang ayah aku buat dekat mak aku dan aku menangis sorang-sorang.

Selama bertahun-tahun aku rasa aku tak dapat maafkan ayah aku sampai bila-bila. Islam menuntut anak-anak untuk berbuat baik kepada ibu bapa, dan aku tak ada masalah untuk melaksanakan tu, tapi untuk sayang? Aku rasa tak dapat.

Aku faham Islam sebagai agama yang adil dan realistik. Emosi tak dapat diukur dengan dosa dan pahala.

Dalam setengah tahun yang lepas, aku mula sikit-sikit memaafkan ayah aku. Tengok dia dah tua, aku mula rasa simpati.

Bukannya aku dah tak affected langsung dengan apa yang pernah berlaku, tapi aku buat ni untuk kebaikan diri aku jugak. Balas mesej dia pun dah merupakan satu improvement untuk aku.

Aku cium pipi lepas salam tu boleh la, itu pun sebab aku jarang sangat-sangat jumpa dia. Tapi other than that, so far, aku tak boleh. Aku tahu, bila semakin tua, kita akan dambakan kasih sayang anak-anak.

Sebab tu lah, para ayah yang ada masalah baran, aku kongsikan perspektif aku dengan jujur supaya korang dapat perbaiki diri korang sebelum terlambat. Jangan kerugian di kemudian hari sebab ego hari ini.

Please always remember this, respect and love must be earned, not given. Dan walaupun anak masih kecik, they WILL remember what you did, what you said and how you made them feel. Maybe not all, but they will.

Terima kasih kerana sudi membaca cerita aku sampai habis. Aku macam nak share jugak perspektif aku terhadap mak aku. Tapi dalam post yang berbeza, insyaAllah, kalau aku ada masa.

– Hana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *