Assalamualaikum. Hai pembaca sekalian. Aku Lily. Tahun depan menginjak umur 30 tahun namun tak pernah terbayang untuk kami sekeluarga hadapi kisah hitam ini.
Sepanjang aku hidup, kami sekeluarga Alhamdulillah, Allah beri kehidupan yang agak smooth jalan ceritanya. Walaupun ayah cuma seorang pesawah.
Mak aku, masa mudanya seorang yang sangat cantik. Menjadi rebutan ramai lelaki, tapi mak sangat taat pada Tokwan termasuk bab jodoh.
Semua atas pilihan Tokwan. Selalu mak cerita dengan penuh bangga.
“Mak dulu ada 10 orang tau laki masuk minang mak. ada yang kontraktor, cikgu, doktor. Tapi Tokwan pilih ayah”
Rupa ayah biasa-biasa saja. Kulit hitam manis, rambut kerinting, tapi ayah cute sebab ayah ada lesung pipit. Hehe. Ayah pandai, tapi keadaan keluarga tak mengizinkan ayah sambung belajar dan asbab ini jugak, ayah jadi jodoh mak.
“Kenapa Tokwan pilih ayah, Mak?”
“Sebab ayah pesawah”
Tokwan tolak semua pinangan lelaki yang masuk meminang mak sebab tokwan cari menantu yang boleh buat bendang. Pelik kan? Selalunya mestilah seorang ayah nak pilih menantu yang kerja stabil yang boleh sara anak perempuan dia. Tapi tokwan pilih ayah.
“Aku nak menantu aku sama-sama buleh main kotoq ayaq bendang dengan aku”.
Tokwan ada banyak sawah. Dia nak ada menantu yang boleh uruskan sawah sama-sama dengan dia. Tapi, Allah lebih menyayangi Tokwan.
Umur Tokwan tak panjang, Tokwan meninggal muda. Masa tu umur Tokwan baru 40-an. Jadinya ayahlah yang usahakan semua kerja sawah Tokwan.
Mak dan ayah kawen tak kenal each other pon. Bila dah kahwin, baru tahu yang masa mak darjah 4, Mak pernah datang ambil bahagian sukan di sekolah Ayah. How beautiful Allah takdirkan kisah hidup seseorang kan??
Sepanjang aku membesar, Ayah dengan Mak sangat menyayangi satu sama lain. Mak aku suri rumah sepenuh masa, tapi Mak ada bakat menjahit. Jadi Ayah belikan Mak mesin jahit.
Maka berkembanglah bakat Mak daripada hanya menjadi hobi jahit baju kami sekeluarga, kepada mula mengambil tempahan orang kampung.
Aku ada 2 orang adik beradik sahaja. Aku dan Kakak.
Jadi, usaha keras Ayah, siang dan malam hanya untuk besarkan kami berdua. Apa yang kami nak, Ayah akan cuba usahakan. Tapi mesti kena belajar pandai-pandai. baru Ayah akan beli.
Bila aku dah kahwin, melihat Ayah yang semakin dimamah usia, teringat aku kenangan-kenangan masa Ayah melayan kerenah kami. Pura-pura tidur di ruang tamu, semata nak Ayah dukung kami masuk ke bilik. Hihi.
Ada masa Ayah mengamuk sebab kami dua beradik bergaduh berebutkan remote TV.
“Hampa dua orang mai sinih! GEDEBUK!!!” Kepala kami dihantuk.
“Ha sorang p dapur, sorang lagi p masuk bilik. Ada dua orang macam ada 10 orang dalam rumah ni ”
Macam tu lah Ayah ajar kami, setiap kali kami bergaduh. haha. Bila diingatkan balik, tergelak sendiri aku. Aku rindu.. Rindu kenangan zaman kecil kami. Walaupun Ayah bukan orang kaya, tapi Ayah sentiasa akan pastikan yang kelengkapan kami sekeluarga cukup.
Ayah tak suka pergi melancong. Memang kami dan Mak masak sangat dengan perangai Ayah yang satu nih. Sama juga dengan pergi shopping. Dia lebih rela duduk dalam kereta.
Agak lambat sangat, dia akan call berkali-kali sampai kami fedup dan tak sempat nk beli banyak. hhahahahah. Bila aku dah kahwin, baru aku tau. Memang begitu perangai lelaki sebab Suami aku pon sama. Dia tak suka teman aku shopping.
Dulu, Ayah panggil Mak, Minah je. Mak selalu merungut.
“Ayah hang ni tak romantik. Kalau satu hari nanti tiba-tiba dia panggil Mak, Sayang, mau terbalik Mak kat tepi bucu dinding tu” hahahaha. Gurau Mak.
Tapi sejak aku dah kahwin, Ayah tukar panggilan. Dia mula panggil Mak, Sayang. Ha Mak, dah boleh terbalik dah kot kat tepi bucu dinding tu. hhahhahahah.
Mungkin, dia nampak panggilan mesra aku dengan suami dan dia cuba buat benda yang sama. Sepanjang aku dibesarkan, Ayah dan Mak tak pernah berpisah.
Ke mana pergi, apa yang mereka buat, mesti bersama-sama. Kadang Ayah tengah cuci motor sebab kotor baru balik dari sawah, Mak pula akan sibuk jirus pokok bunga dekat halaman rumah.
Sebab tu aku kata life aku agak smooth. Aku dibesarkan dalam keluarga yang sangat support and loving each other.
Sekarang umur Ayah dah menginjak 50-an. Walaupun Ayah semakin tua, Ayah tak pernah sakit teruk. Sehinggalah lepas raya haji haritu.
Ayah kena tahan wad. Paru-paru Ayah berair. Jantung Ayah bengkak.
Aku terus minta izin suami untuk balik tengok Ayah.
Bila dia tengok saja aku tengah berjalan menuju ke katil dia di wad, belum sempat salam, Ayah dah menangis. Teresak-esak dia menangis sambil peluk aku. Betul kata orang, ibu bapa ni semakin tua hatinya semakin sensitif.
Ayah sejenis yang tak pernah expresskan perasaan dia. Sayang, rindu, marah. Banyaknya Ayah hanya senyum atau diam. Tapi kebelakangan ni, dia mudah menangis. Selalu bercerita. Selalu peluk aku.
Allah.. Sungguh Aku sayangkan sosok tubuh tua ini.
Seminggu Ayah ditahan di wad. Seminggu jugalah kami dan Mak tak lepas dari melawat Ayah di wad.
Mak apatah lagi. Hari-hari menangis di rumah.
Makan pon tak lalu.
“Mak tak pernah berpisah dengan Ayah hang. Dia mana pernah tidoq asing dengan Mak. Ni Ayah masuk wad, sapa nk jaga makan minum ayah. Mak takut Ayah hang p tak balik mai dah”
Ni lah ayat Mak setiap hari sampailah Ayah boleh keluar wad. Setiap kali cakap, setiap kali tu lah menangis. Dari situ, aku nampak kasih sayang Mak pada Ayah begitu menggunung. Mereka tak pernah diuji berjauhan.
Aku sangka panas sampai ke petang, rupanya Allah nak hadirkan pelangi selepas hujan.
Baru-baru ni, sakit ayah semakin pelik. Susah tidur malam. Kaki mula bengkak. Susah nak telan makanan atau minuman yang masuk ke mulut. Terkadang aku pelik, effect sakit paru-haru haritu kah?
Takdir Allah, Dia hadirkan insan yang mampu melihat apa yang manusia biasa tak boleh lihat.
Ada sorang sahabat Ayah, datang melawat. Bila dipegang badan Ayah, mengucap panjang dia.
“Ish, ni bukan sakit biasa ni. Ada yang tak puas hati dekat Bang Din nih. Cuba p berubat tengok”
Aku tak pernah terfikir soal sihir. Pada aku, ayah hanya sakit biasa. Biasalah, sakit orang tua. Namun bila sahabat tadi sebut yang ayah terkena sihir, aku seolah tersetak.
Ayah sangat baik. Ayah ramah melayan semua orang, ramai yang suka datang ke rumah sebab Ayah suka raikan tetamu. Even kawan-kawan sekolah aku dulu sape yang datang, mesti end up jadi anak angkat Ayah dan Mak.
Yela, ada anak dua orang je. Ayah sangat mudah hulurkan pertolongan. Sama ada dari segi kudrat ataupun wang ringgit.
Siapa yang tak puas hati???
Masa aku dapat tahu cerita ni, aku sudah pulang ke Selatan. Cuma berhubung melalui whatsapp dengan kakak. Sebulan juga aku tak jumpa selepas Ayah ditahan di wad.
Kakak dan Mak bawak Ayah pergi berubat. Lepas satu, satu tempat berubat mereka pergi. Ayah masih sama. Malam tu, Ayah jadi gelisah. tak boleh tidur malam.
Kakak panggil kawan sekampung datang tengokkan Ayah. Dia pagarkan setiap penjuru rumah.
“Jaga-jaga. Depa nak hantar sihir lagi malam ni. Sebab tu aku pagar rumah”
Lepas saja dipagarkan penjuru yang terakhir, dengar bunyi berdentum kuat kat atas ceiling rumah. Lebih 10 minit juga bunyi kuat seperti ada benda besar tengah bergaduh dekat atas ceiling.
Lepas dah reda bunyi, tiba-tiba Mak nampak macam ada cahaya putih turun dari ceiling. Allah.. Kebesaran apa yang Kau tengah tunjuk ni Ya Allah.
Ayah dapat tidur nyenyak malam tu. Esoknya kakak maklumkan apa yang jadi semalam. jadi aku terus decide untuk balik.
Pulanglah aku, naik train. Kakak yang ambil aku di stesen ktm. Sampai sahaja aku di rumah, berderau air mata aku sambil peluk Ayah.
“Allah, sampai macam ni sekali depa buat Ayah”
meraung aku melihat tubuh yang sebelum ini berisi, kini kurus, terlihat benjolan tulang-tulang bahu. Perut yang dulunya buncit ke depan, kini mengempis rata.
Laju juga air mata Ayah turun bila melihat aku menangis teresak-esak.
“Takpa, biaq lah depa buat Ayah. Ayah redha”
Kejam sungguh hati yang bernama manusia. Apa yang diiri tentang Ayah pon tak tahu, sedangkan kehidupan kami tak pernah cuba bermusuh dengan sesiapa.
Kehidupan kami yang dulunya sentiasa ceria, penuh gurau senda, gelak tawa, membahan satu sama lain, bertukar 360 darjah. Suram melihat keadaan Ayah.
Aku jadi saksi, Ayah kencing di katil. Mak yang akan tadah bekas kencing di kelangkang Ayah, sebab Ayah tak mampu berjalan.
Ayah yang dulunya bebas berjalan ke mana sahaja, kini hanya berjalan dengan ehsan dan tulang empat kerat Mak. sekuat mana kudrat dia, digagahkan juga.
Aku jadi saksi, Ayah tak mampu makan dengan sendiri sebab tangan menggeletar. Mak yang akan suapkan, itu pun paling banyak ada lah 5 hingga 6 suap.
Jika aku boleh berada di hadapan Allah sekarang, nak saja aku cerita yang aku juga saksi Ayah tercirit dalam kain pelikatnya sebab tak mampu jalan laju ke tandas.
Mak jugalah yang akan ambil cuci taik yang berciciran di lantai. Sungguh, hati ini rasa dirobek-robek bila melihat Ayah sebegini. Namun aku tabik pada kasih sayang mak pada Ayah. sungguh Ikhlas.
Ya Allah, Kau panjangkanlah jodoh mereka sehingga ke syurga. Sesungguhnya mereka sangat menyayangi satu sama lain. Aku takut dan risau. Janganlah diragut keindahan kasih sayang ini begitu cepat, Ya Allah. Aku belum puas.
Banyak rawatan yang dicuba Ayah. Tapi aku tertarik dengan rawatan yang satu nih. Belum sempat pon Ayah ceritakan apa-apa, cukup sekadar dengan menyebut nama penuh.
“Lama dah depa dok buat kerja nih. 14 tahun lepas masa Mak hang meninggal. Cuma mungkin hang kuat dulu, jadi tak terjejas. Baru sekarang sihir effect badan sebab badan hang lemah.
Depa semua nakkan rumah yang hang duduk la nih.
Tanah rumah hang yang bentuk L tu pon depa nak”
Aku cuba untuk bersahaja, namun apa yang perawat sebut berkenaan spesifikasi rumah juga tahun Tok aku meninggal, memang tepat.
“Anak ada berapa orang?” Tanya perawat dekat Ayah
“Ada dua orang bang. Dua-dua pompuan” Ayah jawab pertanyaanya sebentar tadi.
“Patut pun lah” Perawat angguk faham kerana betul sangkaannya sedari tadi.
Bila tiada pewaris lelaki dalam keluarga, memang harta Ayah akan jatuh pada pakcik saudara jika tak dibuat penama.
Ayah bagitau nama kami berdua. Yang sulung, dan yang bongsu.
“ Yang sulung ikut mai dak harini?” Tanya perawat lagi.
“Ada bang.” Jawab Ayah
Sepatutnya Ayah pergi berubat bersama kawan kampung. Tapi kereta kawan Ayah rosak. Jadi memang kakak yang bawak Ayah dan Mak.
Allah nak memudahkan urusan hari tersebut untuk kakak ikut sekali.
Teringat aku satu kata-kata. “Allah boleh susahkan urusan orang lain semata mahu permudahkan urusan kita”.
“Nasib hang ikut mai. Hang kunci. Hang ja yang buleh buang paku-paku, jarum, segala macam benda tak elok yang depa dok hantar dekat Ayah hang selama nih”
Jika diperangi musuhnya manusia, senang. dapat dilihat dengan mata kasar. Ini yang nak diperangi musuhnya, tak terlihat dek mata, tak rasa dek sentuh. Allah. kuatkanlah kami sekeluarga untuk mengharungi dugaanMu ini.
Namun apa yang paling membuatkan Ayah terkilan.
Darah 3 darah daging sendiri yang sihirkan Ayah. Cukup terkilan. Banyak kali Ayah gelengkan kepala. Sesal barangkali mencari dimana punca semua ini.
Paling buat Ayah bertambah kecewa, kakak sulungnya yang paling dia percaya turut serta dalam acara mensyirikkan Allah ini.
Ayah batuk berdarah. darah yang pekat. Lama kelamaan, darah yang pekat bertukar menjadi kehitaman. Risau kami semua dibuatnya.
Allah, apa lagi kali ni.
“Sebab ni lah Hang tak boleh nak solat, bacaan ayat quran tak ingat. Sebab apa? Dalam badan penuh darah babi, darah anjing, semua darah kotoq. Ada makan apa2 dak yang depa bawak mai?” tanya perawat.
terimbas kembali bila ditanya sebegini, seminggu selepas Ayah keluar dari wad, keadaan Ayah semakin sihat. Alhamdulillah.
Sehinggalah kakak Ayah yang ketiga datang melawat. dia bawakan gulai udang, tapi hanya 4 ekor sahaja. Cukup untuk Ayah sahaja yang menjamah.
Sedangkan di rumah tu ada kami berempat.
Pernah juga dia bawa bubur nasi dan kueytiaw sup, tapi Ayah menolak untuk makan atas saranan doktor, makanan tu tak ditinggalkan untuk kami, sebaliknya dibawa pulang bersamanya.
Sejak Ayah makan gulai udang tu, memang diakui kesihatan Ayah makin merosot. Tapi kami memang tak syak apa-apa, sebab memang tak pernah sangka darah daging sendiri yang membuat tahana.
Apa yang membuatkan kami bertambah kuat untuk lebih berjaga-jaga, hampir ke semua 10 perawat cakap benda yang sama. Syirik adik beradik, gajah pon boleh mati.
“Yang sulung dia pegang bahagian leher dan badan, sebab tu hang kerap sesak nafas, batuk, tak boleh nak telan makanan.
Yang kedua, dia pegang bahagian kaki, sebab tu hang tak boleh berjalan dan yang ketiga dia pegang bahagian kepala, sebab tu mata hang tak boleh tidoq” panjang lebar perawat terangkan.
Tipulah jika aku cakap aku tak percaya apa yang diberitahu perawat. Namun aku masih mengekalkan konsep untuk tidak letak kepercayaan bulat2 pada perawat, semua ni terjadi atas izin Allah. risau kami pula jatuh syirik jika hanya bersandarkan pada perawat.
Pesan aku pada keluarga, biarlah kita lebih berjaga-jaga. Jangan difikirkan sangat siapa pelakunya. Yang penting, Ayah dan keluarga kita kembali ceria.
Ada ketika itu, kami panggil perawat datang ke rumah untuk tengokkan apa yang boleh dipagarkan. bila perawat tersebut gunakan ilmunya, bacaan ayat suci Al-quran dibaca, laju sahaja kakinya berjalan ke luar rumah.
Dikoreknya tanah guna tangan sahaja. Bayangkan tanah luar rumah tu memang kering dan keras.
Tenggelam tangan ke tanah sehingga paras ketiak. Terkejut besar kami sekeluarga, diangkatnya satu benda keluar dari dalam tanah tersebut.
perawat itu kata, yang dia keluarkan tadi adalah tulang betis orang baru meninggal.
Jika tulang itu milik orang yang baru meninggal, bermakna tulang tersebut baru sahaja ditanam di laman.
Sejak dari kejadian itu, aku ambil keputusan untuk kunci pintu pagar luar rumah dengan mangga besi. Perlu ada kawalan keluar masuk.
Ayah agak membantah, katanya ramai kawan-kawan yang nak datang melawat. Tapi aku bertegas. Biarlah demi kesihatan Ayah, sepanjang berubat, siapa yang nak datang melawat perlu melalui aku dan kakak terlebih dahulu. Adik beradik Ayah memang tak dibenarkan masuk langsung.
Aku sepakat dengan kakak. Biarlah kita susah bergilir buka mangga, dari kita biar mereka masuk atas dasar hormat sedara, tapi keadaan Ayah makin sengsara.
Banyak lagi benda yang terjadi nak aku ceritakan. Satu persatu kisah lama terbongkar. Mungkin ada masa aku sambung nanti. Ayah masih dalam tempoh rawatan. Doakan Ayah dan keluarga aku kembali sihat.
Yang benar,
Anak bongsumu
– Lily (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit