Ayah Hero Dunia

Coretan ini angah titipkan buat ayah sempena hari bapa yang tidak lama lagi bakal menjelma. Ayah yang angah panggil sebagai seorang hero dunia dan pastinya di doakan hingga ke syurga.

Sejujurnya, kita bukan dalam kalangan keluarga berada yang mewah dengan harta dan kekayaan dunia. Keluarga kita hanya orang biasa. Alhamdulillah serba cukup untuk teruskan kehidupan yang bersisa.

Disebabkan ayah seorang yang suka menderma, banyak rezeki yang Allah kurnia tanpa kita sangka, bukan hanya berbentuk wang malah rezeki dari segi kesihatan, kehidupan dan sebagainya.

Ayah, meskipun pekerjaaannya bukan bergaji jutaan ringgit, dia masih mampu untuk memberi segala keperluan anak dan isteri. Setiap permintaan mesti di turuti.

Mahligai cinta yang dibina bersama ibu selama 22 tahun ini telah banyak mengajar diri angah menghargai. Menghargai dalam setiap detik waktu dan hari.

Pesanan ayah kepada angah sewaktu ingin menyambung pelajaran ke universiti masih segar di ingatan angah.

Saat orang lain mengejar cita cita dan impian, angah hanya meneruskan apa yang telah ditakdirkan. Angah hanya menuruti jalan hidup yang bukan keinginan hati. Angah pernah bertanya kepada ayah.

“Ayah okay ke angah sambung course ni? Ayah tahu kan course ni agak mencabar dan terlalu sos**l bagi angah” luahan hati angah pada ayah.

“Campaklah angah dekat mana mana pun, ayah pasti angah pandai jaga maruah diri. Al-Quran jangan tinggalkan, tak boleh hafal semua, hafal mana yang perlu sahaja” pesanan ayah ini terlalu menyentuh hati.

Meskipun keluarga kita bukan dari golongan orang yang alim tapi ayah mencuba untuk menjadi yang terbaik dalam mendidik ahli keluarganya.

Seraya angah terus memeluk tubuh ayah. Terasa hangat berjauhan dengan keluarga. Tiada lagi kedengaran suara ayah meminta pertolongan dari angah. Entah mengapa hati angah begitu sebak saat berpisah dengan ayah.

Pesanan ayah adalah asbab angah menjadi diri angah yang sekarang dan insyaAllah pasti akan menjadi yang lebih baik.

Setiap saat perilaku ayah dalam mendekati Ya Rabbi, angah sentiasa tertanya tanya tentang ibadah yang ayah lakukan. Tahun bersilih ganti dan ayah terus memperbaiki ibadahnya.

Angah mencuba memperbaiki ibadah angah setelah melihat kesungguhan ayah dalam melakukannya. Jujurnya didikan ayah berkaitan agama adalah yang terbaik.

Pernah suatu ketika dahulu, angah menyertai pengembaraan bersama teman teman. Ayah tidak menanyakan sama ada sudah sampai ke destinasi atau belum, malah soalan pertama yang ayah ajukan pada angah adalah,

“Angah dah solat ke belum? sempat solat tak sebelum naik flight?”

Inilah persoalan ayah setiap kali angah mengembara. Selalunya angah memilih tiket murah dan penerbangan kebiasaannya pada waktu sebelum subuh dan pada waktu malam. Jadi selayaknya ayah bertanya soalan seperti tersebut.

Jarang kami adik beradik mendekati ayah termasuk angah juga. Ayah kadang tersangatlah garang dan menyebabkan kami gerun mendekati ayah. Dari sudut kejauhan, angah pasti ayah menyayangi kami melebihi diri sendiri.

Kadang angah mendekati ayah, menyediakan makanan ayah sekiranya ibu tiada, membantu ayah sekiranya perlu, menemani ayah mendengar ceramah agama kerana kami adik beradik tidak mempunyai abang mahupun adik lelaki.

Angah mencuba dalam mendekati ayah biarpun bukan jasad tapi jiwa mengiringi untuk terus menyayangi ayah.

Angah pasti, tiada lelaki yang setanding ayah, sebaik ayah dan sehebat ayah. Pengorbanan ayah adalah sebuah perjuangan yang luar biasa. Terlalu banyak memori indah bersama ayah yang tak mampu di ungkapkan dengan barisan kata.

Terima kasih ayah kerana menjadi seorang hero dunia yang tak pernah kenal erti penat lelah dalam memikul amanahNya.

Selamat Hari Bapa buat semua yang bergelar ketua keluarga. Semoga Allah permudahkan segala urusan insan yang bergelar bapa.

– Angah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *